Iklan Raya Petronas, 'Vroom Vroom' sentuh perasaan netizen

Iklan Raya Petronas, 'Vroom Vroom' sentuh perasaan

Filem web Raya Petronas 2016 bertajuk ‘Vroom Vroom’ pastinya akan membuat penonton tersentuh dengan mesej kekeluargaan dan pentingnya kasih seorang ayah demi anaknya.

'Vroom Vroom' berkisar seorang kanak-kanak, Azlan dan bapanya yang terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas diusir oleh tuan rumah.   .

Walaupun bersedih, bapanya berjaya untuk meghiburkan hati anaknya untuk membuatkan Azlan tersenyum kembali.

Selain memberi fokus kepada hubungan antara bapa dan anak, 'Vroom Vroom' turut mengetengahkan tema pengorbanan,



Tahun ini, pelakon kanak-kanak, Mohamed Harris Mohd Heikal yang berusia enam tahun diberi kepercayaan untuk memegang watak Azlan.

“Seronok, tetapi penat,” kata Harris tentang pengalaman berlakon dalam filem pendek itu.

Ternyata ini merupakan iklan pertamanya dan menerima banyak tunjuk ajar daripada pengarah, Maurice Noone.



Barisan pelakon 'Vroom Vroom'
Barisan pelakon 'Vroom Vroom'


Ibu Harris, Yuzairin Mohd Yusof, menjelaskan penggambaran dilakukan pada waktu malam sehingga awal pagi selama tiga hari berturut-turut.

Namun, minat yang mendalam dalam dunia lakonan, Harris berjaya melakukan tugasan dengan baik dan mengikut kehendak pengarah. 

“Beliau memang suka berlakon watak aksi. Beliau teringin berlakon filem pula selepas ini,” kata Yuzairin pada majlis tontonan filem web ‘Vroom Vroom’ kepada pihak media di ibu kota pada Rabu. 

Muhammad Zaki Yamani Mohd Zahari memegang watak Azlan (dewasa).
Muhammad Zaki Yamani Mohd Zahari memegang watak Azlan (dewasa).


Watak Azlan ketika dewasa dipegang oleh pelakon iklan, Muhammad Zaki Yamani Mohd Zahari.

Katanya, berlakon dalam filem web dan iklan Petronas merupakan impian yang menjadi kenyataan.

“Saya pernah berlakon beberapa iklan sebelum ini, namun sasaran saya memang untuk berlakon dalam iklan Petronas. Iklan Petronas begitu mendalam,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Katanya, antara cabaran untuk melakonkan filem web ini adalah untuk menjiwai watak Azlan. 

“Saya mendapatkan emosi yang sama dengan apa yang dilalui oleh Azlan ketika kecil. Seronok dan mencabar untuk melakonkan watak ini,” katanya.

Pengarah filem web 'Vroom Vroom' Maurice Noone
Pengarah filem web 'Vroom Vroom' Maurice Noone


Iklan ‘Vroom Vroom’ menggunakan perkhidmatan Noone (Maurice) yang pertama kali mengarahkan iklan raya Petronas.

Beliau yang sebelum ini pernah mengarah beberapa iklan dan dokumentari untuk syarikat-syarikat korporat lain mengakui terdapat beberapa cabaran untuk menjayakan iklan ini.

“Kejayaan filem ini berdasarkan betapa bagusnya pelakon kanak-kanak untuk watak Azlan. Pelakon kanak-kanak senang hilang fokus. Harris begitu bagus dan banyak bersabar dengan saya.
Menurutnya, jalan cerita 'Vroom Vroom' menuntut penggambaran hanya dilakukan pada lewat malam dan ia dilakukan pada bulan Ramadan.

“Saya tahu ia adalah satu cabaran kerana kami merakam sehingga awal pagi. Saya pula ingin terus merakam satu babak ke satu babak. Barisan pelakon terus memberikan yang terbaik,” katanya.

Noone turut berkata bahawa idea asal dan skrip diberi oleh pihak agensi pengiklanan, namun beliau dapat menjiwai filem web bertemakan pengorbanan yang harus dilakukan oleh seorang ayah untuk menggembirakan anaknya.

“Saya rasa itu tema yang bagus dan skripnya begitu bagus. Secara peribadinya, ia mengingatkan tentang hubungan saya dengan ayah saya.

“Saya mahu orang ramai untuk menghargai ibu bapa mereka. Mereka sentiasa mencuba untuk memperbaiki situasi dengan cara mereka tersendiri. Namun, anak-anak mudah untuk melupakan pengorbanan mereka,” katanya kepada Astro AWANI.

‘Vroom Vroom’ dilancarkan pada 30 Jun menerusi laman web petronasofficial.com dan iklan televisyen berdurasi satu minit dilancarkan pada 1 Julai.

1 comment... add one now

ayunie ramli ayunie ramli Julai 03, 2016
aa. nak menitik ayor mate