Senarai Program Menarik Aidilfitri 2016 Di Kaca TV3 dan TV9

mok-cun
Gambar : TV3

Selain dari keseronokan menjamu selera dan kunjung mengunjung ke rumah sanak saudara kala lebaran ini, aktiviti yang mesti dilakukan adalah menonton program raya di TV.

Selain dari juadah yang enak dan kuih raya, program raya juga adalah yang dinanti-nantikan. Sempena musim raya ini, TV3 dan TV9 membawakan banyak program raya yang ternyata mesti tonton.

Saya senaraikan program raya menarik Aidilfitri di bawah.

Raya Pertama

TELE RAYA – HELLO MR PERFECT RAYA (10.02 pagi)
PELAKON: Fattah Amin, Ruhainies, Raja Afiq, Ezzaty Abdullah, Dato Eizlan Yusof, Fiza Elite
Rumah tangga Izzul dan Alya begitu bahagia. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata. Masing-masing begitu teruja sehinggalah tiba bulan Ramadan, kekecohan mula tercetus apabila masing-masing kepenatan mengurus bayi dan persediaan untuk berbuka serta bersahur. Datin Seri Rosni dan Mak Temah sanggup menjaga bayi Alya. Alya dan Izzul enggan kerana mereka tidak mahu menyusahkan orang tua masing- masing. Arif dan Ainul pula masing-masing merasakan hubungan mereka semakin renggang. Sejak Ramadan bermula, mereka jarang dapat berbuka bersama kerana terpaksa memenuhi undangan majlis berbuka. Tambahan lagi Ain, bekas teman wanita Izzul kembali mengganggu hidup mereka.

FIESTA RAYA – MAK CUN PI NEW YORK (9.00 malam)
 Mak Cun ke New York untuk berjumpa dengan anaknya Atun selepas mendapat panggilan yang dia akan berkahwin di New York. Atun merahsiakan siapa bakal suaminya daripada Mak Cun. Mak Cun tergesa-gesa ke New York kerana bimbang anaknya akan berkahwin dengan “mat saleh” dan tidak mengikut ajaran Islam. Dalam keadaan huru hara, Mak Cun tetap membawa sejumlah produk keluaran kampung dan produknya untuk dipasarkan di sana. Mak Cun cuba selidik siapa bakal suami Atun, hingga menyebabkan pertelingkahan antara mereka. Mak Cun bertindak untuk keluar dari rumah tersebut dan berfikir untuk menyewa hotel di sekitar Bandar New York. Tanpa Mak Cun sedari, bayaran penginapan telah menjangkau lebih daripada wang yang dibawa oleh Mak Cun hingga menyebabkan dia ambil keputusan untuk menjual produknya di sana untuk membayar kos hotel. Mak Cun terserempak dengan lelaki berkulit hitam yang telah banyak membantunya untuk kembali kepada Atun.

Raya Kedua

TELE RAYA – RAYA KAMI (10.02 pagi)
PELAKON: Fattah Amin, Aida Aris, Azri Iskandar, Ellie Suriati, Elfaeza Ul Haq, Adik Azrell Omar, Adik Shiha Shahril, Adik Qurratu Ain, Adik Danial, Adik Adrianna
Ramadan kali ini, Zaidi dan Rahmah akan menunaikan umrah. Masalah timbul apabila mereka tidak ada penjaga untuk anak-anak mereka termasuklah ibubapa mereka yang setiap hari mahu menunaikan solat terawih di masjid. Maka, Rayyan iaitu adik kepada Rahmah bakal menjaga anak-anak mereka. Rayyan dikatakan seorang jurulatih yang tegas di Pusat Latihan Khidmat Negara. Anak-anak Zaidi dan Rahmah tidak suka pada Rayyan kerana jadual sepanjang bulan Ramadan mereka padat dengan ibadah dan disiplin. Suatu hari ketika menghantar anak-anak kakaknya ke kelas mengaji, Rayyan bertemu Ustazah Jannah dan mula cinta pandang pertama.

