Hukum Multi Level Marketing (MLM) halal atau haram?



'Multi Level Marketing' (MLM) adalah salah satu strategi pemasaran yang digunakan secara meluas kini. Walaupun MLM berteraskan jualan langsung, tetapi sistem dan perjalanan antara MLM tertentu dengan yang lain adalah berbeza. 

Justeru, hukum halal dan haram MLM tidak boleh diukur kepada namanya sahaja, tetapi ia mesti dilihat perjalanan MLM itu sendiri. Ini kerana, hukum sesuatu perkara berkait rapat dengan hakikatnya. 

Untuk mengukur MLM dari perspektif Islam, kita perlu melihat beberapa sudut seperti hukum asal MLM, faktor yang mengharamkannya dan cara untuk keluar daripada unsur-unsur haram itu. 



MLM dari sudut positif 

Hakikatnya ramai orang Melayu/Islam yang tidak mempunyai keupayaan untuk berbisnes kerana modal & risiko yang tinggi. Sedangkan menghasilkan produk yang mempunyai modal kecil, berbanding syarikat gergasi antarabangsa akan merumitkan perjalanan perniagaan mereka. Akhirnya mereka berdepan dengan suasana ketidak ketentuan dan akhirnya kecundang! Sabenarnya ugama kita menggalakkan kita berniaga, kerana 9/10 rezki datangnya daripada perniagaan tetapi orang Melayu/Islam kita kebanyakan Bekerja! Bahkan 9/10 daripada mereka bekerja! 

Ugama kita sabenarnya adalah ugama yang sentiasa memandang positif terhadap apa-apa sahaja, bahkan jika sesuatu masa dimana situasi darurat maka hukum yang haram pun boleh diharuskan/dihalalkan. Tetapi ini bukan soal darurat tetapi PILEHAN. Untuk memileh antara manikam dan kaca maka hendaklah kita berfikir secara positif dan mempunyai fakta dan kebenaran.

MLM dari sudut positifnya boleh menjadi strategi pemasaran bagi memecahkan kemelutan kemiskinan, kepapaan dan tekanan hidup harian. Kenapa MLM? Soalnya adakah kita dapat menghadapi perbelanjaan harian tanpa berhutang dan adakah kita dapat menyimpan uang dihari tua? Dipendekkan cerita bilakah masa kita akan bebas dari kemelut kemelesetan hidup!justru MLM menjadi pilehan untuk kita membena asset kita kerana ia mempunyai peluang yang besar, risiko yang kecil dan yang paling penting dengan modal yang kecil!

Maka itu MLM perlu dilihat dari sudut positif dan kita sepatutnya sama-sama berusaha memperbaikinya supaya bertepatan dengan syariat sehingga sistem MLM dapat menjadi penyumbang kepada ekonomi orang Islam/Melayu yang dapat meningkatkan hidup mereka membena asset yang dicita.

Hukum asal MLM 

Hukum asal bagi setiap muamalat adalah harus selama mana tidak terdapat dalil dan faktor yang mengharamkannya. �Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.� (maksud al-Baqarah 29). 

Hukum asal bagi segala sesuatu adalah harus. Berdasarkan kaedah ini, hukum asal sistem dan konsep MLM adalah harus selama mana tidak terdapat faktor yang mengharamkannya. Untuk menghukumkan sesuatu muamalat sebagai haram mestilah bersandarkan dalil. Selama mana tidak terdapat dalil dan faktor haram, maka selama itu muamalat tersebut kekal harus. 

Dengan kata lain, keharusan sesuatu muamalat seperti MLM tidak memerlukan dalil, sebaliknya pengharaman sesuatu muamalat memerlukan kepastian dan sandaran dalil yang kuat, seperti haramnya sesuatu muamalat kerana kepastian terdapat riba di dalamnya di mana riba adalah haram secara putus dan ijmak di kalangan ulama. 

Berdasarkan kaedah syariat, pengharaman sesuatu yang asalnya harus tidak boleh bersandarkan kepada hukum khilafiah, kecuali ketika penggubalan undang-undang. Contohnya, jika ulama khilaf berkenaan dengan Ghabnun dan 'had maksimum keuntungan', maka kita tidak boleh mengharamkan MLM disebabkan harganya yang tinggi berbanding barangan lain. 

Oleh itu, untuk mengukur sesuatu muamalat halal atau haram memerlukan kepada: 

1. Memastikan benar-benar terdapat unsur haram di dalamnya seperti pemastian bonus yang diagihkan berasaskan perjudian yang akhirnya menyebabkan muamalat tersebut haram. 

