Video: pengguna motosikal teranjang cermin sisi, salahkah perbuatan ini? Lihat penjelasannya..






Bersabar dan bertimbangrasa. Slogan keselamatan jalanraya yang sudah puluhan tahun digunakan. Mudah diucap, senang dikata.
Namun kadangkala mampu mengundang murka jika kita melihat orang lain tidak bertimbangrasa. Apa lagi ketika perut berkeroncong dek lapar ketika ingin pulang dari tempat kerja, apatah lagi jika diduga el Nino di bulan ramadhan ini. Yang berkereta mungkin mampu menenangkan fikiran sambil mengalunkan ayat suci atau lagu lagu di corong radio sambil dihembus angin pendingin udara.
Namun keadaannya berbeza sama sekali dengan pengguna motosikal. Sama sama letih, sama sama penat, mereka juga ingin pulang cepat. malah ramai yang sebenarnya turut memiliki kereta, tetapi memilih jalan yang lebih praktikal dan menjimatkan untuk bermotosikal.
Salah satu kriteria pilihan ialah mudahnya pergerakan dengan motosikal. Selain lorong motosikal yang tersedia di sisi beberapa lebuhraya, terdapat juga ruang yang tersedia di bahu jalan yang boleh digunakan sebagai laluan oleh pengguna motosikal.
Memang diakui di kebanyakan tempat terutama sekali di sisi lebuhraya, bahu jalan tersebut merupakan lorong kecemasan. Dan adalah menjadi kesalahan untuk menggunakan lorong kecemasan bagi mengelakkan halangan bila ia nya diperlukan untuk kegunaan kenderaan kecemasan. Larangan penggunaan ini terpakai kepada semua kenderaan tak kira lah samada ianya basikal, motosikal, kereta mahupun kenderaan yang lebih besar. Rasionalnya adalah supaya lorong kecemasentiasa sedia untuk digunakan kenderaan berkaitan.
Kes ‘Kempen Terajang Side Mirror’ dan video beberapa pengguna motosikal yang telah merosakkan cermin sisi beberapa  kereta di sebuah lebuhraya telah menimbulkan respons dari pelbagai pihak. Malah Ketua Polis trafik Kuala Lumpur iaitu ACP Mohd Nadzri Hussain yang juga lebih mesra dengan panggilan ‘Tuan N’ telah menegaskan bahawa perbuatan sebegitu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Sememangnya kita akui bahawa sesuatu kesalahan tidak sepatutnya dibalas dengan kesalahan. Namun begitu mungkin ianya berpunca dari ketidakpuasan hati para pengguna motosikal yang telah dihalang lalulintas mereka kerana ketidaksabaran para pemandu kereta berkaitan yang tidak bertimbangrasa.
Ketidaksabaran dan tak bertimbangrasa. Antara beberapa kata kunci yang perlu diteliti dalam isu ini sebenarnya. Mungkinkah dek tiada timbangrasa pengguna kereta, maka lalulintas motosikal telah terhalang, dan memaksa mereka menggunakan bahu jalan untuk meneruskan lalulintas mereka? Andai ada yang terlepas pandang, menghalang lalulintas juga merupakan satu kesalahanjalanraya, dan rasanya belum ada kereta yang disaman kerana menghalang kemampuan lalulintas motosikal di jalan atau lebuhraya.
Laluan kecemasan sememangnya tidak boleh digunakan oleh kenderaan lain, dan harus tersedia mampu digunakan bila diperlukan. Jika ia disalahguna oleh sebuah kereta, sememangnya sukar untuk kereta tersebut mengosongkannya segera jika ada kenderaan kecemasan yang menggunakan lorong kecemasan itu. Namun, mungkinkah berbeza keadaannya jika ada motosikal di lorong tersebut? Adakah ianya akan terus terhalang?
Jawapan kepada persoalan sebegitu mungkin berbalik kepada tajuk di atas. Bersabar dan bertimbangrasa. Usahlah kita bertindak melulu dengan merosakkan kenderaan orang lain. Tidak mustahil jika ada diantara mereka yang telah terhimpit ke lorong kecemasan secara tak sengaja dek kerakusan pemandu lain. Bersabarlah. Dan kepada pemandu kereta, bertimbangrasalah dan beri laluan di jalan sebenar dengan mengikuti lorong laluan anda secara berhemah, dan tentunya ada ruang yang mencukupi untuk motosikal lalu di celah barisan kenderaan.
Nyata slogan ‘Bersabar dan Bertimbangrasa’ ini masih relevan. Mari kita tolong lap cermin sisi mereka, kerana mungkin mereka tak nampak bahawa mereka menghalang lalulintas motosikal. Tambahkan pahala puasa anda.
lapsidemirror

0 comment... add one now