Amaran! Minuman ‘Amat Panas’ Boleh Sebabkan Barah Menurut WHO


Tiada bukti tepat yang menunjukkan meminum kopi boleh menyebabkan penyakit barah, menurut agensi barah di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa semua minuman yang “amat panas” kemungkinan boleh menyebabkan barah atau bersifat karsinogenik.
Agensi Antarabangsa bagi Kajian tentang Barah (IARC) sebelum ini menyifatkan kopi sebagai “kemungkinan bersifat karsinogenik” tetapi kini sudah mengubah fikirannya.
Dalam semakan terbaharunya, ia mendapati “tiada bukti tepat kesan karsinogenik” bagi peminum kopi, dan menarik perhatian bahawa banyak kajian menunjukkan kopi mengurangkan risiko menghidapi beberapa jenis barah.
“Ini tidak menunjukkan minum kopi itu sudah tentu selamat, tapi keprihatinan tentang isu itu kini berkurangan berbanding sebelum ini,” kata Dana Loomis, timbalan ketua jabatan klasifikasi Monograf IARC.
Namun pada masa sama, IARC membentangkan bukti-bukti saintifik lain membayangkan bahawa meminum apa sahaja yang amat panas – sekitar 65 darjah Celsius atau lebih tinggi daripada itu – termasuk air, kopi, teh dan minuman lain, mungkin menyebabkan barah esofagus.
IARC, yang berpangkalan di Lyon, Perancis pada tahun lalu menjadi tajuk bahan berita kontroversi di seluruh dunia selepas mengumumkan daging yang diproses kemungkinan besar boleh menyebabkan barah.
Ia membuat kesimpulan tentang kopi setelah menyemak lebih 1,000 kajian saintifik terhadap manusia dan haiwan. Tiada bukti mencukupi untuk mengklasifikasikan kopi sebagai karsinogenik atau tidak karsinogenik.
IARC sebelum ini meletakkan kopi sebagai “kemungkinan bersifat karsinogenik” dalam kategori 2B, yang sama dengan kloroform, plumbum dan bahan lain.
Persatuan Kopi Nasional Amerika Syarikat mengalu-alukan perubahan yang dibuat oleh IARC dalam cara kopi diklasifikasikan itu sebagai “berita baik untuk para penggemar kopi.”
Institut Maklumat Saintifik Kopi, yang anggotanya terdiri daripada enam syarikat kopi terbesar Eropah – illycaffè, Jacobs Douwe Egberts, Lavazza, Nestlé , Paulig, dan Tchibo – menyatakan IARC mendapati “tiada kaitan negatif antara peminuman kopi dengan barah”.
Dalam penilaiannya tentang minuman amat panas, IARC menyatakan kajian terhadap haiwan mendapati bahawa kesan karsinogenik kemungkinan berlaku apabila seseorang minum air dengan suhu 65 darjah Celsius atau lebih tinggi.
Hot-Water-Treatment-For-A-Sauna-Drunk
Beberapa kajian yang dijalankan terhadap tikus mendapati cecair “amat panas”, termasuk air, boleh merangsang ketumbuhan tumor, menurut IARC.
Agensi itu menyatakan kajian tentang minuman panas seperti maté, sejenis minuman yang biasanya diminum di Afrika Selatan, teh dan minuman lain di beberapa negara termasuk China, Iran, Jepun dan Turki, mendapati bahawa risiko barah esofagus “mungkin meningkat dengan minuman yang suhunya” lebih tinggi 65 darjah Celsius.
“Hasil kajian mendapati bahawa meminum minuman amat panas adalah salah satu faktor yang mungkin menyebabkan barah esofagus, dan suhunya, bukan jenis minumannya, yang nampaknya menjadi punca,” kata pengarah IARC, Christopher Wild.
Barah esofagus merupakan jenis barah kelapan paling kerap berlaku di dunia, dan antara penyebab utama kematian akibat barah, dengan sekitar 400,000 kematian direkodkan pada 2012.
Jurucakap rasmi WHO di Geneva, Gregory Hartl, menegaskan bahawa merokok dan meminum arak antara faktor risiko paling serius bagi barah esofagus dan menggesa orang ramai mengutamakan usaha mengurangkan risiko ini.
Beliau berkata penilaian IARC tentang minuman panas berdasarkan oleh bukti terhad hasil kajian terhadap manusia dan haiwan, dan lebih banyak kajian diperlukan.
“Kami sarankan, berhati-hatilah, biarkan minuman panas jadi sejuk dulu,” katanya kepada Reuters, sambil menambah nasihat WHO ialah jangan makan makanan atau minum minuman yang suhunya amat panas – sehingga melecur.
Meminum minuman amat panas kini diklasifikasikan sebagai kemungkinan bersifat karsinogenik di bawah kategori kumpulan 2A IARC, sebaris dengan daging merah dan mustard nitrogen.
Namun David Spiegelhalter, profesor Pemahaman Awam tentang Risiko di Universiti Cambridge, berkata beliau prihatin semakan IARC itu akan membingungkan orang ramai.
“Tahun lalu IARC kata daging bacon boleh menyebabkan barah, tapi jelas apabila ia dimakan dengan sederhana, ia tidak begitu berisiko.
“Tentang minuman amat panas pula, IARC membuat kesimpulan ia mungkin berbahaya, tapi tidak boleh tanya kemungkinan tentang betapa besar risikonya.
“Ini mungkin sains yang menarik, tetapi sukar untuk memberikan respons yang munasabah,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

0 comment... add one now