Gambar 'roh' jadi viral di Kentucky, sebenarnya ilusi imej pareidolia!

Gambar 'roh' jadi viral, netizen bertelagah bentang pelbagai teori

SEKEPING gambar yang dirakam selepas satu kemalangan jalan raya di Kentucky, Amerika Syarikat, menjadi viral di laman sosial gara-gara satu imej pelik yang kelihatan dalam gambar berkenaan.

Kemalangan itu berlaku pada jam 5.30 petang, 12 Julai, 2016, membabitkan sebuah motosikal yang dipercayai hilang kawalan dan terbabas.

Seorang pengguna Facebook dengan nama Saul Vazquez, merakam gambar itu ketika pasukan paramedik sedang menjalankan tugas menyelamatkan mangsa di tepi jalan.

Imej pelik berwarna putih itu dilihat dalam bentuk manusia, seolah-olah sedang berada di awang-awangan.

Ia sudah dikongsi lebih 12,000 kali semenjak dimuat naik Selasa lalu.


Justeru dalam kalangan netizen, ramai yang membuat tanggapan ia adalah 'roh' mangsa yang dilaporkan meninggal dunia.

Namun ramai juga yang tidak setuju dengan tanggapan itu, atas alasan mangsa, menurut banyak laporan portal berita, meninggal dunia di hospital.

Dalam masa yang sama, ada juga yang berpendapat ia hanya sekadar ilusi dan apa yang dilihat dalam gambar itu adalah sebahagian daripada imej pareidolia.

Pareidolia, dalam ilmu psikologi, merujuk kepada satu fenomena di mana terjadi satu ransangan dalam minda yang menyebabkan manusia mempercayai satu bentuk wujud, walaupun pada hakikatnya ia tiada.

Antara fenomena pareidolia adalah 'Face of Mars' atau Wajah Marikh, di mana ia kelihatan seperti wajah manusia dari jauh, namun apabila dilihat dari dekat ia hanyalah formasi batu-batuan di planet itu.

0 comment... add one now