SKRIN RAYA – TEMBUS (12.02 tengah hari)
PELAKON: Aaron Aziz, Nur Fazura, Luna Maya dan Mia Sara Nasuha
Kisah sepasang suami isteri miliki segala kemewahan, kejayaan duniawi sehingga terlihat kesempurnaan mereka sukar ditembusi anasir luar, namun rupanya tanpa sedar ada riak diri segala perancangan hidup  sang isteri buat keluarga, mewujudkan lubang lubang kecil untuk dugaan besar menembusi dengan membawa lari satu satunya zuriat pengikat kasih mereka. Ketika itu, doa dan cinta sejati mampu menewaskan segala duga.

TELEMOVIE RAYA – KAK MARR RAYA (2.00 petang)
PELAKON: Izreen Azminda, Rozita Che Wan, Redza Rosli
Bulan Ramadan kembali lagi. Kak Marr memberitahu pekerjanya, Kak Raftah, Chef Di, Shahrir dan Dina bahawa warung akan ditutup kerana akan menumpukan perhatian kepada menjual barang atas talian. Dia juga akan mengambil tempahan menjual tudung Marr. Kak Raftah merancang untuk berniaga dengan Chef Di di warung Kak Marr untuk menambah pendapatan tetapi Asmah tiba-tiba memberitahu Kak Marr dia nak berniaga laksanya di situ. Beberapa hari kemudian, Kak Raftah dan Chef Di mengesyaki sesuatu telah berlaku di warung Kak Marr. Kelihatan ada orang makan di warung itu walaupun warung ditutup. Setelah disiasat barulah diketahui yang Asmah berniaga pada waktu siang. Dua hari menjelang raya, warung Kak Marr diserbu. Beberapa orang telah ditangkap kerana tidak berpuasa termasuklah Asmah dan Kak White. Hukumannya mereka dibawa di dalam kereta jenazah dan diarak di seluruh pekan.

RELAKS RAYA – JANGAN MACAM MACAM (4.02 petang)
Rancangan variasi Jangan Macam-Macam yang penuh gelak ketawa ini ini dihoskan oleh Chiwan dan Achok di mana mereka akan bertanyakan soalan cepumas, bermain ‘game’ dan mengenakan orang ramai di sekitar Kuala Lumpur.

HOMESTAY RAYA (5.00 petang)
PELAKON: Fizz Fairuz, Izreen Azminda, Ruminah Sidek, Achong Sweetchild, Ku Farida
Mak Jemah (50-60an) yang berasa sunyi kerana ketiga-tiga anaknya tidak dapat pulang berhari raya telah menjadikan bilik-bilik di rumahnya itu sebagai homestay untuk anak-anak orang kampung yang pulang daripada bandar. Malang tidak berbau apabila dua orang lelaki yang terlepas daripada rumah sakit jiwa yang menginap di homestay itu telah membuat kacau sehingga riuh sekampung. Kejadian tersebut menyebabkan ketiga-tiga anak Mak Jemah terpaksa pulang ke kampung.

Raya Ketiga

TELEMOVIE RAYA – SEUTAS GELANG EMAS (2.00 petang)
PELAKON:  Fahrin Ahmad, Jaja (DFKL), Rosnah Mat Aris, Norlia Ghani
Adam tinggal dengan ibunya di kampung. Berjawatan tinggi dan bergaji besar menyebabkan ibunya, Hasnah cukup bangga. Satu hari Bedah, penjual barang kemas, datang ke rumahnya untuk mengajak ke kenduri doa selamat. Di samping itu Bedah membuka juga barangan kemasnya. Hasnah tertarik pada seutas gelang tangan tetapi Adam tidak mengendahkannya. Adam jatuh hati pada Zaira, rakan sepejabatnya dan kemudiannya mereka berkahwin. Mulanya Zaira sangat rajin di dapur tapi bila bekerja semula, dia ‘naik lemak’. Manisah dengan bangga menunjukkan gelangnya kepada Hasnah. Hasnah merasa sedih dan memalingkan muka tak sanggup melihat gelang yang sangat diingininya itu dipakai oleh besannya kerana Adam mampu membelikan gelang untuk mentuanya tapi bukan untuknya.

