Hukum melakukan korban buat si mati





Soalan: Bolehkah sekiranya saya ingin melakukan korban buat orang yang telah meninggal dunia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Permasalahan mengenai korban buat si mati adalah permasalahan yang diperselisihkan oleh para fuqaha’. Di dalam permasalahan ini, terdapat beberapa pendapat, antaranya:

Pertama: Dibolehkan untuk melakukan korban buat si mati dan sampai pahalanya juga buat si mati. Ini adalah pendapat jumhur ahli ilmu yang merangkumi al-Hanafiyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan sebahagian al-Syafi’ieyyah.

Ini berdasarkan sebuah hadith dari ‘Aisyah R.Anha yang mana meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika menyembelih menyebutkan:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: Bismillah, Wahai tuhan kami, terimalah daripada Muhammad dan daripada aali (keluarga) Muhammad dan daripada umat Muhammad.

Riwayat Muslim (1967) dan selainnya.

Umum mengetahui bahawa dikalangan umat Muhammad SAW itu ada yang telah meninggal dunia dan Baginda SAW menjadikan sembelihannya itu untuk umatnya dan ini menjadi dalil bagi keharusan untuk melakukan korban bagi orang yang telah meninggal dunia.

Al-Kasani Rahimahullah menyebutkan: “dari sudut istihsannya bahawa kematian bukanlah penghalang untuk taqarrub. Dalilnya adalah dibenarkan untuk bersedekah buat si mati dan juga menunaikan haji buatnya dan telah sahih daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW telah melakukan sembelihan korban dengan dua ekor kibasy yang mana satunya untuk Baginda SAW dan baki satunya untuk umat Muhammad yang tidak melakukan korban dan sesungguhnya ada dikalangan umat Muhammad SAW itu yang telah mati dan tidak sempat melakukan korban maka ini menunjukkan bahawa orang yang telah mati boleh bertaqarrub dengannya (melalui ibadah korban)..” [Lihat Bada’i al-Sana’i, 5/72]

Seterusnya Ibn ‘Abidin Rahimahullah menyebutkan: “Siapa yang melakukan korban bagi si mati maka lakukanlah sepertimana dia melakukan korban buat dirinya sendiri daripada sedekah dan makan. Adapun pahala untuk si mati dan pemilikan untuk si penyembelih”. [Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/326]

Daripada Hanabilah pula menyebutkan: “Sembelihan korban buat si mati adalah afdhal daripada yang hidup kerana yang mati itu memerlukan kepada ganjaran pahala dan lakukan (sembelihan) sepertimana untuk yang hidup dari segi makan, sedekad dan hadiah”. [Lihat Matalib Uli al-Nuha, 2/472]

    Kedua: Makruh hukumnya melakukan korban buat si mati. Ini adalah pendapat al-Malikiyyah. Al-Kharshi Rahimahullah menyebutkan: “Dimakruhkan bagi seseorang melakukan korban buat si mati kerana takut akan riak dan bermegah-megah dan juga tidak warid perbuatan dalam perkara itu, dan ini sekiranya tidak disediakan oleh si mati dan sekiranya tidak maka si waris boleh melakukannya”. [Lihat Syarh Mukhtasar al-Khalil, 3/42]

    Ketiga: Tidak boleh melakukan korban buat si mati melainkan ianya telah diwasiatkan oleh si mati sebelum kematiannya. Ini adalah pendapat al-Syafi’ieyyah yang mana al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan: “Dan tidaklah disembelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ianya telah diwasiatkan.” [Lihat Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Dar al-Fikr, hlm. 321]

Kesimpulan

Walaupun permasalahan ini menjadi khilaf dikalangan ulama, kami cenderung dengan pendapat yang ketiga iaitu pendapat kebanyakan Syafi’eyyah iaitu mesti adanya wasiat dari si mati untuk melakukan korban buat dirinya.

Namun, kami juga tidak menafikan pendapat sebahagian Syafi’eyyah yang berpendapat bahawa tidak memerlukan kepada wasiat. Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili Hafizahullah yang mana menyebutkan: “(dan dikatakan) sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya”. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, 2/490]

Justeru, kami berharap agar permasalahan ini dapat difahami dengan baik serta mengikuti neraca syariah dan fiqhnya. Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber - muftiwp
Kredit - harakahdaily 

0 comment... add one now