10 Buah negara tidak memiliki sebarang angkatan tentera bersenjata


ANEH dan mungkin lucu, namun itulah realiti daripada lebih 200 buah negara dan wilayah berdaulat di seluruh dunia, sebenarnya ada 23 buah negara yang langsung tiada pun memiliki pasukan tentera mereka sendiri.

Seperti kebanyakan negara lain di dunia, berbeza tugas utamanya berbanding pasukan polis yang berfungsi menguatkuasakan undang-undang, angkatan bersenjata dibentuk khas untuk menjaga kedaulatan sesebuah negara daripada diceroboh oleh pihak musuh luar.
Ini mungkin kerana saiz negara berkenaan adalah agak kecil dan menurut Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS), tugas tentera diambil alih secara signifikan oleh pihak polis tempatan yang bertugas seperti askar sambilan jika berlaku situasi kecemasan.
Antara negara yang disenaraikan CIA sebagai tidak mempunyai pasukan tentera profesional sepenuh masa ialah Dominica, Haiti, Iceland, Kiribati, Mauritius, Micronesia, Monaco, Panama, Saint Lucia, Saint Vincent and the Grenadines, San Marino, Tuvalu dan Vanuatu.
Berikut lagi ialah 10 buah negara lain yang juga secara rasmi tidak memiliki sebarang angkatan bersenjata:
1. Solomon
Terletak di Lautan Pasifik ini, negara ini sejak menjadi sebahagian daripada naungan penjajah British pada 1893, tidak memiliki kekuatan militer signifikan. Ketika Perang Dunia Kedua, negara kecil ini cuma terdapat Pasukan Pertahanan Protektorat Kepulauan Solomon.
Pada 1976, negara ini akhirnya memiliki pemerintahan sendiri cukup stabil hingga 1998 apabila konflik etnik meletus hingga 2006. Untuk menyelesaikan masalah ini, New Zealand dan Australia datang membantu menguatkuasakan undang-undang dan melucut senjata perusuh.
Ketika ini, Kepulauan Solomon hanya memiliki pasukan polisi. Negara ini menjalin kerja sama pertahanan dengan Australia. Jika ada negara melancarkan perang terhadap Kepulauan Solomon maka Australia adalah negara pertama yang akan memberikan perlindungan.
2. Costa Rica
Negara pernah memiliki angkatan bersenjata sebelum Presiden Figueres Ferrer pada 1 Disember 1948 menandatangani undang-undang yang menghapuskan pasukan tentera dan dilakukan setelah terjadi perang saudara yang mengorbankan kira-kira 2,000 orang.
Penghapusan militer tempatan ini bermula dengan penghancuran Cuartel Bellavista, markas besar tentera darat Costa Rica. Kini negara ini hanya memiliki Fuerza Publicaatau polis tempatan yang bertugas untuk memelihara undang-undang dan menjaga keamanan negara.
Pasukan ini juga mengawasi sempadan dan tugas-tugas kepolisian lain. Berdasarkan Perjanjian Bantuan Resiprokal Inter-Amerika 1947, jika Costa Rica diserang negara lain, maka pemerintah akan meminta bantuan 21 buah negara termasuk AS, Chile dan Cuba.
3. Samoa
Negara kepulauan di Lautan Pasifik ini sama sekali tidak memiliki angkatan bersenjata sehinggakan negeri ini yang merdeka daripada New Zealand sejak 1962 harus menggantungkan diri kepada negara-negara sahabat untuk menjadi pelindung pada masa perang meletus.
Samoa memang memiliki pasukan kepolisian, tetapi mereka tidak memiliki kemampuan militer yang cukup untuk mempertahankan negara itu sendiri ketika masa genting setelah menandatangani perjanjian kemerdekaan dengan kerajaan New Zealand pada 1962.
Perjanjian tersebut demi memastikan Samoa mampu mendapatkan bantuan ketenteraan pada waktu yang diperlukan. Namun, perjanjian berkenaan juga mengatur terma bahawa dua negara berjiran itu boleh menarik diri daripada perjanjian ketika diinginkan bila-bila masa.
4. Palau
Negara kepulauan di wilayah barat Lautan Pasifik ini juga hanya memiliki pasukan kepolisian termasuk 30 anggota Unit Pengawasan Maritim untuk memberikan perlindungan domestik secukupnya kepada rakyatnya yang berjumlah kurang 20,000 orang itu.
Jika terjadi perang dilancarkan oleh pihak asing, maka pemerintah Palau harus meminta bantuan ketenteraan daripada negara-negara lain untuk melindungi negara kecil yang berkeluasan hanya 465 kilometer persegi dengan meliputi gugusan 250 buah pulau itu.
Sejak 1983, Palau menjadi sebuah wilayah protektorat AS, sekali gus taraf khas tersebut membolehkan Palau akan mendapat perlindungan pertahanan militer daripada kuasa dunia tersebut jika terlibat dalam perang pada bila-bila masa sahaja.
5. Andorra
Meskipun tidak memiliki pasukan tentera yang signifikan, negara kecil Eropah ini yang berkeluasan hanya 467 kilometer persegi serta tersepit antara Perancis dan Sepanyol itu pernah berani mengisytiharkan perang terhadap Jerman pada 1914 lalu.