RELAKS RAYA – YEKE?! ADIK (4.02 petang)
Meraihkan Raya dengan Ogy Ahmad Daud & AG Kool FM bersama-sama adik-adik cilik, Muntazar dan Firdaus Gufran, Ryssa, Rykarl dan ramai lagi. Saksikan gelagat lucu mereka menjawab soalan secara spontan dan persembahan istimewa sempena Raya ini.

Raya Keempat

DRAMA RAYA – KETUPAT TERAKHIR (5.00 petang)
PELAKON: Azhan Rani, Nabila Huda, Fauziah Nawi, Norlia Ghani, Haeryanto Hasan
Mak Nen sentiasa mengingati saat-saat bahagia dia bersama satu-satunya anak tunggalnya, Rahim. Namun setelah berkahwin, sikap Rahim mula berubah. Mak Nen nekad tahun ini dia mahu beraya dengan Rahim. Pada malam raya, Rahim dan isterinya, Dira akan berangkat ke Paris. Dengan pertolongan Wahid anak muda yang selalu membantunya, Mak Nen telah pergi ke KL dengan menaiki kereta lama Wahid. Orang gaji memberitahu yang mereka telah pergi keluar negara. Hancur hati Mak Nen. Dia membawa ketupat dan Wahid mengajak Mak Nen pulang semula ke kampung. Rahim pula telah bertengkar dengan Dira di tepi jalan hampir ke KLIA. Dia rasa berdosa pada ibunya dan mahu kali ini bertemu dengan ibunya. Sepanjang jalan pulang Rahim mengingati semua kesilapannya dan betapa derhakanya pada ibu yang terlalu menyayanginya.

Raya Kelima

TELEMOVIE RAYA – MISIKU KUBUR (2.00 petang)
PELAKON: Joey Daud, Azrel Ismail, Kilafairy, Munir, Zizan Nin, Datuk Boy Iman, Maimunah Ahmad, Hamid Gurkha
Zack telah dibebaskan dari hukuman penjara kerana dituduh merompak kedai emas. 15 tahun lepas, dia telah menyembunyikan emas rompakan tersebut di suatu tempat. Setelah keluar dari penjara, dia mahu ke lokasi itu bersama seorang kenalan barunya, Fakir. Malang tidak berbau apabila lokasi itu telah menjadi tanah perkuburan. Bermulalah misi Zack dan Fakir untuk mendapatkan semula emas rompakan tersebut diselangi dugaan yang sentiasa ada di sekeliling mereka.

DRAMA RAYA – SEHELAI SONGKET BERBUNGA PENUH (5.00 petang)
PELAKON: Namron, Amar Asyraf, Hanis Kamal Bakar, Rosnah Johari, Sabrina Ali, Ariff BMB
Haikal bekerja di bandar. Dia datang dari keluarga yang sederhana. Pada hari Raya tahun ini, dia berhajat untuk menghadiahkan bapanya, Fadil, sehelai sampin songket kerana selama ini Fadil tidak pernah memiliki walaupun sehelai. Haikal mengajak rakan serumahnya, Johan, untuk menemaninya mencari songket. Mereka berurusan dengan Farah, pembantu di gedung kain tersebut yang merupakan bekas kekasih Haikal. Namun, perkara tersebut dirahsiakan daripada pengetahuan Johan. Johan yang mula jatuh hati dan keluar bersama Farah akhirnya mendapat tahu tentang kisah silam mereka. Hubungan rapat mereka mula renggang sehingga terjadi sebuah insiden yang menyebabkan Johan menyesal.

0 comment... add one now