2. Unsur tersebut hendaklah haram secara putus dari sudut syariat. Seperti unsur riba, unsur perjudian, unsur kezaliman dan sebagainya. Sebaliknya, tidak boleh kita menghukumkan haram sesuatu muamalat jika ia bersandarkan kepada unsur yang khilafiah dari sudut halal dan haramseperti muamalat yang berasaskan kepada bai' 'inah, ghabnun yang tidak faahish dan seumpamanya. 

Perlu difahami asas kepada muamalat ialah mudah dan toleransi. Berbeza dengan asas kepada ibadat yang bersandarkan kepada ikutan dan ta'abbudi. 

Justeru, talfik mazhab atau penggabungan mazhab dalam muamalat adalah dibenarkan berbeza dengan talfik dalam ibadat di mana hukum talfiknya lebih ketat berbanding talfik dalam muamalat. 

Faktor-faktor haram 

Selama mana sesuatu muamalat tidak dimasuki unsur dan faktor haram, maka hukumnya harus sebagaimana asal. Setakat ini faktor haram di sebalik MLM ialah: 

1. Perjudian 

Perjudian yang terdapat dalam sesetengah MLM adalah haram ini kerana apabila seseorang itu mengharapkan bonus pembayaran dengan mengharapkan keuntungan dari downline tanpa usaha maka ianya adalah haram! 

Bonus dalam bentuk ini secara pastinya adalah perjudian yang diharamkan Islam kerana si penjual pertama dan si penjual kedua dinafikan haknya kerana kalah, justeru tidak mencapai jualan �target�. Sedangkan konsep keuntungan dalam muamalat Islam yang berpandukan surah al-Baqarah ayat 286 ialah, 'setiap yang berusaha berhak mendapat hasil yang diusahakan'. 

Bagaimanapun, untuk menjadikan MLM itu bersihkan maka sebagai leader kita harus membantu setiap downline kita dengan pelbagai cara seperti berikan panduan, tips, coaching, membuat business presentation, entrepreneur opportunity meeting dimana pembabitan motivasi anda merupakan kerja yang anda lakukan untuk downline anda Berjaya!

2. Riba 

Apabila terdapat 'fixed return' atau janji kemasukan tetap dalam sesuatu sistem MLM, maka ia adalah riba yang diharamkan. Contohnya, setiap ahli yang menyertai rangkaian MLM mestilah membayar yuran RM50. Setelah ia menjadi ahli dengan pembayaran yuran, maka ia berhak mendapat RM5 setiap bulan sebagaimana dijanjikan syarikat di samping keuntungan jualan atau keuntungan melalui poin penggunaan produk MLM. 

'Fixed return' tersebut adalah riba yang mencemarkan keharusan sistem MLM. Jelasnya, 'fixed return' ini juga diadakan guna untuk menarik orang ramai menyertai rangkaian MLM tersebut. Bagaimanapun, sistem MLM yang dicemari riba ini boleh dibersihkan melalui pelbagai cara. 

Contohnya agihan keuntungan berdasarkan mata penggunaan melalui konsep mudharabah, dimana setiap ahli yang membeli adalah mudhorib (pencarum) yang berhak mendapat peratusan keuntungan syarikat MLM dalam tempoh setahun sebagai contoh. Cara ini bersih daripada riba dan boleh menarik orang ramai menjadi ahli MLM ini. 

3. Tadlis, taghrir dan Syamta' 

Tadlis bermaksud memalsukan, taghrir bermaksud memperdayakan dan syamta' pula bermaksud 'make up' hamba yang hodoh sehingga kelihatan cantik dengan tujuan memperdayakan pembeli. 

Apa-apa bentuk pengiklanan Syarikat yang mempamarkan kejayaan ahlinya tetapi sabenarnya palsu atau bohong maka hukumnya haram! Contohnya Syarikat mengiklankan sipolan 'dihadiahkan' atau 'menerima hadiah' kereta kerana atau 'berjaya memperolehi' penjualan yang tertinggi sedangkan kereta itu masih berhutang dan siahli harus membayar ansuran bulanan kereta itu.. 

Menyembunyikan hakikat pembayaran syarikat hanya  sebagai down payment pastinya bersalahan dengan pemahaman umum. Ini menyebabkan pengiklanan tadi boleh dikategorikan sebagai 'taghrir' (memperdayakan) dalam bentuk 'Syamta' yang diharamkan. 

Syamta' ini boleh dibersihkan melalui pelbagai alternatif. Syarikat boleh menganjurkan majlis penyampaian bonus yang halal kepada ahli-ahli yang mencapai jualan tertinggi dan diiklankan dalam buletin. ia mungkin berupaya menarik ahli baru dalam bentuk tidak memperdayakan dan tidak menghiasi sesuatu hakikat yang tidak benar. 


