Kenapa wagon tidak popular di Malaysia

Baru-baru ini gambar prototaip Proton Saga versi estate atau wagon muncul di laman media sosial.
Seperti biasa, ramai yang teruja dan ada juga yang mula mengeluarkan kata-kata sinis tentang betapa bodohnya Proton dan Perodua yang tidak mahu menghasilkan versi wagon.
Sebenarnya, station wagon ialah perkataan dari Amerika Syarikat sementara di United Kingdom, ia dikenali sebagai estate.
Ia bermaksud kenderaan sedan yang mempunyai badan yang lebih panjang dari sebuah hatchback atau sedan itu sendiri.
Di Malaysia, model wagon mula dipopularkan pada tahun 40-an dan 50-an lagi kerana memang model-model klasik dulu datang dalam bentuk wagon. Model Hillman contohnya, sangat popular dan pernah keluar beberapa kali dalam filem arwah Tan Sri P Ramlee.
Hillman_Super_Minx_estate_first_registered_June_1966_1725cc
Hillman Super Minx Mark IV tahun 1965 antara model yang popular sebagai estate, dan sebelum itu Morris Minor keluar dengan versi estate yang dipanggil Traveller. Tak apa, mungkin itu semua sudah terlalu lama. Mari kita tinggalkan zaman 70-an yang penuh dengan estate dari UK dan terus ke model-model popular dari Jepun.
japanese hot
Model estet hanya popular sebagai kenderaan modifikasi atau model prestasi baru-baru ini sahaja. Pada zaman 80-an, model estet yang dibawa masuk oleh syarikat pengeluar kenderaan Jepun digunakan oleh orang Malaysia sebagai kenderaan perniagaan. Model Toyota KE70 estate contohnya, banyak digunakan oleh peniaga pasar malam. Ia adalah alternatif kepada van-van Toyota Liteace dan Datsun Vannete C18.
Pada masa yang sama juga, model estet yang popular ialah dari jenama Volvo. Pasti ada yang teringat model Vovlo 240 Estate yang digunakan oleh peronda polis, dan kemudian pada tahun 1990-an, polis peronda lebuhraya berjaya mempopularkan Volvo 850 estate. Masa itu juga, perlumbaan siri BTCC (Brisih Touring Car Championship) turut popular dengan model Volvo 850 estate dan ia menjadi model popular untuk yuppies di Malaysia.
caldina
Di Jepun juga fenomena estet berubah sedikit dari menjadi model komersil kepada model prestasi. Contoh terbaik ialah apabaila Toyota menghasilkan Caldina, yang berasal dari Camry estate. Caldina cukup popular di Malaysia dan tak ramai yang tahu ia sebenarnya ialah sebuah estate.
Sekarang ini, model-model estate tidak begitu banyak di Malaysia. Kebanyakkannya didominasikan oleh jenama-jenama premium. Volvo masih lagi menjual model-model estate mereka dan begitu juga Audi, BMW dan Mercedes-Benz.
2013-Mazda-Atenza-Wagon-Side
Dari Jepun, hanya Mazda yang menjual versi estate mereka, iaitu model Mazda6 Estate.
Mungkin juga estate ini tidak popular kerana tidak ada model estate dengan harga mampu milik. Sekarang ini, tidak ada model estate yang berharga di bawah RM180,000. Model Mazda6 itu sendiri sudah hampir ke Rm200,000, lebih mahal dari varian sedannya.
Sebenarnya ia pernah popular, iaitu bila Edaran Tan Chong Motor memasang model estate AD Resort di Malaysia dan menjualnya sebagai model lifesyle. Ia sangat popular tetapi apabila Tan Chong memperkenalkan model terbaru AD Resort selepas itu, ia merudum jatuh.
Kemudian, pada tahun 2000-an, Chevrolet mencuba membawa masuk model Optra estate dengan harga di bawah RM100,000. Sayang sekali, ia tidak mendapat sambutan baik. Skoda juga ada membawa beberapa model estate tetapi jenama itu yang sudah pun menjadi sesejuk ais batu, tidak berjaya menghidupkan fenomena estate.
Model estet sekarang ini sebenarnya tidak lagi mementingkan praktikaliti atau ruang kargo yang besar. Lihat sahaja model-model estate Alfa Romeo, Volvo malah Mazda6, semuanya mempunyai rekabentuk yang sangat sporty. Jika dahulu bentuk ekor sebuah estate besar dan berkotak, sekarang ini ia tirus dan mengecil. Ruang barang juga semakin kecil.
volvo wagons
