Apakah Hukum Guna 'Inhaler' Bagi Pesakit Asma Semasa Berpuasa? INI JAWAPANNYA...

Assalam ustaz, isteri saya ada masalah asma, tahun lepas masa bulan ramadhan dia terpaksa guna inhaler lebih kurang 3 – 4 hari. Saya confuse sebab ada yang cakap tak batal puasa tu ****** bukan mazhab syafiie. mungkin ustaz boleh bantu kalau ada point yang support fakta yang kata tak batal dari mana2 rujukan mazhab syafii sebab payah kadang2 nak hadapi orang pertikaikan apa yang isteri saya buat diorang kata nanti kena qadha tak boleh teruskan puasa lepas pakai inhaler.

Jawapan:



1) Isu ‘inhaler’ merupakan permasalahan yang dibincangkan oleh ulama kotemporari. Ada sebahagian ilmuan menyatakan ia tidak membatalkan puasa kerana ubat itu tidak sampai ke perut kerana ia hanya terhenti di paras paru-paru sahaja.

2) Namun begitu ia tetap membatalkan menurut kebanyakkan ulama termasuk mazhab Syafi’ie. Meski pun ubat itu tidak sampai ke perut, ia dikira membatalkan kerana ia masuk melalui rongga yang terbuka serta melepasi kerongkong iaitu melepasi paras makhraj huruf Kho'(الخاء) menurut Imam Nawawi dan Ha'(الحاء) menurut Imam Rafi’ie.

3) Walau ia dikira membatalkan puasa menurut kaedah mazhab Syafi’ie, namun ada pengecualian dalam hal ini disebabkan perkara yang tidak boleh dielakkan, atau keperluan yang mendesak, atau darurat. Hal seperti ini ada dinyatakan di dalam beberapa kitab fiqh mazhab Syafi’ie antaranya kitab “Bughyah al-Mustarsyidin” karya al-Imam al-Habib Abdur Rahman al-Masyhur (lebih dikenali sebagai Imam Ba ‘Alawi):

ابتلى بوجع في أذنه لا يحتمل معه السكون إلا بوضع دواء يستعمل في دهن أو قطن وتحقيق التخفيف أو زوال الألم به, بأنه عرف بنفسه أو أخبره طبيب جار ذلك وصح صومه للضرورة

Maksudnya: “Seseorang yang terkena sakit telinga sehingga dia tidak mampu bertenang melainkan meletakkan ubat di dalam telinga atau dimasukkan kapas. Manakala keringanan atau hilang sakit itu disahkan oleh doktor atau dengan pengetahuan dirinya sendiri maka diharuskan untuk berbuat begitu dan puasa tetap sah(tidak batal) kerana darurat.”

4) Jelas kenyataan di atas menjelaskan bahawa keringanan diberikan kepada mereka yang sangat berhajat sehingga memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka disebabkan sakit dan seumpamanya.

5) Asma merupakan satu penyakit yang boleh mengancam nyawa seseorang jika tidak diberi ubat iaitu ia lebih teruk dari sakit telinga. Oleh itu pesakit yang mengidap penyakit asma yang kronik sudah pasti tidak terlepas dari penggunaan ‘inhaler’, jika dikiaskan dengan fatwa Imam Ba ‘Alawi di atas ternyata penggunaan ‘inhaler’ tidak membatalkan puasa.

6) Namun begitu terdapat pesakit asma yang tidak memerlukan ‘inhaler’ kerana mungkin penyakitnya tidak kronik, maka ia tidak mencapai tahap darurat dan penggunaannya masih boleh dielakkan. Walau bagaimana pun jika mencapai tahap yang sangat memerlukan contohnya diserang asma secara tiba-tiba hukumnya tidak membatalkan.

7) Jadi isteri anda boleh meneruskan puasa setelah menggunakan ‘inhaler’ ketika diserang asma di siang Ramadan akan datang. Apa pun 3 ke 4 Ramadan yang lalu dikira batal JIKA isteri anda melakukan perkara yang membatalkan puasa setelah penggunaan inhaler contohnya makan atau minum, maka dia wajib qadha’.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba 'Alawi

Kredit : kakishare 

0 comment... add one now