5 Tanda kucing datang kepada kita

Setiap kejadian alam mempunyai dua makna, yang tersurat dan tersirat. Beruntunglah mereka yang boleh memahami kedua-dua maknanya. Ini termasuklah dalam perkara mengenai kucing.
Apakah makna yang tersirat jika kucing datang kepada kita? Apakah yang cuba disampaikan Tuhan kepada kita? Mari kita renungkan bersama.
1

1. Bahagian Kucing

Selalu terjadi apabila kita duduk di warung sambil makan, pasti ada kucing jalanan yang menagih simpati. Perutnya yang lapar siapalah yang sudi memberi. Ya, kucing itu mungkin nampak kotor dan comot. Namun siapakah kita untuk memandang jelik makhluk Allah SWT itu?
Kehadiran kucing itu menyampaikan pesanan yang jelas dari Tuhan. Percayalah, dalam ketika kita enak menjamu selera mungkin kita terlupa mensyukuri nikmat Tuhan.
Maka kerana itu Allah SWT menghantar kucing kepada kita agar kita sentiasa beringat bahawa setiap rezeki yang dikurniakan itu bukan 100% milik mutlak kita.
Sebahagiannya milik orang lain atau makhluk lain. Kali ini, milik sang kucing jalanan. Maka berbagilah rezeki itu juga kepadanya. Semoga dengan memberi, kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur.
2

2. 10 Kali Ganda Kebaikan/Ganjaran

Sesungguhnya sedekah itu ada dalam pelbagai bentuk dan rupa. Inilah antara rahsia-rahsia kebijaksanaan Allah SWT. Apabila kucing datang kepada kita dan meminta sedikit rezeki lalu kita menghulurkan kepadanya, maka kita telah berbuat kebaikan kepadanya.
Bersedialah untuk menerima 10 kali ganda kebaikan dan ganjaran dari Tuhan sebagai balasan pada perbuatan baik tersebut. Itu janji-Nya kepada mereka yang bermurah hati menyantuni makhluk yang lain.
Tersenyumlah kawan kerana kehadiran kucing kepada kita ketika itu membawa maksud bahawa Allah SWT telah menyediakan 10 kali ganda rezeki yang jauh lebih baik untuk kita bagi menggantikan bahagian rezeki yang bakal diberikan kepada kucing.
Tidakkah kita sangat gembira apabila menerima hadiah yang indah? Maka apabila Tuhan semesta alam sendiri yang memilih untuk memberikan kita hadiah yang 10 kali ganda jauh lebih baik, bukankah itu suatu yang mengujakan?
3

3. Belajar Ikhlas

Allah SWT membimbing dan mendidik manusia melalui kehidupan dan alam. Besar keistimewaannya pada orang yang didekati kucing kerana melaluinya manusia boleh belajar ilmu ikhlas.
Kenapa ikhlas? Adakah kucing itu mempunyai wang ringgit bagi membalas kebaikan yang diberikan? Mampukah kucing itu meninggikan darjat dan memberikan pangkat kepada orang yang memberinya makan?
Tentu sekali tidak. Maka tanpa apa-apa balasan yang dapat diharapkan dari kucing, tindakan yang tetap terus berbuat kebajikan kepadanya akan mendidik jiwa kita untuk menjadi manusia yang ikhlas.
Ikhlas dalam berbuat kebaikan sebagai khalifah yang terpilih atas muka bumi Tuhan dan ikhlas untuk tetap terus istiqamah mengamalkan kemanusiaan. Terimalah pendidikan percuma dari Tuhan ini dan usahalah untuk berjaya menguasai pembelajarannya.
4

4. Belajar Ihsan

Kadangkala kucing yang mendekati kita itu mungkin jengkel ulah lakunya. Boleh jadi naik geram kita dibuatnya. Apabila situasi ini yang terjadi maka beringatlah bahawa Allah swt menghantar kucing itu sebenarnya untuk menguji kita.
Ujian pertama adalah soal bagaimana kita memandang dunia terutamanya rezeki. Adakah kita terlalu cintakan dunia sehingga kita menjadi terlalu bakhil dalam berkongsi rezeki dengan yang lain? Jangan pernah terlupa tentang amanah sebagai khalifah terpilih yang ditugaskan melaksanakan yang hak.
Ujian kedua adalah untuk melihat sejauh mana layanan kita kepada sesama makhluk. Sedarlah apabila kucing datang meminta makanan misalnya, kucing itu tidak minta ikan yang baru digoreng. Kucing itu tidak minta pinggan yang cantik untuk dihidang makanannya. Kucing itu tidak diminta mulutnya dilap cermat dengan tisu selepas makan. Kucing itu tidak mengharap layanan 5 bintang.
Cuma yang diminta adalah sisa makanan barang sedikit sebanyak yang tidak habis untuknya makan. Apabila nakal perangainya dan rimas rayuannya, sabarkah kita melayannya?
Ingatkah kita bahawa Tuhan sentiasa melihat dan mengawasi setiap tindak tanduk mahupun lintasan hati kita terhadap kejadian dan makhlukNya dalam emosi kita?
Inilah ilmu ihsan. Ilmu tentang mampu mengingati Tuhan dalam setiap kata-kata, tindakan, fikiran mahupun emosi. Ilmu tentang melakukan sesuatu dengan ingatan kuat bahawa Tuhan sentiasa melihat dan sangat hampir. Tiada satu pun dapat bersembunyi dariNya.
Malu kita pada Tuhan apabila apa yang dilakukan kita sehari-harian bukan seperti perintahNya malah kita gagal menjauhi laranganNya dalam beradab dengan sesama makhluk.
5

5. Kurniaan Rezeki yang Berpanjangan

Pernah tak ada kucing yang tiba-tiba datang ke rumah kita? Tanpa segan silu kucing itu mengisytiharkan dirinya sebagai sebahagian dari keluarga kita. Lalu dia turut bertindak seperti penghuni tetap di rumah itu. Disuruh pergi namun tetap tegar kembali.
Bergembiralah kerana anda terpilih untuk mendapatkan kurniaan rezeki yang berpanjangan dari Tuhan. Dari manakah datangnya rezeki ini?
Apabila kucing itu tinggal tetap, ini bermakna peluang bersedekah melalui asbab kucing itu telah dibuka setiap hari untuk kita. Sedekah yang berterusan mengundang rahmat Allah swt yang menjadikan rezeki melimpah ruah seperti hadith berikut:
Nabi saw bersabda kepada Zubair bin al Awwam:“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya.
Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”Hadis Riwayat al-Daruquthni dari Anas ra:
Allah SWT nak menegur kita bahawa jika kita menolak kehadirannya, seolah-olah kita menolak rezeki yang melimpah ruah telah diperuntukkan Allah swt untuk kita.
Kucing itu hanya menjadi asbab kepada terjemputnya segala rezeki ini lewat keikhlasan kita dan doa dari kucing itu untuk tuan rumahnya.
Jadi selepas ini jika kita didekati kucing berbaik sangkalah kepada Tuhan kerana agenda rezeki kita dari Tuhan itu lebih baik dari perancangan kita sendiri. Dan mungkin kehadiran kucing itu menjadi kunci kepada turunnya rezeki di dalam hidup kita.
Ya, rezeki bukan hanya wang ringgit dan harta benda tapi turut dalam bentuk yang lain seperti kegembiraan, kesihatan, ketenangan, ilmu, kemudahan dan pelbagai lagi di dunia dan akhirat. Jika pintu rezeki di’meow’ di hadapan kita, terimalah dengan redha kehadirannya.
Sumber: tazkirah.net

0 comment... add one now