Sesungguhnya Allah SWT mengkhususkan bulan Ramadan di antara bulan-bulan lainnya dengan kelebihan dan keistimewaan yang banyak. Ganjaran pahala dikurniakan ke atas hamba-Nya yang banyak membuat kebaikan dan amalan.
Bahkan kita disarankan memperbanyakkan berdoa di bulan seribu ganjaran ini kerana doa lebih mustajab kerana Allah tidak menolak doa orang yang berpuasa sehingga berbuka.
Ambillah peluang yang terbentang luas ini wahai ibu dan ayah untuk memperbanyakkan berdoa memohon zuriat yang diamanahkan kepada kita menjadi  anak yang soleh dan solehah dan terus istiqomah dengan doa ini sepanjang hayat kita.

1. Doa Supaya Anak Rajin Solat

Amalkan doa ini setiap kali selepas mengerjakan solat. Semoga anak-anak kita menjadi anak yang tidak lupa mengerjakan kewajipan bersolat.

“ Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak-anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Ya Tuhan kami perkenankanlah doaku. Ya Tuhan kami beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab(hari kiamat).

(Surah Ibrahim ayat 40 - 41)

2. Doa Untuk Mendapat Anak Yang Soleh

Siapa tidak mahu anak yang soleh kan. Jadi rajin-rajinlah membaca doa ini.

"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk dari orang-orang yang soleh!

(Surah Ash Shaffaat ayat 100)

3. Doa Melembutkan Hati Anak

Mintalah kepada Allah SWT supaya sentiasa melembutkan hati anak kita untuk mendengar nasihat ibu dan ayah.
Ayat terakhir daripada surah ini hendaklah dibaca ketika memasak/menyediakan makanan dan dihembus ke dalam makanan tersebut bertujuan untuk melembutkan hati anak-anak.

"Hai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah, supaya kamu berjaya."

(Surah Ali 'Imran ayat 200)

4. Doa Agar Mendapat Zuriat Yang Baik

Sentiasalah mohon kepada Allah agar kita dikurniakan zuriat yang baik.

"Ya Tuhanku, kurniakanlah dari sisi-Mu zuriat yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa."

(Surah Ali 'Imran ayat 38)

5. Doa Supaya Anak Berakhlak Mulia & Menghormati Ibu Bapa

Hanya akhlak yang mulia mampu menjadikan anak itu baik, selain didikan dan disiplin yang diberikan jangan lupa berdoa kepada Tuhan supaya anak kita mempunyai akhlak mulia dan menghormati ibu bapa.

"Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibubapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".

(Surah Al-Ahqaf ayat 15)

6. Doa Supaya Anak Dalam Kandungan Patuh Kepada Ibu Bapa

Ibu bapa digalakkan mendoakan kesejahteraan anak sejak mereka di dalam kandungan lagi.

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua ibu  bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah, dan menyusukannya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, hanya kepadaKu engkau kembali"

(Surah Luqman ayat 14)

7. Doa Untuk Bayi Baru Lahir

Kepada yang baru mendapat anak, janganlah asyik ajar anak berselfie sahaja, sebaliknya banyakkan membaca doa supaya anak dilindungi daripada gangguan syaitan.

” Sesungguhnya aku meminta perlindungan baginya denganMu begitu juga dengan zuriatnya dan keturunannya dari syaitan yang direjam. Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).Maksudnya: Ya Allah, ilhamkannya Takwil (tafsir al-Quran) dan ajarkannya hikmah (ilmu yang tepat).Maksudnya: Ya Allah, berkatilah padanya dan sebarkanlah ilmunya.

8. Doa Agar Anak Taat Perintah Allah

Anak yang patuh dan taat dengan perintah Allah pasti akan menjadi anak yang menyenangkan hati ibu dan ayah. Maka mintalah kepada Dia Yang Esa.

“Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah)  di antara anak cucu kami orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami dan terimalah taubat kami ini.  Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

(Surah Al-Baqarah ayat 128)

9. Doa Anak Cemerlang

Doa ibu bapa adalah doa yang mustajab. Maka doakanlah yang baik-baik untuk anak anda. Mohonlah agar Tuhan memberikan kecemerlangan kepadanya dunia dan akhirat.

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)"

(Surah Ali 'Imran ayat 200)

10. Doa Memohon Rahmat & Keberkatan

Kita hidup di dunia ini bukan hanya mahu kejayaan dan kecemerlangan sahaja tetapi yang lebih penting sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.

“Mereka berdoa, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan, sesudah Engkau memberi pertunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami, rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Kurnia. 
Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia, untuk menerima pembalasan pada hari yang tak ada keraguan padanya.  Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.

(Surah Ali 'Imran ayat 8-9)