Resipi Pizza ‘Homemade’ Sedap dan Jimat

Salah satu makanan kegemaran penulis sudah tentunya piza. Namun, kadangkala harganya agak tidak munasabah dan topping yang ditawarkan pula seakan-akan tiada pembaharuan.
Jadi bagi mengatasi masalah ketandusan ongkos terutamanya hujung bulan seperti hari ini, apa kata bikin sendiri sahaja piza di rumah?
Mudah,sedap, dan yang paling penting, lebih berbaloi untuk poket anda. Anda juga boleh variasikan taburan di atas kerak piza mengikut citarasa sendiri,sudah pasti takkan jemu menikmatinya.

Anda juga boleh mengawal penggunaan garam dan minyak di dalam resipi ini, yang menjadikan piza anda lebih sihat dan berkhasiat.
Resipi ringkas ini mempunyai tiga komponen iaitu doh, sos marinara (tomato) dan topping. Selamat mencuba!
Bahan-bahan:
Untuk doh (A): 2 paket yis kering 2 sudu besar gula 2 sudu kecil garam 4 sudu besar minyak zaitun 2 cawan air suam 4 cawan tepung gandum serbaguna
Untuk sos marinara (B):
1 botol sos spaghetti bolognese
4 ulas bawang putih, dicincang
Garam,gula dan serbuk lada hitam secukup rasa
Untuk topping (C):
200g kepingan protein pilihan (ayam,daging cincang atau sosej koktel)
250g keju mozzarella parut (boleh juga gantikan dengan kepingan keju cheddar biasa; carikkan)
100g kepingan nanas dalam tin (dipotong dadu)
2 labu bawang besar (dimayang halus)
Kaedah (A):
  1. Panaskan ketuhar dalam suhu 230 darjah celcius. Dalam mangkuk sedarhana, larutkan yis dan gula dengan air suam. Biarkan seketika sehingga campuran kelihatan mengembang dan berbuih, kira-kira 10 minit.
  2. Masukkan tepung, garam dan minyak zaitun; pukul sehingga sebati. Kemudian, rehatkan doh dalam suhu bilik selama 5 minit.
(B):
  1. Tuangkan satu jar sos spaghetti bolognese ke dalam kuali bersama 2 sudu besar minyak zaitun.
  2. Masukkan bawang putih cincang dan rencahkan, secukup rasa. Biarkan mendidih dan simpan ke tepi dahulu.
(C):
  1. Ratakan doh mengikut bentuk dan ketebalan kesukaan. Kemudian,pindahkan diatas loyang yang telah ditabur sedikit tepung dan olesan minyak.
  2. Sapukan sos marinara ke serata doh, dan tabur bahan-bahan (C) tadi mengikut citarasa anda.
  3. Bakar selama 15 ke 20 minit, atau sehingga keraknya kelihatan perang keemasan. Biarkan sejuk selama lima minit sebelum dinikmati.
Resipi Pizza ‘Homemade’ Sedap dan Jimat

1 comment... add one now