Kelebihan 10 Hari Awal Dzulhijjah


Tiada sebarang syak dan ragu, bahawa seluruh kehidupan seorang muslim adalah baik sekiranya kehidupan itu dipenuhi dengan beribadah kepada Allah dan beramal soleh.

Namun disana ada hari-hari yang Allah jadikan ia lebih baik daripada hari-hari yang lain dari sudut kelebihan dan pahala ganjaran. Maka inilah di antara nikmat dan kurniaan Allah untuk hambanya iaitu dijadikan bagi mereka beberapa hari istimewa untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya. Seperti 30 hari bulan Ramadhan, malam Al-qadar, 10 hari akhir Ramadhan, hari Jumaat, hari Isnin Khamis, hari Asyura, 10 hari awal Zulhijjah dan sebagainya...

Apabila masuk sahaja awal Zulhijjah maka kita sedang berada di pintu-pintu keberkatan yang dibuka oleh Allah utk hamba-hambanya menambah amalan.


Beberapa dalil daripada Al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:

1. Firman Allah SWT:

Demi waktu Fajar dan demi malam-malam yang sepuluh.

Kata Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya sebagaimana yang disebut oleh Imam Bukhari di dalam kitabnya.

2. Dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya: Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah?Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid). [HR: Ahmad, At-Tirmizi].

3. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.

Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang sepuluh itu.

4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

AMALAN-AMALAN YANG BAIK DILAKUKAN PADA HARI-HARI TERSEBUT

1) Tidak memotong rambut, kuku dan membuang bulu-bulu di tubuh sehinggalah bintang korban disembelih, sebagaimana arahan Nabi SAW:

Dari Ummi Salamah RA Nabi SAW bersabda: Jika kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu ingin menyembelih kurban maka hendaklah dia tidak memotong rambut dan kukunya. (Riwayat Muslim)

2) Digalakkan berpuasa 9 hari awal Zulhijjah khususnya pada 9 Zulhijjah pada waktu jamaah haji wukuf di Arafah, kerana pahalanya sangat besar. Sabda Nabi SAW:

Aku menghitung bahawa Allah mengampunkan dosa setahun yang terdahulu dan akan datang (Riwayat Ahmad)

3. Membanyakkan Takbir, Tahmid dan Tahlil. Berdasarkan hadis Ibnu Umar mengatakan: Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.

4. Melaksanakan Ibadah Korban, kerana Nabi SAW mengatakan: Tiada amalan yang paling disukai oleh Allah yang dilakukan pada hari raya korban melainkan ibadah korban.

Semoga bermanfaat...

Kredit : harakahdaily 

1 comment... add one now

Maman Reen Maman Reen September 04, 2016
Info dan ilmu yang bagus..