Akhirnya terjawab MPN tolak teori jus nanas penawar alternatif ubat batuk


VIRAL di laman sosial baru-baru ini sebuah perkongsian daripada pengguna media sosial berkenaan ‘homemade’ ubat batuk yang diperbuat daripada buah nanas yang dikhabarkan sesuai untuk merawat batuk dalam kalangan bayi.
Menerusi artikel yang disebarkan itu mendakwa khasiatnya adalah lima kali ganda lebih baik daripada sirap ubat batuk yang terdapat di farmasi.
Namun dakwaan itu disangkal oleh Majlis Profesor Negara (MPN) yang menolak teori tersebut mengatakan ia merupakan penawar alternatif bagi menggantikan sirap ubat batuk yang sedia ada.
Menurut laporan daripada sebuah laman akhbar tempatan, Timbalan Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan MPN, Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abd Latif berkata, jus nanas yang tinggi dengan kandungan asid itu tidak sesuai untuk sistem penghadaman bayi yang belum matang.
Malah secara tadisionalnya, jus buah berkenaan digunakan oleh orang zaman-zaman dahulu untuk melembutkan daging.
“Secara umumnya jus nanas boleh menyebabkan sakit perut, sembelit dan masalah penghadaman.
“Jika dikatakan jus nanas boleh mengubati batuk yang dialami bayi, ia agak sukar untuk dibuktikan keberkesanannya,” katanya.
Jelas Zubaidi lagi, dakwaan yang mengatakan jus nanas lebih baik dari ubat batuk biasa adalah belum terbukti secara saintfik, namun kandungan vitamin C dan enzim yang terdapat di dalamnya mampu mengurangkan keradangan pada bahagian tekak.
“Setiap ubat batuk yang ada perlu menjalani ujian klinikal dan dikaji keberkesanannya.
“Jus nanas memang tidak sesuai untuk bayi dan susu ibu masih menjadi sumber pemakanan utama,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, buah nanas atau jusnya mempunyai banyak khasiat untuk orang dewasa, antaranya mencegah penyakit katarak, asma, melancarkan pencernaan dan banyak lagi.

0 comment... add one now