Mungkin ia sesuai untuk membawa haiwan peliharaan seperti anjing ataupun mungkin lebih mudah untuk memasukan satu ada dua buah basikal tetapi dalam banyak kes, ruang but estate antara sama atau lebih kecil dari model sedan.
Bagi menjawab persoalan kenapa model estate tidak popular di Malaysia dan kenapa syarikat kenderaan tidak membawa masuk model estate mampu milik ke dalam negara, Careta bertanya kepada beberapa sahabt dari syarikat kenderaan.
Menurut mereka, mereka akur bahawa memang ada sekelompok dua peminat kenderaan yang berminat dengan model-model estate. Masih ada pertanyaan akan model estate bila sebuah model baharu dilancarkan tetapi secara hakikatnya, tidak ramai.
EURO WAGON
Sebelum sebuah syarikat membawa masuk atau memperkenalkan model estate, mereka akan melakukan kajian yang sangat terperinci mengenai kehendak pasaran. Hanya apabila kajian yang dilakukan itu membuktikan ada pasaran untuk model itu, ia akan dibawa masuk. Itupun sekiranya cukai yang dikenakan tidak akan menggugat harga sasaran mereka.
Ini sangat penting kerana jika syarikat kenderaan hendak membawa masuk sebuah model baharu, mereka perlu:
  • membelanjakan beberapa juta RM untuk stok alat ganti
  • membelanjakan beberapa ratus ribu RM untuk kos latihan tenaga di pusat servis
  • membelanjakan beberapa ratus ribu RM untuk tujuan homologasi dan kesesuaian dengan cuaca negara
  • membelanjakan beberapa juta RM untuk tujuan promosi
  • membelanjakan beberapa juta RM untuk membeli stok-stok model terbaharu
Sekiranya model tersebut tidak berjaya, ia akan menyebabkan kerugian berjuta-juta RM.
Kadang-kadang, pengeluar kenderaan juga tidak ada menyediakan model estate yang sesuai untuk tujuan penjualan di negara kita. Antara punca sesebuah model tidak boleh dijual di Malaysia ialah:
  • tiada model panduan sebelah kanan (kerana itu Chevrolet Camaro tidak boleh dijual di Malaysia dengan banyak)
  • tiada enjin yang sesuai (saiz enjin terlalu besar, atau enjin diesel menggunakan bahan api Euro 4 ke atas sahaja)
  • tiada transmisi sesuai (ada sesetengah model kereta hanya datang dalam transmisi manual atau semi-auto seperti Proton Savvy).
  • tiada permintaan yang mencukupi (sebuah model perlu ada break-even number atau jualan yang mencukupi untuk balik modal)
  • tidak dibenarkan oleh pengeluar (pasaran Malaysia sebenarnya kecil dan banyak pengeluar tidak begitu melayan permintaan Malaysia untuk 100 unit atau lebih setahun).
Model Volvo Amazon estate ini semakin menjadi lagenda dunia.
Model Volvo Amazon estate ini semakin menjadi lagenda dunia.
Pada pendapat Careta, model estate ini boleh popular di Asean. Ia adalah kenderaan yang sesuai untuk mereka yang tidak mahukan sebuah MPV, dan tidak akan menggunakan kerusi pada barisan ketiga. Sekiranya Nissan Livina X-Gear boleh popular, sekiranya Subaru Legacy masih menjadi lagenda dan sekiranya Perodua Alza boleh popular (kebanyakan pemilik Alza tidak menggunakan kerusi barisan ketiga kerana kecil), Careta rasa mungkin Proton boleh hasilkan sebuah sedan sederhana mewah, dengan enjin turbo, dijual sebagai sebuah kenderaan life-style bagi golongan eksekutif pertengahan dan disediakan dengan fungsi-fungsi seperti rak basikal dan cargo-net atau cargo divider di belakang, mungkin ia akan berjaya.
Yang penting, ia tiada di dalam pasaran dan kerana Proton berasal dari Asia Tenggara, ia lebih arif tentang pasaran di sini.
Sepatutnya.
Mungkin suatu ketika dahulu, idea Iswara estate patut dilakukan sahaja kerana model Mitsubishi memang sudah wujud untuk versi itu.
Mungkin suatu ketika dahulu, idea Iswara estate patut dilakukan sahaja kerana model Mitsubishi memang sudah wujud untuk versi itu.

2 comments.. read them below or add one

ayunie ramli ayunie ramli Jun 29, 2016
lawa pulakk versi modern ni ye
Syamil Ramli Syamil Ramli Jun 30, 2016
dalam mata aku ni...nmpk caldina gt four jer...

Jom tgk kat sini..sape mamat ni Misteri Pemuda Bernama Daniel Tyler