Hidung Sumbat & Berdarah, 2 Petanda Kanser Yang Tak Dijangka



Bukan niat untuk menakutkan, namun itulah kenyataan. Hidung selalu tersumbat dan sering berdarah adalah satu daripada petanda bagi penyakit kanser nasofarinks atau kanser pangkal hidung.


Kanser yang terletak di kawasan sempit dan tersembunyi antara hidung dan tekak ini, amat sukar dikesan awal kerana kebanyakan simptom bagi penyakit ini tidak spesifik dan mirip penyakit-penyakit biasa.

Antaranya hidung tersumbat yang mungkin dianggap hanya resdung, sakit kepala yang biasanya dikaitkan dengan tekanan atau tidak cukup rehat, dan hilang pendengaran yang mungkin ditafsirkan akibat trauma atau jangkitan kuman pada telinga.

“Ramai yang menganggap simptom-simptom ini benda ringan. Amat jarang untuk mereka mensyaki ia adalah kanser kerana simptom-simptomnya tidak jelas dan boleh disebabkan oleh bermacam perkara,” kata Ketua Pusat Saringan Kesihatan Kanser Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Dalilah Kamaruddin kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun menggariskan dua simptom utama yang wajib diberi perhatian iaitu hidung sering berdarah dan tersumbat, serta kewujudan benjolan pada tengkuk.

Sukar dikesan awal

Setakat ini masih tiada ujian atau ‘screening test’ khusus untuk mengesan penyakit ini, tidak seperti kanser lain iaitu kanser payu dara, kanser serviks atau kanser usus.

Doktor biasanya mengguna skop nasofarinks (nasoscopy) yang dilengkapi kamera atau melakukan CT Scan, PET Scan ataupun MRI, bagi mengesan sebarang ketumbuhan luar biasa sel di kawasan terlibat.

Cara lain ialah dengan ujian darah bagi mengesan virus Epstein-Barr, yakni sejenis virus yang biasa dialami pesakit kanser, namun menurut Dr Dalilah tidak semua pesakit kanser menghidap virus ini.

“Jika dapat dikesan awal maka peluang untuk pulih lebih tinggi, namun kebanyakan pesakit hanya diagnos dengan kanser ini pada peringkat dua atau tiga,” dedah Dr Dalilah.

Kanser nasofarink adalah kanser kelima paling kerap berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia dan kanser ketiga paling tinggi dalam kalangan lelaki di negara ini iaitu meliputi 8.2 peratus daripada jumlah kes kanser.
Pada tahun 2012, sebanyak 1,487 kes dikesan dengan bilangan kes tertinggi dalam kalangan kaum Cina dan Bidayuh.

Awas makanan masin dan berawet

Menurut Dr Dalilah gaya pemakanan dalam kalangan dua kaum itu, yang cenderung kepada makanan masin dan berawet, dikesan antara faktor utama yang menggalakkan pertumbuhan kanser nasofarinks.

Beliau turut berkongsi hasil satu kajian berskala besar yang dijalankan oleh sebuah badan antarabangsa mengenai diet orang Cina di negara China dan orang Cina yang berhijrah ke tempat lain.

Kajian tersebut telah mendapati bahawa orang Cina yang berhijrah kurang mengalami kanser nasofarinks berbanding orang Cina di tanah besar berikutan corak pemakanan mereka yang sudah berubah iaitu lebih kepada makanan barat.
“Kebanyakan makanan yang digemari masyarakat kita seperti belacan, ikan masin, asam, jeruk, dinasihatkan untuk tidak diambil dalam kuantiti yang berlebihan kerana makanan ini boleh meningkatkan risiko kanser ini,” pesannya.

Faktor genetik juga dipercayai antara punca yang perlu diberi perhatian memandangkan penyakit kanser melibatkan perubahan DNA sel.
Faktor risiko lain termasuklah pengambilan alkohol, tabiat merokok, dan pendedahan berlebihan kepada habuk atau bahan kimia seperti formaldehid.

Rawatan

Rawatan yang biasanya dijalankan ke atas pesakit kanser nasofarinks adalah radioterapi, kimoterapi, terapi ubat sasaran dan disusuli dengan pembedahan jika perlu.

Pembedahan biasanya mengambil masa yang panjang, kadangkala sehingga 10 jam, berikutan kedudukan kanser itu di lokasi yang sempit dan tersembunyi, jelas Dr Dalilah.

“Selepas pembedahan, pesakit akan mengalami kesukaran untuk makan dan terpaksa bergantung kepada tiub untuk beberapa minggu.
“Oleh sebab itu saya berpendapat orang ramai perlu diberi lebih kesedaran tentang kanser ini supaya dapat dikesan awal, sekaligus mengurangkan keperluan untuk pembedahan,” katanya.

Sumber

0 comment... add one now