Pelaburan Emas Mengikut Perspektif Syariah



Pelaburan emas semakin popular dalam kalangan masyarakat kebelakangan ini. Produk pelaburan emas ditawarkan oleh pelbagai pihak sama ada institusi perbankan, syarikat-syarikat jualan emas dan pengurus-pengurus dana. Melihat kepada situasi ini, timbul satu persoalan sejauh mana pelaburan jenis ini dibenarkan dalam syariah dan memenuhi lunas-lunas syarak?

Perkara ini memerlukan penelitian yang mendalam daripada perspektif syariah.
Sekiranya dilihat dalam konteks kini, emas sering digunakan sebagai komoditi dalam perniagaan bagi mendapatkan keuntungan.
Ini berbeza dengan amalan pada zaman dahulu iaitu emas digunakan sebagai mata wang bagi membeli barang yang dikehendaki. Secara umumnya, Islam tidak melarang jual beli yang melibatkan emas sebagai komoditi. Segala bentuk jual beli adalah dibolehkan selagi ianya tidak melibatkan unsur riba. Ini dapat difahami melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 275:
“Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”
Berhubung dengan pelaburan emas yang kini menjadi pilihan disebabkan potensi keuntungannya, ianya perlu mematuhi parameter dan syarat yang telah ditetapkan dalam Islam memandangkan Islam menilai emas dan perak sebagai item ribawi.
Hadis yang menerangkan tentang syarat-syarat bertransaksi dengan item ribawi adalah seperti berikut;
“Emas (harus ditukar atau diniagakan) dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam, mestilah sama timbangan, dan ditukar secara terus (dalam satu masa) dan sekiranya (tukaran berlaku antara komoditi) berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai jika ia dilakukan dalam bentuk tunai.” (Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas yang menerangkan syarat bagi jual beli atau tukaran yang melibatkan enam item ribawi iaitu daripada jenis emas, perak, gandum, barli, kurma dan garam.
Mata wang
Kebanyakan ulama mengkategorikan item-item jenis ini kepada dua kategori utama iaitu mata wang dan makanan asasi.
Kategori mata wang melibatkan emas dan perak. Majoriti jumhur fuqaha mengatakan illah di dalam pengharaman dalam isu emas ini adalah sifatnya sebagai mata wang iaitu ia dianggap sebagai harga dan emas termasuk dalam kategori ini.
Apa-apa yang dianggap sebagai mata wang seperti wang kertas atau wang fiat, maka dianggap sebagai jenis mata wang yang tersendiri. Jika ia ditukar dengan emas maka sebarang nilai tambahan adalah dibenarkan tetapi dengan syarat pertukaran tersebut mesti dilakukan secara lani dan tiada sebarang unsur penangguhan di dalam transaksi tersebut.
Dalam konteks zaman kini, kategori tersebut turut merangkumi wang fiat yang digunakan secara meluas di seluruh dunia seperti Ringgit Malaysia, Pound Sterling, Dolar Amerika Syarikat dan sebagainya.
Kategori makanan asasi pula melibatkan item selebihnya yang tersebut dalam hadis iaitu gandum, barli, kurma, dan garam. Terdapat juga sebilangan ulama yang turut memasukkan jenis makanan lain ke dalam kategori ini.
Berpandukan hadis tersebut, ulama telah menggariskan beberapa syarat dalam urus niaga yang melibatkan item-item berkenaan. Syarat ini boleh dikelaskan kepada tiga syarat.
Pertama, jika suatu tukaran itu melibatkan item daripada jenis yang sama seperti emas dijual beli dengan emas atau barli dengan barli, maka ia perlulah ditukar dengan kuantiti yang sama dan serahan mesti disempurnakan secara lani.
Kuantiti
Sebagai contoh dalam perdagangan emas, 100 gram (g) emas mesti ditukar dengan 100g emas dan perlu diselesaikan dalam satu majlis akad yang sama. Perbezaan pada kuantiti tukaran adalah termasuk dalam riba yang diharamkan.
