Kajian ibu hidap obesiti bakal lahirkan anak yang obes apabila dewasa

Ibu hidap obesiti bakal lahirkan anak yang obes - Kajian
Kajian mendapati bahawa ibu-ibu yang mengalami lebihan berat badan adalah tiga kali lebih tinggi kemungkinan untuk mempunyai anak perempuan yang juga akan menjadi gemuk. -Istock.com





SATU kajian baharu berskala besar mendapati bahawa para ibu yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes lebih cenderung untuk mempunyai anak perempuan yang juga akan menjadi obes apabila dewasa kelak.

Kajian tersebut merupakan antara siri kajian penyelidik dari Institut Liggins dari Universiti Auckland dan Universiti Uppsala di Sweden yang mencerap data daripada 26,561 pasangan ibu dan anak perempuan di Sweden.

Kajian mendapati bahawa ibu-ibu yang mengalami lebihan berat badan adalah tiga kali lebih tinggi kemungkinan untuk mempunyai anak perempuan yang juga akan menjadi gemuk di kemudian hari berbanding ibu-ibu dengan berat badan normal.

Manakala ibu-ibu obes pula hampir lima kali lebih cenderung untuk mempunyai anak perempuan yang juga akan menjadi gemuk.

Di samping itu, penyelidik juga mendapati bahawa dalam dua generasi wanita, terdapat peningkatan empat kali ganda kes obesiti -- 3.1 peratus ibu hamil di antara tahun 1982 dan 1988 menghidap obesiti, berbanding 12.3 peratus obesiti dalam kalangan anak-anak perempuan mereka pada tahun 2000 ke 2008.

Pasukan itu percaya bahawa anak-anak perempuan daripada ibu yang obes lebih cenderung menjadi gemuk kerana diet dan gaya hidup keluarga.

Mereka juga percaya ibu yang mengalami obesiti akan memberikan nutrien banyak buat bayi mereka semasa hamil yang membawa kepada penyimpanan lebih banyak lemak apabila bayi itu dewasa. 

Menurut Dr José Derraik dari Institut Liggins, obesiti ialah satu isu kesihatan yang serius bagi ibu dan anak.

"Wanita yang obes akan lebih berisiko ketika hamil untuk mendapat pre-eklampsia, kencing manis, kematian dan keguguran bayi.

“Selain itu, terdapat bukti bahawa obesiti semasa hamil boleh memberi kesan kepada kesihatan bayi yang dikandung bukan sahaja di zaman kanak-kanaknya, tetapi juga dalam kehidupan dewasa," kata Dr Jose.

Antara lain, kajian ini adalah penting bagi memecah kitaran obesiti dalam sesebuah keluarga yang mana ia boleh dicegah pada awal kehidupan, katanya.
Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnalScientific Reports.

0 comment... add one now