Biodata Najib Razak Perdana Menteri Malaysia ke 6 Terbongkar!


Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak

Alamat persuratan dan perhubungan:
Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri,
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA
MALAYSIA



Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 3 April 2009. Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti.

Dato’ Sri Najib, anak sulung kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang. Beliau menerima pendidikan rendah dan menengah di St. John’s Institution. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran peringkat menengah di Malvern Boy’s College, Worcestershire, England. Sebaik menamatkan pendidikan peringkat menengah, Dato’ Sri Najib melanjutkan pengajian di University of Nottingham sehingga memperoleh ijazah dalam ekonomi perindustrian pada 1974.

Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai eksekutif di syarikat petroleum Negara, Petronas selama dua tahun. Namun pemergian bapanya pada 1976, mendorong Dato’ Sri Najib menceburi bidang politik. Beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan ekoran kematian bapanya. Kesedihan seluruh Negara ekoran pemergian Tun Abdul Razak dan sebagai menghargai sumbangan Allahyarham kepada pembangunan negara menyaksikan Dato’ Sri Najib memenangi kerusi Parlimen Pekan tanpa bertanding ketika berusia 23 tahun.

Saat itulah yang merubah corak kehidupan Dato’ Sri Najib yang mencurahkan khidmatnya dalam politik dan kerajaan. Ekoran kemenangan tanpa bertanding sebagai Ahli Parlimen Pekan pada 1976, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos. Beliau kemudiannya dilantik Timbalan Menteri Pelajaran dan selepas itu Timbalan Menteri Kewangan. Pada pilihan raya umum 1982, beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Pekan dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Pahang sehingga tahun 1986.

Dato’ Sri Najib dilantik Menteri kebudayaan, Belia dan Sukan ekoran kemenangannya pada pilihan raya umum 1986 apabila beliau kembali bertanding kerusi Parlimen Pekan. Di bawah terajunya, Malaysia mencipta sejarah apabila buat pertama kali memperoleh pencapaian yang terbaik di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA). Beliau juga memperkenalkan Dasar Sukan Negara yang menggariskan pembangunan sukan dan memperkenalkan ganjaran insentif kepada atlit negara yang berjaya memenangi pingat di Sukan Olimpik.

Pada tahun 1990, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Beliau memacu Kementerian Pertahanan dengan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia melalui peningkatan keupayaan, pemerolehan dan latihan strategik. Usaha pemodenan yang diperkenalkannya menyaksikan Malaysia memperoleh aset-aset baru seperti pesawat buatan Rusia, MiG 29, Boeing F18 Super Hornet, kapal frigate F-2000, artileri senjata 155m dan menaik taraf sistem pertahan udara negara dengan perolehan sistem radar baru. Soal kebajikan anggota Angkatan Tentera juga diberi perhatian oleh beliau termasuk meningkatkan kemudahan perumahan dan elaun anggota.

Pada tahun 1995, Dato’ Sri Najib dilantik menerajui kementerian yang lebih mencabar, iaitu sebagai Menteri Pelajaran. Di bawah terajunya, sistem pendidikan negara mengalami perubahan yang besar termasuk memperkenalkan Akta pelajaran 1996.

Perubahan demi perubahan yang diperkenalkannya menyaksikan sistem pelajaran negara terutama institusi pengajian tinggi mengalami perubahan besar apabila mereka dibenar menawarkan kursus yang lebih banyak, kepelbagaian pilihan dan pendekatan baru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Kini rakyat Malaysia mempunyai banyak pilihan dan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Dalam pada itu, jumlah penuntut dari negara luar negara yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tempatan dan asing di negara ini juga semakin bertambah.

Malah, Dato’ Sri Najib memainkan peranan yang besar untuk memperkenalkan sistem pendidikan bertaraf dunia di Malaysia dan meletakkan negara sebagai hab pembelajaran serantau dan pusat kecemerlangan. Di sebalik itu, perhatian lebih diberikan untuk melahirkan guru-guru terlatih menerusi meningkatkan sijil perguruan kepada status diploma, supaya guru-guru dalam kategori tersebut dapat menerima gaji permulaan bulanan yang lebih tinggi dan projek perumahan khas untuk guru-guru.

Pada pilihan raya umum 1999, Dato’ Sri Najib menerima keputusan mengejutkan apabila hanya memperoleh majoriti 241 undi di kawasan Parlimen Pekan yang majoriti pengundinya berketurunan Melayu, berbanding majoriti lebih 10,000 undi pada pilihan raya sebelumnya. Keputusan itu mengejutkan beliau dan para pemerhati politik. Bagaimanapun ia tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang amat mengejutkan memandangkan pilihan raya itu diadakan ketika suasana politik yang tidak menentu.

Selepas pilihan raya umum itu, beliau dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan untuk kali kedua dan meneruskan usaha ke arah pemodenan Angkatan Tentera, setelah negara melepasi krisis ekonomi pada 1997. Antara perolehan utama termasuk pembelian pesawat termoden buatan Rusia, Sukhoi SU30 MKM, kapal selam yang sekian lama menjadi hasrat Tentera Laut Diraja Malaysia dan kereta kebal dari Poland. Juga sistem pertahan udara negara, Jernas untuk kegunaan Tentera Darat. Bagi anggota tentera, beberapa elaun dipertingkatkan termasuk elaun penerbangan untuk juruterbang tentera udara serta kadar gaji yang lebih tinggi bagi anggota baru.

Pilihan raya umum 2004 yang diadakan beberapa bulan selepas Dato’ Sri Najib dilantik Timbalan Perdana Menteri, menyaksikan beliau memenangi kerusi Parlimen Pekan dengan peningkatan majoriti mendadak iaitu 22,922 undi. Angka itu adalah majoriti tertinggi yang diperoleh pada pilihan raya berkenaan, sekali gus membuktikan kemampuan beliau memenangi hati pengundi sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Pada pilihan raya umum 2008, Dato’ Sri Najib sekali lagi memenangi kerusi parlimen Pekan dengan majoriti lebih besar iaitu 26,464 undi. Ia adalah majoriti paling besar bagi Barisan Nasional di sebalik penurunan sokongan rakyat kepada BN pada pilihan raya itu.

Beliau kekal sebagai Menteri Pertahanan sehingga September 2008 apabila mengambil alih jawatan Menteri Kewangan daripada Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi. Pada Mac 2009, Dato’ Sri Najib memenangi jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding selepas Dato’ Seri Abdullah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan itu. Seterusnya pada April, Dato’ Seri Abdullah mengumumkan melepaskan jawatan Perdana menteri dan digantikan Dato’ Sri Najib yang kemudiannya mengangkat sumpah jawatan itu. Pada masa yang sama beliau masih memegang jawatan Menteri Kewangan.

Dato’ Sri Najib berkahwin dengan Datin Sri Rosmah Mansor dan dikurniakan lima cahaya mata.

0 comment... add one now