Benarkah Silap Guna ‘Paddle Shift’ Punca Kotak Gear Kereta Rosak?


PEDAL anjakan (paddle shift) boleh dikatakan sudah menjadi ciri biasa transmisi semi automatik bagi kebanyakan kereta moden hari ini. Ada dua cara menggunakan pedal anjakan, iaitu secara auto dan manual. Bagi auto, anda boleh mengetik pedal anjakan sama ada menaikkan atau menurunkan gear pada posisi auto (D – 3- 2). Sebaliknya, transmisi manual memerlukan anda memasukkan gear kepada posisi manual (M) yang memberikan anda kawalan penuh ke atas kereta menerusi penggunaan pedal anjakan.
Isunya, jika mod manual digunakan, apakah kereta anda berdepan risiko kerosakan jika pedal anjakan diturunkan secara drastik daripada gear tinggi kepada rendah, misalnya gear lima kepada satu?

JAWAPAN – TIDAK ROSAK

Anda sama sekali tidak akan merosakkan kereta dengan memilih melakukan pertukaran gear menggunakan pedal anjakan. Alasan bagi jawapan ini ialah sistem komputer yang mengawal transmisi tidak akan mudah membenarkan anda memilih gear tidak sepadan dengan kelajuan kereta atau rev enjin.
Tidak percaya? Anda boleh cuba turunkan gear secara drastik ketika sedang memandu laju di lebuh raya. Apa yang akan berlaku ialah gear anda mungkin tersekat pada pilihan gear ketiga sahaja. Kereta anda akan berbunyi atau mengelipkan cahaya, tetapi tetap tidak akan membenarkan anda menurunkan gear yang melampaui had rev.

Dalam situasi lain pula, jika anda sedang memecut dan kekal dalam gear dua, kereta anda mungkin secara automatik akan bertukar kepada gear tiga sekiranya anda tidak melakukan sesuatu. Ataupun pengehad rev akan ‘menendang’ semula kelajuan enjin, sekali gus menjadikan kereta anda berat, berbunyi bising dan tidak sedap dipandu. Apapun, situasi berkenaan masih tidak mampu merosakkan kereta anda.
Sebagai tip, anda sebenarnya tidak perlu pun menggunakan pedal anjakan.Kotak gear moden hari ini direka cukup pintar untuk memilih gear rendah apabila diperlukan. Brek kereta moden pula cukup bagus untuk tidak memerlukan bantuan brek (BA) dalam hampir semua situasi. Ini kerana transmisi akan bertukar kepada gear rendah secara automatik untuk membantu tugasan membrek.
Lagipun, tiada faedah langsung dan tidak munasabah pula jika anda menurunkan gear ketika kereta sedang bergerak perlahan. Ini kerana gear rendah akan bertukar sendiri walaupun kereta anda berada dalam kawalan mod manual.
Sebenarnya, pedal anjakan tidak ubah seperti peranti pemasaran untuk membuatkan pemiliknya rasa seperti seorang pemandu sejati selain memberikan fiil seperti memandu kereta lumba. Walhal faktanya, pemanduan normal tidak terdesak memerlukannya. Jika digunakan pun, penggunaannya tetap kurang berbanding memandu menggunakan cara automatik biasa.
Kredit : pandulaju 

0 comment... add one now