Kepentingan Vaksin Mencegah Penyakit Maut Virus Difteria



Baru-baru ini, akhbar tempatan melaporkan bahawa tiga penyakit utama cegahan vaksin muncul kembali. Ia meningkat sebanyak 154 kali ganda sejak sedekad yang lalu sehingga ada yang menyebabkan berlakunya kematian akibat penyakit difteria seperti yang dilaporkan. [Berita Harian 22 Jun]

Corynebacterium diphtheria 
(C. diphtheria)merupakan bakteria yang menyebabkan penyakit difteria. C. diphtheria berasal daripada kumpulan bakteria yang dikenali sebagai corynebacteria [1]. Corynebacteria bukan sahaja merupakan bakteria aerob iaitu memerlukan oksigen untuk proses metabolisma, malah boleh beradaptasi untuk hidup sekiranya tiada kehadiran oksigen (juga dikenali sebagai anaerob fakultatif).
Corynebacteria hidup dalam persekitaran secara semula jadi seperti dalam air, tanah dan tumbuhan serta ada yang tidak mendatangkan mudarat kepada manusia. Meskipun terdapat pelbagai spesies corynebacteria, namun yang paling berbahaya setakat ini ialah Corynebacterium diphtheria yang boleh menyebabkan kematian.
Merebak
C. diphtheria boleh merebak dengan cepat melalui udara (batuk atau bersin) atau jika bersentuhan dengan pesakit difteria secara langsung atau melalui barangan yang digunakan oleh pesakit. C. diphtheria boleh memasuki badan melalui salur pernafasan atau luka pada kulit. Sebaik sahaja memasuki badan, C. diphtheria akan menjajah dan merebak pada membran mukosa (selaput tipis yang melapisi saluran dalam badan terutama selaput hidung dan kerongkong) serta mula menghasilkan toksin. Toksin merupakan molekul kecil beracun yang dihasilkan dalam badan serta boleh menyebabkan penyakit atau kematian.
Toksin ini boleh menyerap melalui rongga badan serta saluran darah dan boleh merebak ke serata bahagian badan. Sebaik sahaja C. diphtheriamemasuki badan, kuman tersebut berinkubasi (pengeraman) selama dua hingga enam hari sebelum mula menunjukkan tanda-tanda penyakit difteria. Tanda-tanda ini dimulai dengan radang di bahagian salur pernafasan, demam, susah menelan serta lain-lain tanda bergantung kepada tahap keterukan kuman tersebut menjangkiti badan. Komplikasi yang lebih teruk terjadi apabila toksin merebak ke seluruh badan serta menyebabkan kerosakan organ.
BH
Keratan Akhbar Berita Harian Jun 2016
Sampel daripada hidung, tekak atau luka diambil daripada pesakit bagi mengesan kehadiran C. diphtheria melalui ujian makmal. Sampel akan diuji di bawah mikroskop, dibiakkan di dalam makmal serta ujian biokimia bagi mengesan kehadiran kuman difteria ini. Jika dilihat di bawah mikroskop,C. diphtheria berbentuk rod tidak sekata (club-shaped).
Kematian
Meskipun difteria boleh menyebabkan kematian, penyakit ini boleh dicegah. Pencegahan utama yang boleh dilakukan ialah melalui pengambilan vaksin difteria. Hasil imunisasi menyeluruh yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada tahun 2006, tiada kes kematian akibat difteria dilaporkan [2]. Seterusnya pada tahun 2013, kadar insiden difteria adalah 0.01% [3]. Peratusan ini membimbangkan apabila akhbar-akhbar utama negara melaporkan terdapat dua kematian akibat difteria pada tahun ini, manakala individu lain yang pernah berhubung dengan pesakit terpaksa dikuarantin dan diuji tahap kesihatan mereka.
Di Malaysia, vaksin difteria diberikan melalui suntikan vaksin lima serangkai DTaP-IPV/Hibkepada kanak-kanak ketika berusia dua, tiga, lima dan 18 bulan [4]. Vaksin difteria merupakan sejenis vaksin toksoid, iaitu mempunyai toksin yang tidak mengandungi racun tetapi mampu merangsang sistem pertahanan badan supaya menghasilkan antibodi.
Antibodi yang terhasil terhadap toksin difteria mampu melawan sekiranya terdapat jangkitan C. diphtheria. Beberapa dos yang diberikan dalam tempoh tertentu bertujuan memastikan antibodi yang dihasilkan adalah mencukupi bagi melawan difteria [5]. Hal ini juga bertujuan supaya kanak-kanak yang menerima imunisasi difteria mempunyai perlindungan yang maksima sehingga dewasa.
Difteria merupakan penyakit yang hampir terhapus suatu ketika dahulu ketika imunisasi berjalan secara meluas dan mendapat kerjasama semua pihak. Amat menyedihkan dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, ramai pula ibu bapa yang memilih untuk menolak imunisasi. Sekarang telah terbukti bahawa semakin ramai yang menolak vaksin, peratusan penyakit yang dahulu boleh dicegah dengan vaksin, kini kembali menular. Imunisasi adalah tangungjawab bersama setiap individu dalam masyarakat. Cegah sebelum terlambat!
RUJUKAN
  1. Bernard, K. (2012). Journal of Clinical Microbiology. 50(10):3152
  2. Kementerian Kesihatan Malaysia (2007). Kadar insiden dan kematian akibat penyakit berjangkit di Malaysia 2006.
  3. Kementerian Kesihatan Malaysia (2014). Kadar insiden dan kematian akibat penyakit berjangkit di Malaysia 2013.
  4. Berita Harian (22 Jun 2016)
  5. Swartz, TA. (2003). European Journal of Epidemiology. 18(8):827
Kredit : majalahsains 

0 comment... add one now