Ini sebabnya anda perlu mengambil kayu manis dalam pemakanan!

Foto - wishgardenherbs.com

Malaysia kaya dengan rempah-ratus yang bermanfaat untuk kesihatan tubuh. Salah satunya adalah kulit kayu manis. Kulit kayu manis dikenali sebagai bahan tambahan yang sering dicampur dalam makanan dan minuman. Selain aromanya yang wangi, kayu manis ternyata sangat bermanfaat mengubati pelbagai jenis penyakit.
Meningkatkan Aktiviti Otak
Kajian mendapati pengambilan kayu manis dalam diet seseorang dapat membantu proses pembelajaran menjadi lebih berkesan.
Menurut kajian yang dijalankan seorang pakar penyelidik daripada Universiti Rush, Chicago, Amerika Syarikat, Dr. Kalipada Pahan, kebanyakan individu terutamanya golongan pelajar sering mengalami masalah dalam proses pembelajaran disebabkan kekurangan kandungan protein dalam sistem tubuh.
“Kandungan protein dalam tubuh seseorang penting kerana ia membantu menyerap maklumat dengan lebih cepat dalam minda mereka. Menerusi kajian yang dijalankan terhadap 50 orang pelajar, kami dapati kemampuan mereka untuk menyerap kesemua pembelajaran bertambah baik selepas menambah sedikit kayu manis dalam pemakanan,” jelasnya.
Ujar Pahan, tindak balas tersebut berlaku disebabkan kebolehan kayu manis untuk menukar kandungan natrium benzoat iaitu sejenis zat yang berupaya untuk mencergaskan fungsi neuron di dalam otak pada sistem tubuh manusia dengan cepat.
Anti-Bakteria
Minyak semula jadi yang berasal dari kulit kayu manis atau Cinnamaldehyde ternyata dapat mencegah pertumbuhan bakteria pada tubuh badan. Atas kandungan anti bakteria ini, kayu manis boleh digunakan sebagai bahan pengawet makanan semulajadi.
Menghalang Pembekuan Darah
Minyak yang diperbuat dari kulit kayu manis juga boleh mencegah penggumpalan darah. Kulit kayu manis boleh mengeluarkan asid lemak anti-keradangan yang disebut arachidonic. Asid lemak inilah yang berperanan mengurangkan radang dan pembekuan darah.
Memanaskan Badan
Rawatan tradisional Cina biasa menggunakan kulit kayu manis untuk mengubati demam dan selesema. Kulit kayu manis mengandunig zat yang berperanan membuat tubuh semakin hangat dan seterusnya memberi rasa keselesaan.
Membantu Pencernaan
Kandungan yang terdapat dalam kulit kayu manis seperti kalsium, serat dan mineral adalah sangat baik untuk kesihatan pencernaan usus, serta melindungi diri daripada penyakit jantung. Selain itu juga membantu menghilangkan garam pada tubuh dan mencegah kanser usus. Selain daripada itu, serat kulit kayu manis juga dapat mengubati cirit-birit.
Mengawal Gula Dalam Darah
Antioksidan yang terkandung dalam kayu manis dapat membantu mengawal tahap gula darah. Bagi pesakit kencing manis, terutama mereka yang berada di tahap kedua, kulit kayu manis berperanan dalam memperbaiki respon insulin dan membantu proses pencernaan selepas makan. Satu gram kulit kayu manis boleh menurunkan tahap gula darah, triglycerides, kolesterol malahan ia boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada pesakit diabetes.
Kulit kayu manis ternyata memberi manfaat “manis” bagi tubuh. Rempah ini dapat dijadikan sebagai ubat-ubatan semulajadi. Jadi jangan ragu lagi untuk menambah kulit kayu manis pada makanan dan minuman untuk membantu anda menjaga kesihatan tubuh badan.

0 comment... add one now