Tahukah maksud 'Daesh' membuatkan militan IS mahu potong lidah anda

Istilah baharu ini membuatkan militan IS mahu potong lidah anda
Kumpulan militan IS dilaporkan tidak senang dengan panggilan Daesh kerana maksudnya yang tidak elok. - Gambar fail

KUMPULAN militan IS dilaporkan sangat membenci satu nama baharu yang dirujuk kepada mereka iaitu ‘Daesh’ kerana ia membawa maksud yang tidak elok.

Gelaran ‘Daesh’ itu merupakan singkatan akronim mengikut huruf dalam frasa Arab, al-Dawla al-Islamiya al-Iraq al-Sham (Negara Islam Iraq dan Mediteranean), dan pernah digunakan oleh Presiden Perancis Francois Hollande ketika diminta mengulas mengenai serangan maut di Paris.

Ejekan menggunakan istilah ‘Daesh’ juga dibuat melalui perang siber bagi merujuk kepada anggota kumpulan pengganas tersebut.

Namun, istilah tersebut dilaporkan tidak disukai IS kerana bunyi sebutannya mirip istilah Arab, ‘Daes’, yang membawa maksud ‘meremukkan sesuatu di bawah kaki’, mahupun perkataan ‘Dahes’, yang bermakna ‘orang yang mencetus perselisihan’.

Memetik portal berita NBC, pejuang-pejuang IS dikhabarkan mengugut untuk memotong lidah sesiapa sahaja yang mengguna pakai istilah berkenaan kerana ia mempersenda dan merendah-rendahkan aspirasi mereka.

Selain Hollande, istilah Daesh pernah digunakan oleh bekas Perdana Menteri Australia Tony Abbott dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry.

Sementara itu NBC melaporkan, seorang penganalisa keamanan Evan Kohlmann sebagai berkata: "Istilah tersebut (Daesh) adalah bersifat menghina dan ia bukanlah sesuatu yang baik untuk diucapkan kepada orang lain sekalipun anda tidak menyukai mereka."

Kaitan secara langsung

ISIS sebenarnya merujuk kepada akronim bagi nama 'Islamic State of Iraq and Syria' atau terjemahannya kumpulan ‘Negara Islam Iraq dan Syria’. Secara global, panggilan itu turut diringkaskan sebagai IS sahaja.

Sejak tindakan mereka melakukan penindasan, pembunuhan dan kemusnahan yang sewenang-wenangnya, laporan media sedunia mula meletakkan istilah ‘pengganas’, ‘pelampau’ atau ‘militan’ di hadapan kata IS.
Ia berikutan pegangan, perjuangan dan tindakan mereka tidak mewakili erti Islam sebenar yang menyeru kepada perdamaian dan keselamatan.

Dalam laporan berita di beberapa negara pun sudah tidak lagi merujuk kumpulan itu sebagai militan ‘Islamic State’ atau ‘Negara Islam’. Kebanyakan laporan sudah sekadar menyebut ‘militan IS’ kerana tidak mahu mengaitkan nama Islam bagi merujuk kepada kumpulan tersebut.

Di seluruh dunia, bagaimanapun, masih terdapat persepsi daripada sesetengah kelompok masyarakat dunia yang mengaitkan IS secara langsung dengan agama Islam.

0 comment... add one now