Dengan pasukan militer berkekuatan cuma 10 anggota sahaja ketika itu, deklarasi perang Andorra ini tidak pun dianggap serius oleh Jerman dan negara tersebut juga tidak banyak menonjol dalam sejarah Perang Dunia Pertama awal abad ke-20 lepas.
Pada 1931, pemerintah Andorra secara rasmi menghapuskan tentera diganti kepolisian berkekuatan 240 orang. Pasukan ini dilatih untuk mencipta kedamaian, menjaga ketertiban hingga membebaskan mangsa culik. Syarat utama menjadi polis mesti lelaki memiliki senjata api.
Waima tiada tentera, Andorra tidak pernah bimbang jika terjadi perang kerana dilindungi Perancis dan Sepanyol menerusi perjanjian pertahanan bersama selain pihak NATO yang akan mengambil bahagian melindungi negara pergunungan itu sendiri jika diperlukan.
6. Grenada
Sejak ditawan AS pada 1983, negara kecil seluas 344 kilometer persegi ini tidak pernah lagi membentuk militer sendiri. Kini ia hanya bertumpu pada Pasukan Polis Diraja Grenada dan sistem keselamatan regional untuk tugas khas melindungi negara itu.
Uniknya, Grenada secara rasmi juga tidak memiliki perjanjian pertahanan dengan mana-mana negara lain untuk bantuan perlindungan ketenteraan sebaliknya cuma bergantung kepada sistem keselamatan rantau Caribbean yang meliputi beberapa buah pulau kecil.
Grenada perlu meminta bantuan negara di sekitaranya seperti Antigua dan Barbuda, Barbados, Dominica, Saint Kitts and Nevis, Saint Lucia dan Saint Vincent. Namun, negara-negara itu pun tiada cukup kekuatan militer, maka pihak tentera AS akan membantu mereka.
7. Marshall
Berdasarkan perjanjian pada 1983, Kepulauan Marshall berstatus sebagai sebuah negara berdaulat. Namun, negara gugusan ini juga memiliki perjanjian ketenteraan strategik dengan tetangga terdekatnya, Federasi Negara-negara Micronesia dan Palau.
Berdasarkan perjanjian ini, tiga buah negara berjiran ini adalah negara merdeka tetapi memiliki kesatuan khusus dengan pihak AS, sekali gus kuasa besar dunia itu akan menjadi pelindung dan Kepulauan Marshall tidak perlu memiliki pasukan militer regular.
Untuk menjaga keamanan dan menegakkan peraturan awam, Kepulauan Marshall memiliki pasukan kepolisian termasuk unit pengawasan maritim yang berfungsi seumpama tentera sepenuh masa jika berlaku pengisytiharan perang secara konvensional.
8. Liechtenstein
Kerajaan kecil tersepit antara Switzerland dan Austria ini menghapuskan sepenuhnya pasukan tenteranya sendiri pada 1868 lalu selepas tamat perang Austro-Hungaria kerana bajet untuk memelihara angkatan bersenjata terlalu mahal untuk negara kecil Eropah itu.
Setelah bebas daripada konfederasi Jerman, Liechtenstein sepatutnya perlu memiliki tentara sendiri tetapi tidak memiliki cukup wang maka, untuk menjaga ketenteraman awam, negara itu hanya mengendalikan sebuah pasukan kepolisian nasionalnya.
Tiada negara yang memiliki perjanjian untuk melindungi Liechtenstein ketika perang. Bantuan kemungkinan besar datang dari jirannya, Switzerland. Namun anehnya kedua-dua negara berjiran ini tidak pernah mengesahkan kerjasama pertahanan tersebut secara formal.
9. Nauru
Sebagai sebuah negara pulau terkecil di dunia dengan luas wilayah pun hanya 21 kilometer persegi dan penduduk setakat 10,000 orang, Nauru memang secara logik tidak memerlukan sebuah pasukan militer sepenuh masa sejak mencapai kemerdekaan pada 1968 lalu.
Seperti halnya dengan beberapa buah lagi negara kecil lain termasuk di benua Amerika dan Eropah, Nauru hanya mengendalikan pasukan kepolisian tempatan untuk mengatur ketertiban dan stabiliti domestik selain berharap tidak akan terjebak dalam kancah perang.
Pada ketika ini, Nauru masih lagi memiliki hubungan erat dengan jiran terdekatnya Australia dan negara-negara Micronesia lain di sekitarnya termasuk dari segi bantuan pertahanan sekiranya meletus perang tanpa diduga.
10. Vatican
Sebagai negara terkecil di dunia dengan luas wilayah hanya 0.44 kilometer persegi, tidak hairan jika Vatican tiada pasukan tentara. Pada masa lalu, banyak kelompok militer dibentuk untuk melindungi negara itu, terutama pemimpin tertingginya, Paus atau Pope.
Dua pengawal kepausan terakhir iaitu Noble Guard dam Palatine Guard bagaimanapun dihapuskan oleh Paus Paulus VI pada 1970. Kini satu-satunya kelompok askar yang dianggap sebagai militer di Vatican ialah Swiss Guard yang bertugas menjaga keselamatan Paus.
Dahulu pernah ada pasukan Gendarmerie, tetapi ia lebih dianggap sebagai agensi pertahanan awam dan bukan militer. Tugas Gendarmerie kini seumpama polis iaitu menjaga ketenteraman, aliran lalu lintas, mengawasi sempadan dan menyiasat kes jenayah. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

0 comment... add one now