4. Mengambil hak orang lain dengan cara yang salah 

Terdapat MLM yang sistemnya berkonsepkan kutu yang haram seperti penggunaan konsep �Auto Placement�. Dalam konsep �Auto Placement� ini, ahli pertama perlu mencari dua ahli di bawahnya dan setiap ahli dikenakan yuran RM2. Yuran RM2 tadi terkumpul dan akan dinikmati ahli yang awal sehinggalah yang pertama terkeluar dengan masuknya ahli baru. 

Konsep ini asalnya bukan sistem MLM bahkan ia konsep kutu yang haram. Tetapi ada sistem MLM menggunakan kaedah kutu yang haram ini bagi penetapan yuran keahlian dan jumlah yuran ahli yang terkumpul dijadikan bonus bagi level yang paling tinggi. 

Di sini, syarikat MLM yang menggunakan konsep ini tidak mementingkan barang, tetapi ia mementingkan keahlian kerana bonus yang diperolehi �upline� adalah yuran ahli yang terkumpul. Ini punca sesetengah barangan yang tidak jelas dalam sebahagian MLM. 

Jika ada bertanya, apa salahnya jika pembayaran yuran berasaskan reda sebagaimana dalam hukum hibah dan tabarru'? Jawapannya, reda yang menjadi syarat halal tersebut mesti didahului atau disertai perniagaan halal sebagaimana ayat 29, an-Nisaa'. Jika tiada perniagaan, iaitu wang yang dikeluarkan hanyalah berbentuk yuran terkumpul yang dipusingkan di kalangan ahli tanpa ada apa-apa pertukaran, maka reda tidak boleh menjadi sebab untuk menghalalkannya. 

Tambahan pula, hibah dan tabarru' yang halal dan harus tidak boleh disertai dengan tujuan seperti hibah untuk mendapatkan untung, dan sebagainya. Jika hibah dengan niat ini, ada pendapat yang menyatakan batal dan ada menyatakan ia berubah menjadi transaksi jual beli atau seumpamanya dan bukan lagi hibah sebenar. 

Jika berpandukan pendapat yang menyatakan batal, maka penyertaan dalam MLM yang bersifat seperti ini adalah batal. Dan jika berpandukan pendapat hibah dengan niat mendapatkan keuntungan ini berubah menjadi hukum jual beli, maka tuntasnya jika ketiadaan barang yang menjadi pertukaran maka hukumnya adalah haram kerana si pemakannya memakan hak orang lain tanpa sebab yang harus sebagaimana konsep kutu yang haram di atas. 

Bukan semua hibah hukumnya harus bahkan kadangkala hibah menjadi haram seperti hibah yang menjadi syarat pinjaman yang dikategorikan sebagai riba yang haram. 

5. Penindasan 

Bagi sesetengah sistem MLM, ia mensyaratkan jumlah jualan tertentu bagi mendapatkan keuntungan. Sebagaimana diterangkan, ahli-ahli yang tidak mencapai jualan �target� akan dicabut bahagian keuntungannya dan pihak syarikat akan memberikan kepada orang yang mencapai jualan �target�. 

Sedangkan konsep muamalat Islam ialah, setiap seseorang berhak mendapat apa yang ia usahakan. Berdasarkan konsep Islam ini, si ahli yang berjaya menjual lima produk sepatutnya mendapat ganjaran dari jualannya walaupun kurang dari target dan seharusnya tak diberi pada uplinenya atau orang yang mencapai jualan targetnya. 

Apakah alternatifnya? 

Sebenarnya, Islam hanya menyenaraikan unsur-unsur haram sahaja dan selainnya halal. Ada ulama hanya menyimpulkan sebab-sebab haram hanya tiga perkara, iaitu riba, gharar dan zalim. Jika sesuatu muamalat bersih daripada ketiga-tiga unsur ini, maka hukumnya halal. 

Justeru, alternatif kepada unsur-unsur haram ini terlalu banyak jika dibincangkan secara serius dan bersama. Contohnya, jika 'upline' haram mendapatkan bahagian yuran 'downline' kerana ia termasuk dalam kategori 'memakan harta orang lain secara batil' seperti bentuk yang diterangkan, pihak syarikat boleh menyediakan jumlah tertentu sebagai kos marketing untuk diberikan kepada 'upline' yang berjaya mencari 'downline' atau ahli pengguna baru dengan perincian tertentu. 

