Mata Wang Digital Bitcoin Makin Mendadak Penggunaannya Di Malaysia

Urusniaga melalui mata wang digital Bitcoin di Malaysia meningkat mendadak tahun ini, dalam apa yang disifatkan sebuah laman berita kewangan alternatif sebagai petanda kehilangan keyakinan terhadap sistem kewangan dan kekuatan mata wang ringgit.
Nilai urusniaga menggunakan kaedah Bitcoin naik mendadak sejak setahun lalu, daripada hanya RM130,000 pada Julai 2015 kepada lebih RM730,000 setakat 16 Julai tahun ini, mengikut laporan statistik coin.dance.
Majalah web The Cointelegraph berkata peningkatan sedemikian merupakan sesuatu yang biasa di kalangan rakyat sesebuah negara yang berpaling daripada mata wang konvensional kerana hilang keyakinan disebabkan kepincangan sistem ekonomi di samping nilai mata wang yang semakin menyusut.
Ia mendakwa perkara sama juga dilihat di negara seperti Zimbabwe dan Venezuela.
“Berbeza daripada era 90an, kekayaan rakyat sesebuah negara tidak lagi terikat dengan kekayaan negara itu.
“Bitcoin memberikan mereka jalan keluar. Sudah tiba masa kerajaan menyedari hal ini,” menurut ulasan Cointelegraph.
Bitcoin merupakan ilham seorang pakar komputer yang menggunakan nama Satoshi Nakamoto, di mana mata wang bebas daripada pengawasan mana-mana bank pusat, dan boleh dipindahkan dengan kaedah elektonik tanpa orang tengah secara percuma.
Sementara nilai mata wang biasanya disandarkan pada emas atau perak, Bitcoin pula disandarkan pada pengiraan matematik.
Ia menjadi tarikan kerana bank pusat sesebuah negara tidak boleh mengawal urusan kewangan seseorang, dan semakin menjadi pilihan peniaga kecil yang menggunakan Bitcoin dalam urus niaga harian.
Bitcoin juga mendakwa ia sebuah sistem telus kerana daftar transaksi di serata dunia menggunakan sistem itu boleh diperiksa sesiapa sahaja, lapor FMT.

0 comment... add one now