Siapa Abu Hamzah, Pengganas IS Dalang Pengeboman Di Puchong?


MELIHAT gambar wajahnya, orangnya kelihatan seperti pemuda tempatan lain: berkulit sawo matang dan bertubuh sedarhana.
Berasal daripada sebuah kampung di Melaka, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi telah mendapat perhatian dunia atas sebab yang tidak sepatutnya, iaitu menjadi lelaki paling dikehendaki dalam senarai keganasan antarabangsa.
Muhammad, juga dikenali dengan nama samarannya Abu Hamzah al-Fateh, berkemungkinan mempunyai sebuah laman sesawang peribadi yang diwujudkan hanya untuk tatapan teman-temannya, yang kini menjadi salah sebuah laman web dalam perhatian laman-laman ‘pengesan ancaman’.
Sejak dahulu lagi, pemuda berusia 26 tahun yang membesar di Jalan Bukit Tambun, Durian Tungga itu menjalani kehidupan yang peribadi dan tidak bersosial dengan masyarakat setempat hatta pada Hari Raya sekalipun.
Kemudian, dia dilaporkan menghilangkan diri dan pihak polis mendapati bahawa Muhammad telah melarikan diri ke Syria bersama-sama isterinya,26, pada 26 Januari tahun lalu.
Pembabitannya dengan aktiviti pengganas terbukti apabila dia telah menghebahkan secara langsung di Internet rancangannya untuk melancarkan beberapa serangan di Malaysia awal tahun ini dan ternyata, Muhammad mengotakan janjinya apabila dia didapati menjadi dalang pengeboman sebuah pub di Puchong, Movida, minggu lalu.
Difahamkan pengeboman itu diarahkan oleh Muhammad daripada jarak jauh, iaitu di Syria.
Sejak daripada itu, ektremis Islam ini sering dilihat di video-video yang dirakam oleh pihak miltan IS, termasuklah sebuah video yang viral pada 22 Feb. tahun lalu yang menunjukkan Muhammad memenggal kepala seorang lelaki Syria.
“Ini satu pembalasan buat pengintip yang mengkhianati Islam…satu pengajaran buat semua,” katanya di dalam video tersebut.
Sejak daripada itu, kumpulan pengganas itu telah mengeksploit keupayaannya untuk merekrut rakyat Malaysia untuk mengkoordinasikan serangan melalui ‘kawalan jauh’.
Sebuah akaun Facebook yang menggunakan nama samarannya masih wujud namun tidak lagi terbuka untuk tatapan orang ramai. Petikan kata-katanya masih tersebar di dalam media sosial golongan jihadi.
Dalam satu kiriman, Muhammad mengaitkan sebuah kisah daripada zaman remajanya dengan mengatakan.”Sepuluh tahun lalu, saya budak yang ‘disenarai hitam’ di kampung. Ibu bapa tidak benarkan anak-anak mereka berkawan dengan saya.
“Ya, dulunya saya nakal, tidak baik… namun Allah telah merahmati saya dengan ramai kawan yang memahami kelemahan diri saya,” katanya.
Muhammad turut mendedahkan bahawa dia sendiri direkrut melalui Facebook, yang telah membantunya untuk melarikan diri ke Syria.
Namun, kiriman statusnya yang lain menunjukkan sisi Muhammad yang berbeza; seorang yang prihatin terhadap golongan memerlukan apabila dia menceritakan kepada rakannya bagaimana dia telah menghabiskan 100 lira (RM143) untuk membantu sebuah keluarga miskin berketurunan Turki.
“Saya belikan mereka makanan seperti keropok dan sebagainya….kasihan mereka. Pakaian mereka kotor, mereka memakai but getah Phua Chu Kang…keadaan mereka amat menyedihkan.”
Muhammad Wanndy turut berkongsi imbasan kehidupannya dia dalam status Facebooknya, di mana pada kiriman status terbaru bertarikh 22 Feb. lalu (selepas insiden pemenggalan kepala lelaki Syria), dia bercakap tentang hidangan kambing yang menjadi santapannya setiap hari dan bagaimana masyarakat takut untuk mencuri.
Usaha Muhammad untuk merekrut ahli baru membuahkan hasil apabila ramai bakal-bakal militan dalam perjalanan ke Syria telah diberkas, termasuklah yang merancang untuk melancarkan serangan di sini.
Pihak polis mengesahkan serangan bom tangan di kelab malam Movida di Puchong itu dan satu lagi cubaan serangan di stesen LRT Setiawangsa didalangi oleh Muhammad.

0 comment... add one now