Kenapa sambut Nuzul al-Quran 17 Ramadhan? Ini Jawapannya!




Kenapa Disambut Nuzul al-Quran 17 Ramadhan Sedangkan al-Quran Turun Pada Malam al-Qadar?

1. Hari ini 17 Ramadhan umat Islam di Malaysia memperingati peristiwa Nuzul al-Quran atau Penurunan al-Quran ke atas baginda saw.

2. Ada yang tertanya-tanya; kenapa peristiwa itu disambut pada 17 Ramadhan sedangkan al-Quran menceritakan dalam surah al-Qadar bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar sedang malam al-Qadar berlaku pada 10 malam terakhir Ramadhan?

3. Jawapannya ialah peristiwa Nuzul al-Quran itu sebenarnya merujuk kepada penurunan al-Quran untuk pertama kali ke atas baginda saw iaitu peristiwa baginda saw didatangi Jibril di gua Hira' lalu diwahyukan 5 ayat pertama daripada surah al-'Alaq.

4. Para Ulamak berbeza pandangan tentang tarikh peristiwa itu berlaku antara 17, 21 dan 24 Ramadhan.

5. Menurut Imam Ibnu Kathir dalam Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah nukilan daripada al-Waqidi daripada Abi Ja'far al-Baqir bahawa "permulaan wahyu berlaku pada hari isnin 17 Ramadhan. Ada pendapat menyatakan ia berlaku pada 24 Ramadhan."

6. Syeikh al-Mubaarakfuri antara ulamak kontemporari membuat kajian semula dan berpandangan ia jatuh pada 21 Ramadhan.

7. Menurut Ibnu Abbas radiyallahu anhuma dalam hadis riwayat Imam Ahmad ia berlaku pada usia Baginda saw 40 tahun.

8. Setelah itu, ayat-ayat al-Quran turun sedikit demi sedikit sehingga lengkap kesemuanya dalam tempoh 23 tahun baginda menjadi Nabi.

9. Ayat paling akhir turun 9 malam sebelum kewafatan baginda saw sebagaimana riwayat Nasaei dan Ibnu Abi Haatim ialah ayat 281 surah al-Baqarah

وَاتَّقُوا يَوْماً تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ

10. Adapun peristiwa Nuzul al-Quran yang dirujuk oleh surah al-Qadar ayat pertama:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

yang bermaksud "sesungguhnya Kami turunkan ia pada malam al-Qadar", ia merujuk kepada peristiwa al-Quran turun sepenuhnya sekaligus dari *Lauh Mahfuz ke Baitil Izzah di langit dunia* pada malam al-Qadar pada bulan Ramadhan sebelum baginda saw mendapat wahyu yang pertama daripada Jibril.

11. Perkara ini diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Ibnu Abbas radiyallahu anhuma sebagaimana hadis riwayat Nasaei, Abu 'Ubaid, al-Hakim dan Ibnu Abi Syaibah dengan isnad yang Sahih. Imam Sayuti menyebut bahawa Imam Ibnu Kathir telah meriwayatkan ijmak sepakat ulamak dalam perkara itu.

1 comment... add one now