Kedua, jika item tukaran adalah berlainan jenis namun masih tergolong dalam kategori yang sama, seperti tukaran antara emas dan perak (ketegori mata wang), atau tukaran antara barli dan kurma (kategori makanan asasi), maka ianya hanya disyaratkan untuk disempurnakan secara lani dan tidak menjadi kesalahan jika terdapat perbezaan pada kuantiti dengan tujuan keuntungan.
Ini bermakna, sebagai contoh, 10g emas boleh dijual dengan berapa jua harga yang dikehendaki, dengan syarat urusniaga dan serahan barang tukaran perlu diselesaikan sebelum penjual dan pembeli berpisah dari majlis akad.
Ketiga, jika tukaran melibatkan item dari kategori yang berbeza seperti tukaran antara emas dan barli, maka pihak yang berurus niaga berhak untuk meletakkan apa jua harga serta dibenarkan juga untuk berurusniaga secara lani mahupun hutang.
Jika melihat kepada pelaburan emas yang dijalankan pada hari ini, semestinya ia akan melibatkan urusan jual beli emas yang memerlukan pihak yang terlibat untuk patuh kepada peraturan dan syarat tertentu yang digariskan oleh Islam. Sekiranya syarat-syarat ini tidak dapat dipenuhi maka ia akan menyebabkan akad jual beli terbatal dan tidak sah.
Namun beberapa isu semasa timbul berkaitan jenis instrumen pelaburan tersebut antaranya, adakah ia memenuhi syarat transaksi secara lani dan pertukaran dalam kuantiti yang sama? Sebagai contoh, emas ditukar dengan wang kertas. Syarat pertukaran dua item tersebut dengan kuantiti yang sama adalah tidak terpakai dalam hal ini tetapi transaksi tersebut harus dilakukan secara lani kerana emas juga berada dalam kategori mata wang.
Transaksi
Mutakhir ini, terdapat beberapa jenis kaedah pembayaran yang kompleks dalam melakukan transaksi perdagangan emas semasa seperti pembayaran pembelian emas dengan menggunakan kredit kad dan cek. Adakah kaedah ini memenuhi syarat syarat lani dan tidak bertangguh dalam urusniaga emas ini?
Perkara ini telah dibincangkan secara terperinci oleh beberapa badan fatwa berautoriti seperti Akademi Fiqh Pertubuhan Islam Antarabangsa (OIC) yang memutuskan bahawa sebarang pembelian emas menggunakan cek antarabangsa atau kad kredit patuh Syarak yang hanya memerlukan penyelesaian pembayaran dalam tempoh tiga hari bekerja adalah diharuskan oleh Syarak seperti mana yang dipraktikkan (uruf) hari ini.
Keharusan ini adalah berpandukan kepada pendapat para ulama Mazhab Maliki serta beberapa ulama mutakhir termasuk Sheikh Dr. Abdul Sattar Abu Ghuddah. Pendapat ini juga disokong oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ketika membincangkan isu serahan bayaran ini pada muzakarah ke-96 yang bersidang pada 13 hingga 15 Oktober 2011.
Majlis memutuskan bahawa pembayaran bagi jual beli emas boleh dilakukan dalam beberapa cara seperti bayaran tunai, bayaran menggunakan kad debit atau kredit, dan melalui pindahan wang dari akaun simpanan atau semasa.
Pembayaran melalui kad kredit boleh menjadi suatu persoalan namun, Majlis telah memutuskan bahawa bentuk bayaran sedemikian adalah dikira sebagai bayaran tunai kerana penjual emas akan mendapat bayaran tersebut daripada pengeluar kad kredit. Cara ini secara urufnya diterima pakai oleh para peniaga emas.
Dalam isu serahan emas pula, Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan parameter yang lebih ketat di mana serahan emas kepada pembeli mesti dilakukan secara lani sahaja dan tiada tempoh tiga hari dibenarkan.
