4 Akibat Buruk Jika Tak Nak Bayar Balik Pinjaman PTPTN



Tak dapat dinafikan, pinjaman PTPTN adalah salah satu skim pinjaman yang disediakan oleh kerajaan untuk warganegara Malaysia. Sejak skim pinjaman ini dilancarkan pada tahun 1997, ia telah menyediakan pinjaman kepada lebih kurang daripada 2 juta pelajar yang meminjam dengan kadar faedah rata iaitu 1% setahun sahaja. 

Pelajar mendapat banyak manfaat daripada skim pinjaman pendidikan ini. Jumlah bayaran balik adalah sangat rendah berbanding dengan pinjaman pendidikan sedia ada yang ditawarkan oleh pihak bank dan institusi kewangan yang lain.

Dengan kadar faedah yang paling rendah, organisasi (PTPTN) ini telah meletakkan pinjaman pendidikan mereka sebagai pinjaman mampu milik. Ia adalah seruan kerajaan untuk menggalakkan dan membantu rakyat Malaysia mencapai tahap pendidikan yang tinggi selaras dengan pembangunan negara.

Malangnya sebahagian besar daripada peminjam yang telah berjaya menamatkan pengajian di universiti tempatan tidak membuat pembayaran balik. Ini adalah kerana pada awalnya tiada hukuman undang-undang dikenakan ke atas peminjam yang tidak membayar balik. Dan ia umpama satu penyakit yang merebak kepada peminjam yang lain. Hampir sebahagian besar daripada mereka menggunakan alasan yang sama iaitu memiliki kadar gaji yang rendah, PTPTN mempunyai pengurusan atau penguatkuasaan yang lemah menyebabkan mereka tidak mengambil serius tentang pembayaran balik dan ada juga memberi alasan prosedur atau permintaan dokumen bertulis yang terlalu remeh.

Permasalahan ini telah meletakkan statistik penerimaan pulangan pinjaman balik terlalu rendah iaitu hanya 46% peminjam yang tampil membuat bayaran berbanding 54% yang tidak membuat bayaran. Jumlah ini amat membimbangkan kerajaan dan memberi kesan kepada ekonomi negara. Oleh yang demikian pihak kerajaan mengambil keputusan untuk mengenakan tindakan yang tegas kepada mereka yang gagal membuat bayaran balik. Sebelum tindakan tegas diambil, pihak PTPTN akan menghantar notis amaran sebanyak 3 kali dalam tempoh bertenang selama 6 bulan sebelum tindakan dikenakan.

Di dalam artikel ini, anda akan mendapat maklumat yang jelas bagaimana bayaran balik dilakukan dan tindakan yang diambil sekiranya anda gagal membuat bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN.

1. Potongan gaji secara automatik.
Langkah ini adalah langkah baru dan ia telah telah menjadi subjek perbincangan panjang dikalangan pegawai atasan PTPTN. Potongan gaji secara automatik telah dikuatkuasakan pada bulan September 2015, ia cuma dikenakan kepada peminjam yang ingkar membuat bayaran dalam tempoh 6 bulan dan mencapai tahap gaji minimum. Sebelum peminjam dikenakan potongan gaji secara automatik ini, pihak pengurusan PTPTN telah terlebih dahulu mengkaji latar belakang kewangan peminjam tersebut dan akan memutuskan untuk meletak jumlah yang sesuai kepada peminjam ini supaya ia tidak terbeban dengan kadar potongan yang ditetapkan itu sehingga selesai pembayaran balik dibuat. Sekiranya peminjam tersebut dengan secara tiba-tiba diberhentikan kerja atau berhenti kerja atau diisytihar muflis.

2. Dihalang daripada meninggalkan negara.
Peminjam pinjaman pendidikan PTPTN adalah dilarang sama sekali atau disekat untuk keluar daripada Malaysia samada atas urusan rasmi atau bercuti sebaik sahaja rekod pinjaman bayaran balik menunjukkan pembayaran telah tersasar daripada jadual yang ditetapkan. Selain itu juga peminjam tidak boleh memperbaharui passport mereka sehingga sekatan perjalanan ditarik kembali. Bagaimanapun , nama-nama peminjam yang telah disekat keluar daripada negara tidak akan disiarkan kepada umum. Sekiranya anda ingin mengetahui status nama anda disenarai hitamkan untuk keluar negara atau tidak, sila semak di laman sesawang imigresen Malaysia.

