Penjelasan KP kesihatan tentang mengapa orang dewasa turut boleh dijangkiti virus difteria

Datuk-Dr-Noor-Hisham-Abdullah
Mengenai wanita yang dijangkiti virus difteria walaupun telah diimunisasi semasa kecil, Dr. Noor Hisham berkata, memandangkan wanita itu telah diimuniasi, beliau hanya mengalami jangkitan difteria yang ringan.
“Selepas enam tahun imunisasi lengkap diberikan, paras antibodi yang terbentuk dalam tubuh akan mula mengurang. Namun, sel-sel memori yang spesifik terhadap penyakit difteria yang akan membantu pembentukan antibodi dengan cepat sekiranya mendapat jangkitan di masa hadapan.
“Apabila sejumlah besar bakteria Corynebacterium Diphtheria masuk ke dalam tubuh penerima imunisasi lengkap, antibodi yang terhasil mungkin tidak mencukupi bagi melawan jangkitan itu…tetapi mereka hanya akan mengalami gejala ringan dan terhindar daripada komplikasi penyakit,” jelasnya.
Menurutnya, penyakit difteria boleh menyerang orang dewasa atau kanak-kanak dan risiko seseorang untuk mendapat penyakit berkenaan bergantung kepada status imunisasi mereka.
“Risiko jangkitan dalam kalangan mereka yang mendapat imunisasi lengkap adalah lebih rendah. Sekiranya dia dijangkiti, kebiasaannya gejala itu ringan,” katanya.
“Bagi yang tidak mendapatkan imunisasi lengkap, dia akan cenderung mendapat gejala lebih teruk dan mengalami komplikasi yang boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Dr. Noor Hisham berkata, Program Imunisasi Kebangsaan pada masa ini hanya memberi fokus kepada kanak-kanak berumur tujuh tahun dan ke bawah bagi memastikan mereka menerima imunisasi lengkap kerana kumpulan itu berisiko tinggi mendapat gejala difteria teruk hasil daripada penghasilan toksin.
“Kadar kematian akibat jangkitan difteria dalam kalangan kanak-kanak juga lebih tinggi dengan mencecah 25 peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun,” katanya.
Sumber: Bernama

0 comment... add one now