Ini sebab kenapa ibu bapa perlu elak, kongsi gambar dan video anak secara terbuka di laman sosial...bahaya!


Ibu bapa dinasihat menukar tetapan akaun laman sosial mereka seperti Facebook atau Instagram kepada peribadi atau ‘private’ bagi mengelak gambar dan video anak-anak mereka disalahgunakan oleh golongan pedofil.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang memberikan nasihat itu berkata keghairahan kalangan ibu bapa memuat naik gambar dan video anak mereka ke laman sosial boleh mengundang implikasi.
Katanya kementerian kini bekerjasama dengan Unit Khas Polis Diraja Malaysia untuk mengenal pasti golongan pedofil yang mengumpulkan gambar kanak-kanak di dalam satu katalog khas untuk tatapan sesama mereka dan lebih menakutkan ramai ibu bapa tidak sedar bahawa anak mereka turut menjadi mangsa.
“Kita faham hasrat ibu bapa yang mahu menyimpan semua ini sebagai kenangan namun tidak perlulah terlalu terbuka dalam perkara sebegini kerana ada golongan masyarakat yang ‘berpenyakit pelik’ terhadap kanak-kanak di luar sana.
“Sekiranya masih mahu mengabadikan kenangan itu di Facebook atau Instagram, jadikanlah ia hanya untuk tatapan peribadi, ini adalah tindakan terbaik yang perlu dilakukan ibu bapa agar gambar anak mereka tidak disalah guna oleh pedofil yang bukan sahaja berada di Malaysia malah boleh ditonton pedofil seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Literasi Undang-Undang dan pelancaran prasambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Azman Mohd Yusof; Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datuk Yatimah Sarjiman dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud.
Rohani berkata selain itu, ibu bapa juga perlu mengelak untuk membuka akaun laman sosial anak mereka yang masih berumur bawah 18 tahun bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
“Bagi pandangan manusia yang normal, melihat gambar dan video kanak-kanak yang comel ini memang mencuit hati dan menggembirakan namun ia berlainan sekali untuk golongan pedofil.
“Bagi kementerian pula, apa yang boleh kita bantu ialah menawarkan khidmat kaunseling kepada pedofil yang mahu kembali ke pangkal jalan dan sekiranya malu, mereka boleh menghubungi talian 15999 untuk meluahkan masalah mereka dan kita cuba bantu mereka keluar daripada masalah itu tanpa mengaibkan mereka,” katanya.

0 comment... add one now