Pekerja Hong Kong masa kerja paling lama di dunia sekitar 50 jam seminggu

Rakyat China

Warga kerja di Hong Kong disenaraikan paling 'letih' di dunia dengan waktu kerjanya 50 jam seminggu.
Mengikut laporan yang dibuat UBS, sebuah syarikat korporat yang terkenal di China, hasil kajian dibuat ke atas 71 bandar raya dan 15 jenis profesion, didapati warga kerja di rantau Asia paling rajin dan terpaksa bertungkus-lumus mencari rezeki dengan waktu yang lebih lama.
Daripada senarai 10 bandar raya di dunia dengan jumlah masa kerja paling lama, tujuh daripadanya adalah datang daripada negara Asia.
Sebaliknya, warga kerja di rantau Eropah paling tidak tertekan apabila daripada senarai 10 bandar raya dengan jumlah masa kerja yang paling sedikit, semuanya datang daripada negara-negara Eropah.
Mengikut laporan tersebut, hasil kajian daripada 71 bandar raya, secara puratanya jumlah tempoh waktu kerja ialah 36.23 jam seminggu.
Selepas Hong Kong, warga bandar raya kedua paling 'teruk kerja' ialah Bombay, diikuti Mexico, New Delhi dan Bangkok.
Manakala Paris dan Lyon, kedua-dua dari Perancis merupakan dua bandar raya paling relaks, dengan masing-masing jumlah masa kerjanya ialah 30.84 jam seminggu dan 31.36 jam seminggu.
Ini diikuti tempat ketiga, Moscow (31.67 jam seminggu), keempat, Helsinki (31.90 jam seminggu) dan kelima, Vienna (32.26 jam seminggu).
Laporan itu turut menyebut, warga kerja di Paris hanya perlu kerja selama lima hari seminggu dengan purata masa kerja sehari ialah hanya 6.17 jam!

0 comment... add one now