5 Pelakon berjaya watak filem aksi terbaik tempatan!


Yang mana satu merupakan pelakon aksi terbaik pilihan anda?
Filem aksi merupakan genre filem paling terkenal di Hollywood dan di seluruh dunia, termasuklah di negara kita yang rata-rata amat meminati filem yang padat dengan aksi.

Namun, disebalik pasaran filem aksi yang besar dan mudah menarik perhatian penonton, tidak semua filem aksi mendapat sambutan.

Situasi ini berlaku apabila pelakon yang diberi tanggungjawab untuk menggalas watak, gagal memberikan impak kepada penonton dengan memberikan lakonan 'kayu'.

Oleh itu, kejayaan sesebuah filem tidak kira samada filem aksi atau tidak, penghayatan watak oleh setiap pelakon adalah sangat penting dalam menentukan nasib sesebuah filem itu.

Jadi, saya ingin menyenaraikan lima pelakon yang berjaya membawa watak dalam filem aksi dengan begitu berjaya sekali sehinggakan pembawakan watak tersebut menjadi ikutan di kalangan penonton-penonton.

Aaron Aziz ("KL Gangster 1 & 2")

Sebelum filem "KL Gangster", pelakon kelahiran Singapura yang melebarkan sayapnya di Malaysia ini pernah membawa watak jahat dalam dua buah filem "Evolusi KL Drift" sebagai watak penjahat.

Ternyata lakonan jahatnya memberi impak yang mendalam untuk filem itu, namun ia masih lagi tidak menjadi sebutan penonton sehinggalah beliau ditawarkan untuk membawa watak protagonis sebagai Malek dalam filem "KL Gangster" yang mengisahkan tentang dua adik beradik terjebak dalam dunia kongsi gelap.

Lakonan mantap Aaron Aziz dan pelakon-pelakon lain telah berjaya membuatkan filem tersebut menjadi penanda aras untuk filem-filem tempatan lain.

Rosyam Nor ("KL Gangster 2") 
Datuk Rosyam Nor memang seorang pelakon yang serba boleh dan sering berjaya membawa apa sahaja watak yang diberikan dengan begitu baik sekali.

Namun dalam banyak-banyak watak yang pernah dijayakannya, watak antagonis boleh dikatakan watak yang paling banyak memberi impak besar terhadap penonton. Malah ada juga yang membencinya selepas menonton filem itu. Ini bukan kali pertama beliau membawa watak jahat dalam filem, yang mana sebelum ini beliau pernah membintangi filem "Gangster" dan "Castello" yang memperlihatkan sisi gelap Rosyam.

Dalam filem "KL Gangster 2", beliau membawa watak ketua kongsi gelap bernama Tailong. Tailong seorang yang bersikap kejam dan tidak berperikemanusian. Tidak keterlaluan sekiranya mengatakan watak Tailong yang dibawa olehnya ini adalah watak antagonis yang paling berjaya pernah dilakonkannya.

Terbaru, Rosyam akan kembali membawa watak Tailong dalam filem 'spin-off' yang akan memaparkan kisah kehidupan ketua kongsi gelap ini dan juga dalam filem terbaru Rajinikanth, "Kabali", yang akan ke pawagam 1 Julai 2016 ini.

Syamsul Yusof ("KL Gangster 1 & 2")
Syamsul Yusof bukan sahaja seorang pengarah berbakat besar, malah anak kepada pengarah dan penerbit tersohor tanah air Datuk Yusof Haslam ini juga mempunyai bakat yang cukup besar dalam bidang lakonan.

Jika sebelum ini beliau lebih sinonim dengan watak protagonis seperti filem-filem terdahulunya "Evolusi KL Drift", "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam" dan beberapa lagi, namun Syamsul kemudian beralih arah dengan membawa watak antagonis pula dalam dua buah filem "KL Gangster".

Ternyata Syamsul bukan sahaja seorang pengarah hebat, malah juga pelakon hebat. Lakonannya dalam filem tersebut sebagai Shark mendapat pujian daripada penonton dan juga pengkritik filem.

Shaheizy Sam ("Polis Evo")
Shaheizy Sam merupakan salah seorang pelakon tersohor tanah air ketika ini. Beliau yang berasal dari keluarga seni mula menceburkan diri dalam dunia lakonan sejak remaja lagi, iaitu pada tahun 1990an.

Usaha kerasnya lebih sedekad mula membuahkan hasil apabila filem lakonannya "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam" (2009) dan "Adnan Sempit" pada tahun berikutnya berjaya mendapat kutipan pecah panggung, sekaligus melonjakkan namanya.

Walaupun beliau pernah membawa watak aksi dalam beberapa buah filem seperti "Kongsi", "Adnan Sempit" dan beberapa lagi, namun ia sekadar aksi biasa. Setelah sekian lama mengidam membawa watak aksi sebenarnya, ia akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau membintangi filem "Polis Evo" arahan Ghaz Abu Bakar. Dalam filem tersebut, penonton menyaksikan beliau tampil dengan sisi berbeza atau watak lebih serius. Malah beliau mengambil masa selama lebih enam bulan untuk mendapatkan tubuh badan sasa. Filem tersebut telah berjaya mendapat kutipan lebih RM17 juta.

Adam Corrie ("KL Gangster 1 & 2")
Mungkin nama Adam Corrie ini tidaklah sepopular seperti nama-nama pelakon yang sudah disebut di atas, namun ia bukan penghalang untuk seseorang pelakon itu menjadi bagus.

Sebagai contoh, walaupun namanya kurang dikenali di kalangan peminat filem aksi, tetapi setiap lakonannya tetap memberikan impak besar kepada penonton. Beliau sudah membintangi lebih 20 buah filem dan kebanyakannya filem aksi yang mana beliau membawa watak sebagai protagonist, seperti filem "Evolusi KL Drift 2", "V3 Samseng Jalanan", "Gerak Khas The Movie 3" dan banyak lagi.

Namun lakonannya dalam filem arahan Syamsul Yusof, "KL Gangster", telah membuka mata orang ramai terhadap bakat besar yang ada pada beliau. Sehingga kini, boleh boleh dikatakan beliau antara salah seorang pelakon aksi yang hebat dalam industri lakonan tempatan.

Sumber - cinema 

3 comments.. read them below or add one

husna zahidi husna zahidi Jun 15, 2016
suka tgk Rosyam Nor berlakon watak aksi..
minat dya dari zaman filem Castelo.. memang best!
yan_74 yan_74 Jun 15, 2016
saya suka faizal hussen...
yan_74 yan_74 Jun 15, 2016
saya suka faizal hussen...