Berdasarkan konsep Islam, �upline� boleh mendapatkan bahagian upahnya mencari pengguna baru kerana itu hasil usaha dan titik peluhnya, tetapi disyaratkan perolehannya tadi bukan dengan cara memakan hasil orang lain.

Justeru, apabila disebut 'upline' haram mendapatkan bahagian yuran �downline� maka kita memahami bahawa 'upline' tidak berhak mendapat apa-apa. Ini menatijahkan 'upline' yang bertindak sebagai pekerja marketing tidak akan melakukan kerja promosi dan akhirnya syarikat tidak berkembang dan barangan produknya akan mati begitu sahaja. 

Unsur haram pada MLM tanpa disusuli usaha mencari alternatifnya akan mematikan sebahagian pembangunan produk orang-orang Islam dalam konteks dan suasana ekonomi kita sekarang. 

Pakar-pakar ekonomi yang mencipta sistem MLM jangan berputus asa apabila sistemnya disifatkan haram atau mengandungi unsur haram. Mereka mestilah meningkatkan usaha dan meninggikan semangat melalui perbincangan dengan ulama berkebolehan di lapangan ekonomi dan muamalat Islam bagi mencari jalan penyelesaian kepada perkara-perkara buntu serta alternatif kepada unsur-unsur haram. 

Sikap, tindakan dan peranan umat Islam 

� Tidak boleh cepat menghukum: Apabila diperhatikan unsur haram yang disenaraikan di atas, kita dapati sebahagiannya hanya diketahui pihak yang menggubal sistem MLM itu sendiri. Contohnya hakikat kepada sumber bonus yang diagihkan hanya diketahui oleh pembuat sistem MLM sahaja sekalipun terdapat beberapa petunjuk yang menjadi ukuran kepada sumbernya. 

Sikap kita sebagai pemerhati tidak boleh terlalu cepat menghukum halal atau haram sesuatu MLM melainkan melalui penyelidikan atau terdapat sebab yang jelas keharamannya. Ini dari sudut kita sebagai pemerhati yang tidak terlibat dengan sistem MLM. 

� Tidak terlibat dalam perkara yang tidak jelas: Jika kita ingin menyertai, sepatutnya kita mengetahui dengan jelas apakah sumber bonus yang bakal kita perolehi, apakah punca pengembangan modal yang dilaburkan dan sebagainya. Jika ia tidak jelas dan masih keliru dengan sistem atau rangkaian MLM, ia tidak sepatutnya melibatkan diri. 

� Tidak terpedaya dengan kempen �cepat kaya�: kadangkala faktor yang menjebakkan seseorang ke dalam rangkaian MLM yang haram disebabkan keghairahan keuntungan yang ditawarkan. Sepatutnya kita perlu berfikir rasional dan logik kerana ulama Islam menggariskan sebab-sebab pulangan di dalam lingkungan tiga perkara: modal, kerja dan dhoman. 

Jika sesuatu keuntungan yang dijanjikan bukan selain daripada tiga perkara tadi, sama ada ia menyebabkan kita akan tertipu atau akan mengalami kerugian atau memang benar-benar mendapat untung sebagaimana yang dijanjikan tetapi keuntungan tadi dibina di atas kezaliman dan penindasan terhadap orang lain. 

� Bantu membantu dalam kebaikan: Kita perlu membantu ekonomi orang-orang Melayu/ Islam dengan memahami konsep MLM sebenarnya dan menjadikannya satu perniagaan yang bersih dari unsure fitnah & subahah. Sesungguhnya adalah baik melakukan sesuatu kerja yang baik & murni umpamanya menolong orang dan secara tak langsung ianya meningkatkan taraf ekonomi kita!

Penutup 

Hukum asal MLM harus kecuali apabila dimasuki faktor-faktor haram. Dari sudut positif, sistem MLM boleh bertindak sebagai pemecah kepada tembok monopoli pasaran seterusnya membantu orang Islam mengembangkan bisnes mereka. Justeru, pembinaan ini mestilah digabungkan antara kepakaran ahli-ahli ekonomi dan perniagaan dengan ulama-ulama yang berkebolehan dalam bidang ekonomi dan muamalat Islam. 

Pembaikan sistem MLM supaya bertepatan dengan syariat sebagai strategi pemasaran produk orang Islam amat penting dalam keadaan dan suasanan negara yang semakin membuka pintu globalisasi ekonomi. Pengemblengan tenaga antara ulama dan ahli perniagaan amat penting bagi memastikan kemajuan ekonomi umat Islam dan bukan sebaliknya. 

http://pakmat492.multiply.com/journal/item/

0 comment... add one now