PAS Nasihat Tun Mahathir Habiskan Usia Dengan Bertaubat Dan Menziarahi Mekah



Pemuda PAS menasihati mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya memperbanyakkan ibadah dan menziarahi Mekah daripada terus berusaha menunjukkan `taring’ dalam arena politik negara.
Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Mahathir sepatutnya sudah mula bertaubat memandangkan `taringnya’ dalam politik secara rasminya telah tercabut berikutan kekalahan teruk Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini.
“Saya sarankan Tun Mahathir banyakkan berada di tikar sejadah dan di hadapan Kaabah. Zaman kekuatannya ketika bertempur dengan almarhum ayahanda TGNA (Nik Abdul Aziz) telah berakhir.
“Jika Tun kembali kepada Allah dengan taubat yang benar, itulah sebaik-baik kehidupan di hujung hayat. Saya mendoakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahathir dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun lalu secara terbuka mengkhianati UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang ditunjanginya selama ini dengan berkempen untuk calon Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.
Beliau dipercayai bertindak demikian kerana berdendam dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana enggan tunduk kepada pelbagai permintaan peribadinya termasuk dalam isu pembinaan jambatan bengkok di Johor.
Usaha beliau untuk menjatuhkan Najib bagi menaikkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu sebelum ini juga gagal.
Nik Mohamad Abduh dalam pada itu menyindir Pakatan Harapan yang sering memperlekehkan PAS sebelum ini apabila keputusan PRK kali ini menyaksikan parti itu mendapat 25 peratus sokongan pengundi.
“(Sebanyak) 25 peratus sokongan bersih untuk PAS itu kecil? Tidak. Itulah kekuatan tegar sokongan terhadap perjuangan Islam yang syumul di Malaysia,” katanya. – mynewshub.cc

0 comment... add one now