Cara Mudah Bina Rumah Tiga Bilik Dengan Harga Serendah RM 20,000

Percayakah anda satu projek yang boleh membina sebuah rumah dengan kos serendah RM 20,000? Dengan memiliki tiga bilik dan disiapkan tidak sampai sebulan. Nak tahu bagaimana? Jom ikuti kisah ini. 

Mungkin ramai yang sangsi namun, sekumpulan pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia membuktikan mereka boleh membina rumah berkeluasan 600 kaki persegi itu pada kos dan tempoh berkenaan.
Dengan dibantu pensyarah selain berbekalkan kemahiran, mereka melakukan pembinaan ‘luar biasa’ itu di daerah Besut pada akhir Mac lalu.

Sehingga kini, sebanyak 15 rumah telah dibina untuk penduduk miskin dan kurang berkemampuan.

Sejak berjaya membina rumah Program Rumah Komuniti, pelbagai pihak mula yakin dengan kemampuan pelajar dan pensyarah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidik Tinggi itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, beliau mengilhamkan program berkenaan kerana mahu menyelesaikan masalah ketiadaan rumah dalam kalangan penduduk miskin dan kurang mampu.

Beliau berkata ketika mengemukakan cadangan membina rumah komuniti secara cepat, murah dan berkualiti itu, ramai yang tidak percaya ia boleh dilaksanakan.

“Dengan kesanggupan dan semangat, pelajar dan pensyarah Kolej Komuniti Malaysia mencatatkan sejarah dengan membina Rumah Komuniti yang pertama untuk penduduk miskin dengan kos lebih murah dalam jangka waktu singkat pada akhir Mac lepas,” katanya semasa menyerahkan Rumah Komuniti Ke-15 di Kampung Pak Demalik, Jerteh di sini.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata rumah pertama dibina di Kampung Padang Landak Jerteh dalam masa 22 hari dengan kos RM19,900 melalui kaedah Sistem Pembangunan Industri (IBS).

“Kaedah IBS dapat menjamin pembinaan rumah yang kukuh dan memenuhi aspek pembinaan kediaman.

“Setakat ini, empat daripada rumah itu dibina di kawasan Dun Jerteh, lima di Dun Kota Putera, empat di Dun Kuala Besut dan dua di Dun Hulu Besut,” katanya.

Idris berkata, Program Rumah Komuniti itu akan diperluaskan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk Universiti Malaya melalui Jabatan Kejuruteraannya yang menawarkan kepakaran teknologi hijau dalam pembinaan, yang belum pernah dilaksanakan di dunia.

Selain itu, beberapa syarikat pembinaan turut membantu dengan memperkenalkan produk pembinaan rumah berteknologi tinggi yang mampu menghindar kepanasan dan tahan sehingga 40 tahun seperti pembinaan Rumah Komuniti di Kampung Beris Lampu Kuala Besut, yang kini diduduki ibu tunggal, Normahani Mohamad, 43, dan enam anaknya.

Susulan kejayaan itu, Idris berkata beliau menyasarkan pembinaan 100 rumah lagi di Besut sepanjang tahun ini dengan peruntukan RM2 juta.

“Program Rumah Komuniti bukan sahaja membantu penduduk malah memberi peluang kepada pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti mengakplikasikan ilmu yang dipelajari dalam program pembinaan rumah untuk komuniti .

“Graduan banyak belajar dari program ini kerana mereka bukan sahaja seronok bekerja sambil belajar malah, dapat membuktikan kemahiran masing-masing hasil kolaborasi pengarah, pensyarah dan pelajar dalam pengurusan masa dan amalan displin bekerja,” katanya.

Pembinaan Rumah Komuniti itu melibatkan banyak pihak termasuk pelajar yang menyumbang tenaga dalam menyiapkan rumah termasuk pendawaian dan saluran paip.

Penduduk tempatan menyiapkan kerja tapak rumah sementara Pegerakan Pemuda Umno Besut menguruskan pemilihan penduduk miskin dan yang kurang mampu.

Idris berkata, program itu mendapat perhatian banyak pihak di negeri lain kerana penjimatan kos pembinaannya berbanding Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang memerlukan kos RM40,000 bagi sebuah rumah.

Program Rumah Komuniti juga mula dilaksanakan di Sabah melalui usaha Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching, yang akan membina 12 buah rumah dan sebuah daripadanya telah siap dibina di Tawau.

P/S : Boleh buat satu nie...

0 comment... add one now