Hal ini kerana, tempoh tiga hari bukanlah merupakan suatu amalan dalam serahan emas dan ianya tidak boleh disamakan dengan konsep T+2 seperti mana yang digunakan dalam tukaran matawang asing (foreign exchange).
Namun penetapan syarat tersebut hanya terpakai bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas tetapi tidak terpakai bagi barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.
Di samping itu juga, antara isu utama yang perlu dilihat adalah taqabudh. Taqabudh adalah antara syarat utama dalam melakukan transaksi emas dan harga yang diniaga mesti dilakukan dalam satu majlis akad yang sama. Bagaimanapun, taqabudh mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam beberapa situasi atau halangan.
Pertama, di dalam isu penyerahan emas secara fizikal di mana transaksi emas dilakukan dari tangan ke tangan ketika majlis akad ini dinamakan taqabudh haqiqi.
Namun, komplikasi dan halangan yang dihadapi mutakhir ini seperti transaksi jangkau sempadan yang melibatkan jarak yang jauh antara dua pihak yang berkontrak, taqabudh haqiqi mungkin sukar untuk dilaksanakan.
Bukti Bertulis
Maka, dalam isu ini, taqabudh hukmi dipertimbangkan di mana si penjual emas boleh menerbitkan bukti bertulis kepada si pembeli yang menandakan pemilikan dan hak ke atas emas yang dibeli oleh pembeli emas tersebut.
Bukti bertulis tersebut membolehkan pembeli untuk menggunakan atau menjualnya pada bila-bila masa. Dalam kes ini juga, memandangkan emas yang dibeli itu tiada dalam majlis aqad ketika transaksi dibuat maka, emas hendaklah ditentukan (ta`yin) dari segi gred, kualiti dan kuantiti tertentu bagi mengelakkan isu gharar dalam jual beli.
Taqabudh jenis ini dibenarkan oleh Syarak meskipun penyerahan fizikal tidak berlaku.
Namun, di samping keharusan tersebut, ia tetap tertakluk kepada kewujudan emas itu sendiri iaitu penjual mesti memiliki barang tersebut sebelum menjualnya. Salah satu syarat dalam jual beli ialah pemilikan mesti sempurna bersama penjual.
Oleh itu, sekiranya emas tersebut tidak dimiliki penjual ketika transaksi dilakukan dengan pembeli maka, transaksi tersebut terbatal kerana penjual menjual barang yang tidak dimilikinya.
Hal ini selari dengan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Ibnu Hibban, dan at-Tirmidzi: “Janganlah kamu menjual apa yang tidak ada padamu”.
Objektif utama larangan menjual barangan yang tidak dimiliki adalah untuk mengelak pertikaian antara pembeli dan penjual kerana transaksi tersebut boleh membawa kepada gharar (keraguan) yang dilarang oleh Islam. Hukum yang sama turut terpakai dalam jual beli emas.
Secara keseluruhannya, Islam tidak melarang jual beli walaupun ia melibatkan emas sebagai aset sandaran. Namun, hukum dan syaratnya haruslah dipelajari serta dipatuhi oleh para pelabur, penjual serta pembeli kerana ia merupakan salah satu item ribawi.
Source

1 comment... add one now

ayunie ramli ayunie ramli Julai 03, 2016
Ni mek punya experience. pernah mek pegi survey untuk beli cincin between kedai cina and melayu. Okei bab harga mas memang tak leh tipu sebab harga pasaran. tapiii, kedai cina, memang dia akan cakap upah untuk cincin tu brpe. and dia amek untung brape. kalau kedai melayu, tanya upah katanya tak boleh bgtahu. dah kita kira depan dia, di marahnya lg sbb memandai daripada dia. rupanya, beza upah kedai cina dan melayu jauhhhh beza. bukan nak jatuhkan anak bangsa sendiri. tapi, anak bangsa sendiri yang tak reti nak jaga diri dan perniagaan. tak paham dengan mentaliti orang cam gini.