Apa cara terbaik menjual kenderaan terpakai anda?

Apa cara terbaik menjual kenderaan terpakai anda?

Kereta ialah keperluan pada masa ini.

Namun, kereta dan kenderaan lain yang harganya melambung tinggi di Malaysia menyebabkan kebanyakan di kalangan kita tidak berkemampuan untuk memiliki lebih daripada satu kereta.

Selain itu, majoriti rakyat Malaysia memerlukan masa 5 ke 9 tahun bagi membayar balik pinjaman pembelian kenderaan mereka.

Pada masa yang sama, terdapat juga orang yang perlu menukar kereta baharu disebabkan oleh penambahan anggota keluarga.

Walau apa-apa sebab pun, menjual kereta di Malaysia tidaklah terlalu payah, jika anda mengetahui prosesnya.

Berikutnya, pilihan anda untuk menjual kereta terpakai anda.
1) Melalui ejen dan pengedar kereta

Salah satu cara termudah bagi menjual semua kereta terpakai anda adalah melalui ejen dan pengedar kereta.

Ada ejen dan pengedar kereta di Malaysia menawarkan perkhidmatan membeli semula kereta terpakai.

Cara ini juga paling mudah bagi kereta yang masih mempunyai baki pinjaman di bank.

Ejen, atau ‘dealer’, akan menilai kereta anda dan menawarkan harga di bawah kadar pasaran bagi kereta tersebut.

Kemudian, ejen tersebut akan membaik pulihkan kereta tersebut dan menjualnya di kadar pasaran.

Sekiranya anda bersetuju dengan harga yang ditawarkan, anda boleh menjual semula kereta anda kepada ejen tersebut.

Anda juga boleh menjual kereta secara ‘trade-in’, iaitu anda boleh menggunakan nilai jualan kereta untuk pembelian kereta yang baru.

Penggunaan ejen dianggap sebagai cara yang mudah bagi menjual kembali kereta anda kerana ejen akan menjalankan semua urusan penjualan kereta seperti pemeriksaan PUSKAPOM, penukaran nama pemilik kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan urusan dengan pihak bank.

Tetapi, harga yang selalu ditawarkan adalah di bawah harga pasaran bagi kereta tersebut.

Terdapat juga pengedar kereta yang menawarkan diskaun, rebat dan harga pembelian yang berpatutan.

Bagi pembeli yang berminat, mereka boleh mendapatkan penilaian percuma di pusat pengedar terdekat.

Penilaian harga kenderaan dijalankan oleh penilai bertauliah, dan sekiranya pelanggan bersetuju dengan harga yang ditawarkan, mereka boleh terus menebus nilai kereta terdahulu untuk membeli kereta yang baharu.

Semua urusan penukaran pemilikan nama akan diuruskan oleh wakil syarikat, dan urusan tersebut dijalankan secara profesional dan mengambil masa yang singkat.

Cara ini mudah bagi orang yang tidak mempunyai masa dan pengalaman dalam penjualan kereta terpakai, tetapi harga yang ditawarkan selalunya tidak sebaik harga pasaran kerana seperti ejen, pengedar kereta juga mendapat potongan daripada harga pembelia tersebut.

Apa yang anda patut tahu

Nilai penjualan semula kereta yang ditawarkan kepada anda menerusi ejen jualan selalunya lebih rendah daripada nilai jualan semasa. Hal ini kerana penilai kereta akan membuat penilaian berdasarkan keadaan semasa kereta, baki pinjaman di bank (jika ada), dan nilai insurans kereta.

Selain daripada itu, ejen dan pengedar kereta juga akan membuat baik pulih yang minimum sebelum menjual balik kereta tersebut. Perbezaan harga tersebut akan meliputi kos baik pulih, servis dan juga keuntungan atau komisen mereka.


2) Penjualan secara persendirian

Sekiranya anda berasa bahawa harga yang ditawarkan oleh ejen pengedar terlalu rendah, anda boleh menguruskan penjualan kereta anda secara persendirian.

Dengan cara ini, anda dapat menjual kereta anda dengan harga tertinggi.

