Siapa 'Pocketrocketman'?



Kejayaan jaguh sukan berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang, meraih gangsa pada Sukan Olimpik Rio nyata membanggakan seluruh rakyat Malaysia. 

Selepas tiga kali beraksi di pentas Olimpik - Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, pelumba yang dikenali dengan gelaran Pocketrocketman akhirnya memecah kebuntuan pingat selepas meraih pingat kedua untuk negara, awal pagi tadi. 

Dengan lima gelaran pingat emas di pentas Asia, dua kali pingat perak dan dua gangsa di Kejohanan Dunia, Azizulhasni sememangnya layak berada di podium Olimpik untuk kali ini. Memang diakui, bukan satu tugas yang mudah untuk mendapatkan pingat dengan persaingan hebat daripada barisan pelumba terbaik dunia, namun beliau membuktikan kemampuannya.

Dalam perlumbaan akhir acara keirin pagi tadi, Azizulhasni mengetepikan juara dunia dari Jerman, Joachim Eilers, untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

 Pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu melintasi garisan penamat untuk meraih gangsa di belakang juara bertahan Jason Kenny dari Britain dan Matthijs Buchli dari Belanda. Jadi, tidak hairanlah kenapa dia digelar Pocketrocketman - kerana keupayaan mencelah dan memecut di saat akhir menuju ke garisan penamat perlumbaan. 

Bukan semua pelumba begitu nekad dan berani mengambil risiko seperti itu, apatah lagi dengan saiz badannya yang jauh lebih kecil berbanding pelumba lain. 

PROFIL: 

Nama: Mohd Azizulhasni Awang 

Gelaran: Pocketrocketman 

Tarikh Lahir: 5 Januari 1988 

Asal: Dungun, Terengganu 

Pencapaian Olimpik: 2016 - Gangsa (Acara keirin di Rio de Janeiro) Kejohanan Dunia: 2016 - Gangsa (Acara keirin di London, England) 2015 - Gangsa (Acara keirin di Yvelines, Perancis) 2010 - Perak (Acara keirin di Ballerup, Denmark) 2009 - Perak (Acara pecut di Pruszkow, Poland) Kejohanan Asia: 2015 - Emas (Acara keirin di Nakhon Ratchasima, Thailand) 2014 - Emas (Acara pecut di Astana, Kazakhstan) 2009 - Emas (Acara pecut individu dan berpasukan di Tenggarong, Indonesia) 2008 - Emas (Acara keirin dan pecut di Nara, Jepun) 2007 - Emas Acara keirin di Bangkok, Thailand).

0 comment... add one now