Resepi Serunding Udang Kering.. Pasti Laris Di Hari Raya!



APABILA menjelangnya hari raya, rasanya tak lengkap sekiranya di atas meja makan tiada ketupat, lemang atau nasi impit.
Pun begitu, juadah wajib Aidilfitri ini perlu disertakan lauk yang sesuai seperti rendang dan serunding.
Bercakap pasal serunding, amat mudah untuk kita mencari serunding daging, ikan dan ayam di pasaran.
Oleh itu, apa kata raya tahun ini kita cuba sesuatu yang baru iaitu serunding udang kering.
Sebenarnya di kampung-kampung, resepi ini sangat popular dan laku keras jika dihidangkan kepada keluarga mahupun tetamu.
Apa yang menariknya, juadah ini sebenarnya sangat mudah dilakukan dan bahan-bahannya juga senang didapati.
Tak percaya.. cubalah..
Bahan-bahannya:
1 biji kelapa (parut putih)
1/3 camca teh serbuk kunyit (digaul)
3 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
2 camca besar cili kisar (atau lebih jika nak pedas)
8 biji bawang merah dikisar
2 ulas bawang putih dikisar
1/2 inci lengkuas dikisar
3 batang serai, hiris halus
1 camca besar penuh ketumbar biji dikisar
1/2 camca teh jintan kasar dikisar
1/2 camca teh jintan halus dikisar halus
4 helai daun limau purut
Garam dan gula secukup rasa
images (1)
Cara-caranya:
1.Kelapa parut digaul dengan kunyit tadi disangai dalam kuali selama 2-3 minit, angkat dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan udang kering, tumis hingga terbit minyak, guna api sederhana.
3. Masukkan garam secukup rasa gula (selalunya serunding agak manis sedikit) dan daun limau purut, kacau rata dan biar masak sekejap.
4.Masukkan kelapa tadi dan gaul rata, masak dengan api kecil sambil dikacau hingga serunding tadi kering dan ringan, tapi masih lembap. Angkat dan sejukkan.
Serunding udang kering ini sangat sesuai dimakan bersama nasi impit. Memang menjilat jari punyalah. Selamat mencuba. – MYNEWSHUB.CC
Kredit: Blog Tiffinbiru

0 comment... add one now