Foto:muslimobserver.com
Kita semakin menghampiri 10 Ramadan terakhir yang dijanjikan bermacam ganjaran pahala dari Allah SWT. Dalam memburu malam lailatulqadar, tidak dinafikan antara golongan yang bimbang tidak dapat
mengejar malam seribu ganjaran tersebut adalah wanita.

Kebimbangan didatangi haid pada malam 10 terakhir dirasakan amat merugikan bagi kaum wanita. Bagi wanita yang bergelar ibu pula rasa ralat sangat sebab dari sehari ke sehari masih tak dapat membuat banyak amal ibadat.  Baru hendak mengerjakan solat terawih, si kecil sudah merengek hendak menyusu. Tak mahu berpisah dan asyik nak melekat sahaja.

Usahlah bersedih wahai wanita kerana datang haid adalah fitrah bagi setiap wanita yang sudah baligh. Redhalah di atas ketentuan Allah SWT kerana sesungguhnya Allah itu Maha Adil terhadap hamba-hamba-NYA. Masih banyak peluang yang terbentang luas untuk para wanita mengumpul pahala dan sama-sama mengejar malam lailatulqadar.

Banyak amalan yang boleh dilakukan oleh kaum wanita walaupun sedang haid. Mungkin ia juga boleh dipraktiskan oleh ibu-ibu yang mempunyai anak kecil yang sukar berenggang.

1. Menyediakan juadah berbuka

Walaupun tidak berpuasa, kaum wanita tetap boleh memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa apabila menyediakan makanan untuk orang berpuasa ketika berbuka.

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhani, Nabi s.a.w bersabda,

"Barangsiapa memberikan makanan untuk berbuka kepada yang puasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang puasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun."

(Hadis Riwayat Tirmidzi)

2. Sedekah, sedekah, sedekah

Sedekah antara amalan yang akan terus memberikan ganjaran pahala kepada si pemberi walaupun dia sudah meninggal dunia. Kehebatan pahala sedekah semakin berlipat kali ganda di bulan yang mulia ini seperti sabda Rasulullah s.a.w

"Sedekah paling utama adalah sedekah di bulan Ramadan."

3. Banyak berzikir

Amalan ini tetap dibolehkan bagi wanita haid bahkan ibu yang sibuk dengan urusan rumah tangga dan anak kecil jangan lepaskan peluang memperoleh pahala yang telah dijanjikan Allah ini. Ia satu amalan mudah yang boleh dilakukan pada bila-bila  masa. Contohnya, semasa sedang menyusukan bayi atau menidurkan anak boleh sahaja berzikir.

4. Beristigfarlah selalu

Ambillah peluang di bulan mulia ini untuk sentiasa melafazkan istigfar. Orang yang sentiasa beristigfar adalah orang yang sentiasa meminta ampun di atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua.

5. Bangun bersahur walaupun tidak berpuasa

Dari Anas Bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda,

"Bersahurlah, kerana di dalamnya terdapat keberkatan."

(Hadis Riwayat Bukhari)

Jadi,usahlah risau dan gusar apabila tiba saatnya anda datang haid. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Peluang untuk mengumpul pahala tetap sama seperti orang yang berpuasa dan melakukan banyak amal ibadat di bulan Ramadan ini. Lakukan bermacam kebaikan termasuk sentiasa melemparkan senyuman dan berwajah ceria kepada semua orang, memberi bantuan kepada yang memerlukan dan bermacam jenis kebaikan lagi.

Semoga Allah menerima amalan kita semua, Insha Allah.

Sumber: tazkirah.net