Apa Akibat Tulis Sembarangan Dalam Media Sosial?



“Ini ‘wall’ aku, suka hati akulah nak tulis apa pun. Kau peduli apa?”
Ayat sebegini biasa digunakan sebagai alasan dan memberi justifikasi perbuatan seseorang yang gemar menjadikan laman sesawang sosial sewenang-wenangnya.
Ramai yang masih belum sedar bahawa meskipun laman sosial memberikan ‘ruang’ kepada para pengguna untuk menyuarakan perasaan, pendapat atau bangkangan tetapi ia juga tertakluk kepada undang-undang.
Justeru, kematangan pengguna mengendalikan media sosial amat diperlukan dalam mengguna pakai segala kemudahan yang ada.
Apa yang penting adalah agar status, komen atau perkongsian media yang dimuat naik tidak mendatangkan masalah kepada diri sendiri pada kemudian hari.
SALAH GUNA MEDIA SOSIAL
Sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2016, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima dan menyiasat 62 aduan atas pelbagai kesalahan penggunaan media sosial.
Ia peningkatan 63 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2015 yang hanya mencatatkan 38 kes, demikian menurut Ketua Pegawai, Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin.
Jelas beliau, sebanyak 48 serbuan telah dijalankan pada tahun ini berbanding 13 pada 2015, yang tertumpu kepada peralatan komunikasi suspek yang telah dikenalpasti.
Hasilnya, empat kes didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multemedia (AKM 1998) manakala empat lagi kes masih dibicarakan. SKMM juga telah mengeluarkan tawaran kompaun kepada dua individu atas kesalahan sama.
PENINGKATAN KES KANDUNGAN JELIK
Peningkatan drastik dapat dilihat pada kesalahan kandungan jelik yang melonjak 140 peratus daripada hanya 15 kes pada 2015 kepada 36 kes tahun ini.
Sementara itu, aduan kesalahan berkaitan bahan bersifat lucah mencatatkan penurunan daripada 38 kes pada 2015 kepada 29 kes pada 2016.
Peningkatan satu kes dicatatkan untuk kesalahan kandungan palsu daripada 15 kes pada 2015 kepada 16 kes pada 2016.
Denda paling tinggi dicatatkan tahun ini adalah bernilai RM20,000 di bawah Seksyen 233(s)(a) AKM 1998 atas kesalahan penggunaan karikatur pelajar muslimah bersifat lucah untuk tujuan komersial.
CARA KERJA SKMM
Bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi, SKMM menerima laporan salah laku internet daripada pelbagai saluran. Sama ada ia melalui Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atau aduan langsung ke SKMM, semuanya akan diteliti.
Aduan langsung ke SKMM boleh dibuat sama ada melalui emel aduanskmm@cmc.gov.my <mailto:aduanskmm@cmc.gov.my>, telefon 1-800-188-030, aplikasi Whatsapp di nombor +6016 2206262 atau ‘fan page’ Facebook ‘Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia’.
Siasatan akan dilakukan melibatkan unit siasatan, risikan dan forensik. Serbuan akan dilakukan dengan kerjasama pihak polis di mana-mana lokasi suspek boleh ditemui.
“Ini bermaksud, kalau kita dapat tahu dia di rumah, kita akan ke rumahnya. Begitu juga kalau kita dapat tahu dia di pejabat, kita akan buat serbuan di pejabat,” jelas Zulkarnain.
Ini disusuli dengan proses pendakwaan dan jika disabit kesalahan, pelaku boleh dihukum dengan denda, penjara atau kedua-duanya sekali.
Ada juga kes yang dapat diselesaikan dengan tindakan kompaun.
KESALAHAN UTAMA
“Kebanyakan kes salah guna media sosial yang disiasat SKMM adalah berkaitan dengan kesalahan seperti menghantar dan memuat naik kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau bersifat jelik yang merupakan kesalahan di bawah AKM 1998.
“Aduan-aduan diterima melalui pelbagai sumber seperti jabatan-jabatan dalaman SKMM dan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kata Zulkarnain.
