Orang kata sesekali menjengah kedai-kedai makan kegemaran di pagi hari memang tidak ada salahnya. Cuma anda perlu pastikan menu yang dipilih mengikut keperluan pengambilan harian (RDA) iaitu keperluan harian yang disyorkan mengikut kadar usia, jantina dan tenaga. Jika anda berbadan kurus tidak semestinya anda bebas untuk makan dengan banyak ye. Ini dia lima menu berbahaya yang mungkin anda tidak sedar 'kebahayaannya.'

ROTI CANAI
Siapa tidak suka makan roti canai yang sedap, garing dan murah? Ramai yang lebih gemar memilih roti canai kerana cepat, ringkas dan mudah apabila dihidang mahupun dimakan. Sekeping roti canai bersamaan dengan 300 kalori. Tetapi jika anda mengambil dua keping roti canai, ia menjadi 600 kalori. Semestinya, lebih tinggi kalori maka lebih banyak yang perlu anda bakar. Anda perlu menghabiskan masa selama 90 minit berlari untuk membakar 600 kalori. Sanggupkah anda? Tip terbaik adalah memilih tosai atau capati kerana kandungan lemak dan minyak adalah kurang sedikit berbanding roti canai.

NASI LEMAK
Ia kegemaran rakyat Malaysia sepanjang zaman tanpa pernah terfikir bahawa nasi lemak tanpa lauk saja adalah lebih kurang 390 kalori. Mana mungkin anda tidak menambah lauk seperti sambal, telur rebus, ikan bilis dan kacang. Maka, hidangan lengkap di atas pinggan anda adalah lebih kurang berjumlah 450-500 kalori. Ini tidak termasuk lagi ayam goreng (240 kalori) mahupun sambal sotong (170 kalori). Anda masih boleh menikmati nasi lemak tetapi kurangkan porsi. Untuk lebih mudah, anda masak sendiri nasi lemak tanpa guna santan dan lebihkan ulam-ulaman sebagai sampingan.

KUIH MUIH
Sama ada manis atau tidak, sebiji kuih mempunyai saiz hidangan sebanyak 99g di mana kalorinya adalah 144. Sekurang-kurangnya, anda pasti mengambil lebih dari satu biji kuih bukan? Bagi anda yang gemarkan donut dengan aising atau coklat di atasnya, ia mengandungi lebih kurang 200 kalori. Jika anda memang sudah biasa bersarapan roti, boleh cuba roti wholemeal kerana kurang sikit kalorinya.

MI BERSANTAN
Apa saja hidangan mi yang berasaskan santan sebagai kuah memang menyelerakan. Tapi perlu tahu bahawa ia mengandungi lebih kurang 500 kalori satu hidangan. Jika anda tetap mahu memilih mi berkuah sebagai sarapan, apa salahnya anda gantikannya dengan hidangan seperti mi sup. Bukan saja kurang berlemak dan berminyak tetapi hanya 380 kalori.

TEH TARIK
Pastinya teh tarik yang lebih pekat ataukaw kaw lebih best untuk dinikmati. Susu penuh krim adalah penyumbang utama minuman anda menjadi lebih sedap. Sebenarnya, susu pekat tidak elok untuk kesihatan anda. Walaupun ia merupakan sumber kalsium tetapi kandungan lemaknya agak tinggi. Sadu sudu pekat manis biasanya mengandungi 60 kalori. Oleh demikian, anda boleh menggantikan dengan mengurangkan kandungan lemak atau rendah lemak.

BURGER
Jangan terkejut apabila ada ramai yang memilih makanan barat ini sebagai menu untuk sarapan. Tidak dinafikan, burger memang tinggi kalori. Satu hidangan burger biasanya mengandugi 475 kalori. Tanpa keju, sos cili, mayonis, telur dan pelbagai sos lagi bukanlah burger namanya! Suku cawan mayonis mengandungi 360 kalori (40g lemak). Ini belum termasuk kentang goreng anda lagi. Kalori pasti bertambah-tambah. Saranan kami, anda boleh mencipta sendiri burger anda kerana anda tahu apa yang boleh dilakukan. Misalnya, menggunakan daging yang dikisar sendiri, perbanyakkan salad, kurang garam dan sebagainya.

Hakikatnya, ia terletak pada kepekaan anda dalam bab mencari menu. Anda bebas untuk makan apa sahaja asalkan hidangan adalah bergantung kepada berapa banyak atau kuantiti anda ambil. Untuk memudahkan anda, anda perlu mengira kalori makanan yang anda ambil. Jika anda pandai mengawal pemakanan dan tahu sukatan kalori, semestinya anda telah memilih sarapan yang paling selamat. Semoga berjaya!

Kredit : maskulin