Cara ini juga sesuai bagi penjual kereta yang memerlukan tunai, dengan syarat pinjaman kereta yang ingin dijual itu telah selesai dibayar.

Seperti penjualan kereta melalui ejen, langkah pertama yang perlu diambil ialah membuat penilaian nilai semasa kereta anda.

Untuk langkah ini, anda boleh mendapatkan khidmat daripada bank dan ejen insurans.

Anda juga boleh membuat kajian sendiri dengan memantau harga jualan kereta dengan model dan tahun yang sama melalui ejen jualan ataupun di Internet.

Sebagai contoh, harga jualan MyVi SE 2009 di mudah.my ialah RM25,000 (dengan baki pinjaman bank RM15,000). Selepas mendapat nilai jualan kereta, anda hendaklah pembuat pemeriksaan kereta di PUSPAKOM dengan bayaran RM40.

Anda juga boleh membuat penyelenggaraan kereta bagi memastikan kereta itu dalam keadaan yang baik.

Kos penyelenggaraan bagi MyVi ialah RM150.00 dan bergantung pada keadaan kereta berkenaan.

Sekiranya kereta itu dalam keadaan yang baik, anda bolehlah mengiklankan kereta itu di ruangan iklan surat khabar ataupun melalui Internet di laman sesawang seperti cars.com.my dan mudah.my.

Anda boleh meletakkan harga yang lebih tinggi kerana biasanya pembeli akan menawarkan harga yang lebih rendah. Sekiranya ada pembeli yang berminat, pastikan individu itu betul-betul pembeli yang serius.

Setelah pembeli bersetuju dengan harga yang ditawarkan, sebagai contoh RM23,500, proses pembelian akan bermula dan pembeli akan membayar harga kereta tersebut secara tunai atau melalui pinjaman bank.

Bagi pembeli yang membuat pinjaman, pihak bank akan meminta maklumat kereta seperti nombor casis dan nombor kad pengenalan pemilik.

Setelah pemilik membayar harga berkenaan, anda hendaklah menguruskan pembayaran baki bayaran pinjaman sebanyak RM15,000 di bank dan menguruskan penukaran hak milik kereta berkenaan.

Dalam proses ini, pertama sekali, pemilik lama hendaklah membatalkan polisi insurans yang lama dan membuat polisi insurans baharu atas nama pemilik baharu.

Polisi insurans tahunan bagi model MyVi SE dengan nilai RM25,000 ialah RM600 setahun. Selepas itu, proses diteruskan dengan urusan di kaunter JPJ dengan bayaran RM10 untuk borang, RM100 bagi caj pengurusan, dan RM50 bagi cukai jalan.

Apa yang anda patut tahu

Seperti yang dinyatakan di atas, proses penjualan kereta terpakai secara individu mungkin mengambil masa yang lama, dan anda perlu berurusan dengan pelbagai pihak.

Anda juga mungkin melapangkan masa untuk bertemu dengan beberapa pembeli berpotensi sebelum anda boleh membuat jualan yang berjaya. Malangnya, cara ini datang dengan risiko penipuan yang lebih tinggi kerana anda dikehendaki bertemu dengan orang yang tidak dikenali.


Jika anda ingin menjual kereta anda dengan kaedah ini, anda mungkin dapat nilai jualan yang lebih tinggi, seperti yang ditunjukkan dalam perbandingan ini:

Jualan persendirian lebih berbaloi, namun perlukan usaha
Jualan persendirian lebih berbaloi, namun perlukan usaha


Sehubungan dengan itu, kedua-dua cara tersebut mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.

Penjualan melalui ejen ialah cara mudah bagi orang yang perlu menjual kereta mereka pada masa yang singkat, manakala penjualan secara persendirian ialah cara bagi orang yang ingin mendapatkan harga tertinggi bagi penjualan semula kereta mereka.

Seperti yang dinyatakan di atas, anda mungkin boleh mendapatkan RM2,500 lebih banyak daripada nilai penjualan semula melalui ejen.

Walau bagaimanapun, sebagai pengguna, kita haruslah sentiasa berwaspada dalam berurusan dalam apa-apa cara sekalipun kerana anda mungkin terdedah kepada penipuan.

0 comment... add one now