Teori konspirasi atau fakta konspirasi?



ADA pihak yang terlalu terpengaruh dengan teori konspirasi. Pantang nampak tiga segi terus disyaki iluminati. Pantang nampak mata terus dilabel dajjal. Sampai syarikat rakaman awakening juga dituduh freemason. Upin dan Ipin pun dilibatkan sama. Dunia seluruhnya terlalu bahaya buat mereka. Paranoid.

Ada juga pihak yang langsung tidak percaya tentang teori konspirasi. Lagaknya umpama atheis yang menolak keras kewujudan tuhan. Pemikiran mereka terlalu ringkas untuk cuba memahami muslihat orang-orang jahat. Sebarang konspirasi hanya perlu dibuktikan dengan fakta mengikut disiplin akademik sahaja. Sebarang teori lemah terus dibakulsampahkan.

Lalu bagaimana sikap kita orang Islam? Mahu percaya atau tidak? Mahu terima atau tolak?

Konspirasi yang wajib umat Islam percaya selama-lamanya adalah pakatan Yahudi dan Nasara tidak akan henti daripada memusuhi Islam selagi Islam tidak tunduk kepada mereka. Selagi masih ada umat Islam yang mengamalkan Islam, selagi itu mereka berusaha menghapuskannya. Apatah lagi kalau ada umat Islam yang bercita-cita mahu menggantikan sistem jahiliah moden hari ini.

Ini bukan lagi teori. Ini fakta, cuma bukan dari disiplin akademik. Ini fakta dari nas. Allah berfirman:

"وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ "

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha terhadapmu sehinggalah engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk dari Allah (Islam) sahajalah petunjuk yang benar". [Al-Baqarah:120]

Di sinilah beza orang beriman dengan al-Quran dan orang beriman dengan sains semata-mata. Walaupun hakikat keduanya tiada pertembungan, tetapi memahami sains tanpa panduan al-Quran tetap akan tersesat.

Apabila al-Quran menyebut tentang sesuatu konspirasi, kita wajib percaya walaupun belum dapat dibuktikan dari sudut fakta akademik. Justeru apabila Tuhan nyatakan tentang permusuhan Yahudi dan Nasara, kita perlu meletakkan waspada kepada mereka.

Jangan terlalu rapat sehingga membenarkan segala rahsia umat Islam diketahui. Jangan terlalu percaya sehingga menganggap mereka ikhlas dalam semua perkara.

Namun jangan pula terlalu paranoid sehingga semua yang berkait dengan Yahudi Nasara beragenda jahat. Bukan semua Yahudi dan Nasara jahat.

Kita harus bijak dan kuat berhadapan dengan golongan ini. Kaji dan siasat dengan teliti latar belakang setiap yang berkaitan dengan mereka. Peka dengan semua perkembangan politik dunia. Letakkan hazar (waspada) yang tinggi terhadap mereka ia pesanan Allah.

Jika didedahkan dengan sebarang teori yang mengaitkan konspirasi Yahudi dan Nasara, pastikan teori itu terbina di atas beberapa fakta bukan auta atau khayalan. Kini terlalu banyak yang mencampur adukkan antara fakta dan auta untuk mengajinamotokan teori mereka.

Hasilnya lahirlah umat yang paranoid terhadap dunia kerana percaya bulat-bulat, dan lahirlah juga umat yang menolak terus konspirasi kerana sebahagian auta dari teori konspirasi.

Dajjal, Yakjuj dan Makjuj, Israel, Yahudi, Nasara dan Imam Mahdi semuanya adalah nas yang tidak boleh ditolak. Darjatnya lebih tinggi dari fakta akademik.

Freemason, Zionis, New World Order, CIA, Mossad, TPPA, orientalis, dan kristianisasi pula adalah fakta yang dibuktikan dengan kaedah akademik. Ia bukan khayalan yang tidak wujud.

Namun keterangan mengenai freemason, zionis, illuminati dan seumpamanya seperti lambang, carta organisasi, tanda, dan perancangan mereka terlalu banyak diolah berdasarkan teori semata-mata. Di sinilah kita perlu berhati-hati dalam melihat segala teori ini.

Ada yang boleh diterima dan ada yang tidak. Pastikan teori ini tidak sampai ke tahap tuduhan palsu dan su' zhon terhadap orang yang tidak bersalah.

Adapun berwaspada, ianya adalah wajib ke atas setiap yang beriman:

"يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا خُذُوا حِذْرَكُمْ"

Wahai sekalian orang yang beriman, ambillah langkah waspada dan berjaga-jaga. [An-Nisa:71]

0 comment... add one now