Penyakit Difteria: Sejarah Kini Berulang Kembali

diphtheria_sanofipasteurBaru-baru ini negara kita digemparkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun meninggal dunia akibat jangkitan bakteria difteria. Sehubungan dengan itu juga, ramai di antara kita buat pertama kalinya mendengar perkataan difteria di media massa ataupun mengimbau kembali jangkitan difteria yang sudah lama tidak diperkatakan. Mengapa?
Kerana ianya seharusnya menjadi sejarah yang tidak berulang! Malah, ada di antara pengamal perubatan sendiri tidak pernah melihat atau bertemu dengan pesakit difteria dalam hidup mereka, dek kerana kawalan penyakit melalui vaksin yang berjaya mengekang penularan penyakit tersebut. Tidak salah jika saya nyatakan difteria pernah menjadi sejarah yang dikenali melalui buku sahaja. Justeru, mari kita kenali kembali apa itu difteria?
Apa itu difteria?
Difteria adalah jangkitan kuman oleh bakteria“Corynebacterium diphtheria”. Bakteria ini akan mengeluarkan toksin yang berbahaya kepada pengidapnya yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi jantung, kegagalan fungsi saraf dan kegagalan pernafasan, justeru membawa maut. Ia boleh menghasilkan pembentukan seakan lapisan selaput nanah berwarna kelabu-kehijauan pada saluran kerongkong pesakit sehingga jauh ke dalam bahagian laluan pernafasan atas (larynx), yang mana boleh menyebabkan kesukaran pesakit bernafas.
Siapa yang cenderung mendapat jangkitan difteria?
Umumnya terjadi pada mereka yang tidak diberi suntikan vaksin pencegahan difteria.
Apakah gejala-gejala difteria?
Perlu ditekankan di sini difteria boleh hadir dengan gejala yang sangat tidak khusus pada peringkat awalnya, seperti gejala-gejala demam biasa. Antaranya termasuklah demam ringan dan sederhana, sakit tekak dan sakit ketika menelan atau bengkak leher. Justeru, ianya boleh disalah-anggap sebagai jangkitan kuman tekak yang biasa sekiranya tidak disyaki lebih awal dan dipandang serius. Akhirnya, pesakit boleh hadir dengan kesukaran bernafas, mahupun kematian.
Kebarangkalian kematian?
Tanpa rawatan awal, ia boleh mencecah kepada keberangkalian kematian sehingga 20 peratus, terutama pada kanak-kanak dan golongan yang lanjut usia.
Bagaimana ia boleh merebak?
Difteria sangat MUDAH merebak melalui batuk dan bersin pesakit.
Bagaimana jangkitan difteria dapat dikesan?
Difteria dapat dikenalpasti apabila pihak doktor mengambil sampel kuman pada tekak pesakit dan mengenalpasti kuman tersebut di makmal. Namun rawatan awal akan senantiasa diberikan pada kali pertama berjumpa pesakit biarpun kuman belum dapat dikenalpasti. Ini kerana, penyakit difteria ini boleh menjadi teruk dalam masa yang singkat.
Adakah ianya boleh dirawat?
Ya. Bakteria ini dapat dikawal dengan rawatan antibiotik seperti penicillin atau erythromycin. Terdapat juga keperluan antitoxin yang mana mampu mengawal penularan toksin difteria di dalam darah. Namun, ianya tidak dapat memusnahkan toksin yang sudah melekat pada tisu badan. Perlu diingatkan tidak semua fasiliti kesihatan ada mempunyai antitoksin tersebut kerana amat jarang penyakit ini berlaku. Pesakit juga perlulah diberi pemantauan rapi di dalam hospital dan dikuarantikan untuk mencegah jangkitan kepada individu yang lain.
Bolehkah difteria berulang?
Ya, jangkitan difteria boleh berulang biarpun anda pernah menghidapi jangkitan difteria. Justeru, setiap individu perlulah mengambil langkah pencegahan dengan mendapatkan imunisasi difteria yang berkesan melalui suntikan vaksin dan mampu menurunkan risiko mendapat jangkitan difteria.
Apakah cara terbaik mencegah difteria?
Cara terbaik mencegah difteria adalah mendapatkan imunisasi vaksin difteria.
Bagaimanakah jadual imunisasi difteria di Malaysia?
Pemberian imunisasi vaksin di Malaysia adalah diberi serentak dengan imunisasi penyakit polio dan tetanus yang diberikan pada bayi berusia 2 bulan, 3 bulan dan 5 bulan (keseluruhan 3 dos) dan mendapat dos booster pada usia 18 bulan dan 7 tahun.
Bagaimana jika anak saya tidak pernah mendapatkan imunisasi difteria?
Imunisasi difteria boleh diberikan biarpun anda sudah menjangkau usia kanak-kanak, remaja mahupun dewasa dan tidak pernah mendapatkan vaksin difteria. Silalah mendapat maklumat lanjut dari pihak doktor anda untuk maklumat lanjut vaksin tersebut.
Justeru itu, diharap artikel ini dapat memberi kesedaran yang mendalam kepada semua, terutama berkenaan bahaya penyakit difteria dan pentingnya pencegahan jangkitan difteria melalui imunisasi. Mari beri sokongan pada program vaksin. Mari bersama-sama menjadikan difteria sebagai satu sejarah yang tidak boleh berulang lagi.
Dr. Shaiful Ehsan sedang melanjutkan pelajaran beliau untuk menjadi seorang Pakar Perubatan Keluarga dan kini merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau.
Rujukan:

0 comment... add one now