3. Di senarai hitam di pengkalan data CCRIS (Central Credit Reference Information Systems)
Sejak tahun 2015, peminjam PTPTN telah diletakkan di bawah penelitian rapi manakala peminjam yang gagal membuat bayaran balik juga akan disenarai hitamkan pada pengkalan data CCRIS. Untuk memahami bagaimana ia memberi kesan kepada keupayaan pinjaman peminjam, anda perlu mengambil tahu dan memahami bagaimana CCRIS dikendalikan.

Setiap laporan CCRIS menunjukkan pencapaian kredit anda dan pangkalan data ini dapat dikongsi bersama semua institusi kewangan. Bagaimanapun, bagi bank-bank, laporan ini menunjukkan rekod pembayaran pinjaman anda dan ia mempengaruhi semua permohonan pinjaman anda akan datang. Oleh itu bagi mereka yang telah disenarai hitamkan, mereka bolehlah melupakan hasrat untuk memohon pinjaman peribadi, pinjaman kereta, pinjaman rumah, pinjaman perniagaan atau kad kredit.

Kebanyakan peminjam pinjaman pendidikan PTPTN ini sedar akan akibat daripada disenarai hitamkan, dan ia tidak mengejutkan apabila jumlah peningkatan pungutan bayaran balik meningkat setelah kerajaan dan pihak PTPTN memutuskan untuk menyenarai hitamkan peminjam yang ingkar ini.

Jika dilihat secara positif, peminjam boleh memperbaiki laporan CCRIS mereka dengan membayar balik pinjaman PTPTN secara konsisten sebagai laporan baru, kerana laporan CCRIS hanya mengambil kira rekod pembayaran untuk 12 bulan sahaja. Oleh itu, rekod lama sebelum itu akan terhapus sendiri apabila pembayaran konsisten dibuat selama 12 bulan.

4. Tindakan undang-undang
Pihak PTPTN akan mengambil tindakan undang-undang dan mengheret peminjam yang ingkar ke mahkamah. Ini merupakan jalan terakhir yang diambil oleh pihak PTPTN. Kesannya peminjam terpaksa membayar kos tambahan iaitu kos yuran guaman yang dimasukkan ke dalam jumlah yang perlu dibayar oleh mereka. Walau bagaimanapun, ada di antara peminjam yang mengabaikan semua notis amaran yang dihantar oleh PTPTN dan telah menerima saman dari mahkamah. Namun mereka masih diberi kelonggaran untuk berunding dengan pihak PTPTN dalam menjadual bayaran pinjaman mereka sebelum ia dibawa ke mahkamah. Sekiranya semua arahan masih diingkari, pihak mahkamah boleh menjatuhkan hukuman kepada mereka dengan membekukan atau merampas aset mereka.

Kesimpulan
Segala tindakan yang diambil terhadap peminjam ingkar adalah satu keputusan yang tidak boleh diubah. Oleh itu kami menyarankan agar semua pelajar biayaan PTPTN sentiasa faham dan sedar bahawa pinjaman pendidikan ini adalah satu bentuk pinjaman dengan kadar faedah paling rendah dan ia bukanlah satu bentuk biasiswa yang tidak perlu dibayar semula.

Oleh kerana bilangan peminjam PTPTN yang ingkar masih tinggi, ia akan memberi kesan negatif kepada pihak PTPTN, kemungkinan besar pihak PTPTN terpaksa membatalkan perkhidmatan memberi pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang. Kita tidak mahu melihat, generasi akan datang menjadi mundur kerana ketidakmampuan untuk menyambung pelajaran. PTPTN adalah pinjaman pendidikan yang terbaik di Malaysia sekian kini. Oleh itu, janganlah kita menyalah gunakan kemudahan yang kita ada sekarang ini demi untuk kesinambungan generasi yang akan datang.

0 comment... add one now