Menurut Zulkarnain, bidang kuasa SKMM meliputi izin untuk mencari, menggeledah dan merampas apa-apa alatan atau bahan berkaitan kes yang disiasat.
Ini adalah satu daripada cara untuk menambah cekap siasatan agar tindakan selanjutnya dapat diambil segera seperti pertuduhan di mahkamah atau kompaun.
Untuk itu, SKMM kini menjalankan kerjasama erat dengan PDRM dan Jabatan Peguam Negara.
SEMAKIN CEKAP
Penambahbaikan ketara pada cara kerja SKMM yang dapat dilihat adalah pada pengurangan masa yang diambil untuk menyelesaikan sesuatu siasatan.
Pada tahun 2015, Jabatan Forensik memerlukan masa kira-kira 20 hari, kini telah berkurang kepada 14 hari. Jabatan Risikan yang dahulunya memerlukan 14 hari kini hanya memerlukan tujuh hari.
Peningkatan terbesar dapat dilihat pada Jabatan Siasatan yang dahulunya mengambil masa 30 hari bekerja untuk satu-satu kes, kini berjaya mengurangkan masa yang diambil kepada hanya 14 hari bekerja.
Meskipun sudah mencapai satu tahap yang jauh lebih baik berbanding setahun lepas, SKMM berhajat untuk terus menambah baik proses kerja, menaik taraf kemudahan dan menambah tenaga kerja.
Ini adalah tindakan yang perlu dibuat sesuai dengan penggunaan media sosial yang semakin menyeluruh dalam kehidupan masyarakat, serta menjadi suatu amaran kepada pihak-pihak yang suka mengguna media sosial untuk tujuan yang salah.
SELARI AMALAN ANTARABANGSA
Zulkarnain menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tehadap aktiviti salah guna media sosial bukanlah sesuatu yang janggal kerana ia diamalkan oleh negara lain.
Mengambil United Kingdom sebagai contoh, Zulkarnain berkata, negara itu turut mengenakan tindakan ke atas pengguna laman sosial yang menyebarkan kandungan bersifat jelik.
Peruntukan undang-undang seksyen 127, UK Communications Act 2003 menjelaskan seseorang pelaku boleh disabitkan dengan kesalahan ‘improper use of public electronic communication network’ dengan beberapa cara.
Antaranya, apabila mesej yang dihantar didapati ‘grossly offensive or of an indecent, obscene or menancing character’, atau ‘causing annoyance, inconvenience or needless anxiety to another’.
Seksyen 1, UK Malicious Communication Act 1998 turut menyentuh perkara serupa berkaitan penghantaran mel dengan niat untuk menyebabkan ‘distress or anxiety’.
LAHIRKAN WARGANEGARA DIGITAL
Selain menggalakkan warga Malaysia untuk lebih melibatkan diri dalam dunia siber untuk bersosial dan berniaga, kematangan dalam menggunakan platform-platform ini juga perlu dibina.
Boleh jadi kerana keliru tentang ‘kebebasan’ meluahkan pendapat dan ideologi masing-masing, ada yang tersilap langkah lalu melakukan kesalahan tanpa sedar.
SKMM sejak beberapa tahun lepas telah menjalankan beberapa program untuk melahirkan ‘warganegara digital’, iaitu pembinaan budaya positif dalam penggunaan media digital.
Asas kepada seseorang warganegara digital adalah penggunaan internet berdasarkan prinsip-prinsip Rukunegara dan membangunkan keupayaan untuk menilai, menerokai dan membangunkan pelbagai jenis kendungan dan perkhidmatan media.
Antara inisiatif yang telah diambil SKMM untuk usaha ini adalah melalui penganjuran program-program seperti ‘Klik Dengan Bijak’, ‘Check Your Label’, ‘Malaysia ICT Volunteer’, ‘Mobile E-Waste’ dan ‘Smart Community’. – BERNAMA

0 comment... add one now