Negara Mana Cuti Raya Puasa Selama 11 Hari?


Ketika penjawat awam di Malaysia seronok mendapat cuti panjang sempena Aidilfitri selama lima hari bermula 6 Jun, situasi berbeza pula dirasakan di negara-negara lain khasnya jika Muslim hanya penduduk minoriti.

Negara jiran kita, Singapura sebagai contoh, warga tempatan bakal menikmati cuti umum cuma sehari meraikan sambutan Hari Raya Puasa pada Rabu ini. Jika mahu lebih hari, maka terpaksalah mengisi borang cuti tahunan.
Namun, di negara-negara majoriti Islam antaranya Arab Saudi dan Qatar, para penduduk tempatan ternyata dapat ‘menikmati’ lebih lama lagi harinya kerana diberikan cuti umum sempena perayaan Aidilfitri sehingga 11 hari!
Tahun ini, warga di dua buah negara rantau Asia Barat itu bakal menikmati cuti umum Hari Raya yang paling panjang sejarah dan dalam kalangan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), iaitu sepanjang 11 hari.
Menurut portal berita Gulf News, cuti umum itu bagaimanapun diperuntukkan khas hanya bagi para kakitangan sektor awam dan tidak melibatkan petugas sektor swasta yang tertakluk kepada terma pelepasan kerja yang berbeza.
Di Qatar, kakitangan sektor swasta biasanya mendapat cuti tiga hari pada Aidilfitri. Namun oleh kerana sambutan kali ini sejajar dengan cuti sekolah, ribuan penduduk dijangka ke luar negara untuk bercuti, lapor Doha News.
Negara jirannya iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula, para penduduk hanya akan menikmati cuti umum selama sembilan hari, iaitu mulai 1 Julai lalu sehingga 9 Julai, menurut laporan stesen penyiaran terkenal Al-Jazeera.
Jutaan warga UAE juga dijangka berduyun-duyun pergi bercuti ke luar negara sepanjang cuti umum Aidilfitri, yang secara kebetulan sejajar pula dengan permulaan cuti persekolahan, lapor laman berita tempatan The National.
Hampir dua juta orang diramalkan menggunakan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dari 1 hingga 8 Julai, menurut Pengurus Besar Sharaf Travel di Dubai, Premijit Bhangara yang dipetik oleh laman tersebut.
Beliau seterusnya berkata, para penduduk UAE yang ingin lari daripada suhu panas dan menikmati cuaca dingin lazimnya selesa memilih untuk menginap lebih lama di negara-negara benua Eropah atau rantau Amerika Utara.
Seperti juga UAE, rakyat di dua buah negara majoriti Islam iaitu Turki dan Bangladesh turut diberikan cuti umum dan ditambah lagi dengan kelepasan hujung minggu selama sembilan hari sempena perayaan Aidilfitri.
Menurut akhbar Daily Sabah, Turki melanjutkan cuti Aidilfitri, yang digelar “Seker Bayrami” atau “Ramazan Bayrami” dalam bahasa Turki, daripada tiga hari pada tahun-tahun sudah kepada sembilan hari mulai tahun ini.
Kadar penginapan hotel di kawasan-kawasan pelancongan popular di seluruh Turki dijangka melonjak kepada lebih 80 peratus sepanjang cuti umum panjang tersebut, hasil tempahan amat tinggi daripada pelancong tempatan.
Menurut wakil agensi pelancongan negara tersebut seperti dipetik akhbarHurriyet Daily News, keadaan itu dijangka memberi sedikit kelegaan kepada industri pelancongan Turki yang terjejas teruk sejak kebelakangan ini.
Ia susulan beberapa serangan bersiri pengganas di negara berkenaan dan yang paling baharu di terminal dewan ketibaan Lapangan Terbang Antarabanga Ataturk, Istanbul yang meragut 28 nyawa pada akhir bulan lalu.
Lebih 1.5 juta pelancong luar negara dilaporkan mengunjungi kawasan resort Antalya melalui udara dalam lima bulan pertama tahun ini, merosot 42 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2015, menurut laman tersebut.
Sementara itu, kerajaan Oman dilaporkan bersetuju mengumumkan cuti umum selama lima hari manakala pihak pemerintah Pakistan pula hanya mengisytiharkan kelepasan Hari Raya Puasa selama empat hari mulai 5 Julai.
Presiden Filipina, Rodrigo Rody Roa Duterte yang baharu sahaja mengangkat sumpah jawatan pada 30 Jun lalu turut mengisytiharkan 6 Julai sebagai cuti umum negara itu sempena Aidilfitri, menurut laman berita update.ph.
Berikut senarai cuti umum Aidilfitri di beberapa negara seperti dipetik daripada Al-Jazeera:
  • Arab Saudi = Cuti 11 hari, 30 Jun – 10 Julai
  • Qatar = Cuti 11 hari, 3 – 11 Julai (termasuk hujung minggu 1-2 Julai)
  • UAE = Cuti 9 hari, 1 – 9 Julai
  • Bangladesh = Cuti 9 hari, 1 – 9 Julai
  • Turki = Cuti 9 hari, 2 – 10 Julai
  • Oman = Cuti 5 hari, 5 – 9 Julai
  • Pakistan = Cuti 4 hari, 5 – 8 Julai
  • Indonesia = Cuti 5 hari, 4 – 8 Julai
  • Malaysia = Cuti 3 hari, 6 – 8 Julai
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

0 comment... add one now