Zakat fitrah negeri Sabah kekal harga RM7 seperti tahun lalu


Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) menetapkan kadar zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM7, kekal seperti tahun lalu.
Pengerusinya Datuk Mohd Suhaili Said berkata kadar zakat fitrah tersebut adalah bersamaan dengan 2.7 kilogram beras.
Pada tahun ini, Muis menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM9.2 juta berbanding RM8.9 juta yang dikutip tahun lepas, katanya pada Majlis Pengisytiharan kadar zakat fitrah itu di sini hari ini.
Mohd Suhaili berkata Muis yakin sasaran itu boleh dicapai berikutan pembukaan tiga cawangan kutipan zakat baharu di Kota Marudu, Keningau dan Beaufort, selain van kaunter bergerak Pusat Zakat Sabah yang dilancarkan hari ini dan akan beroperasi di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Muis telah melantik seramai 1,968 wakil amil di seluruh negeri untuk membuat kutipan zakat sepanjang Ramadan dan menasihatkan umat Islam agar menunaikan zakat lebih awal.
Sementara itu, Muis turut menyasarkan kutipan zakat harta bernilai RM58.2 juta tahun ini berbanding RM52.8 juta yang dikutip tahun lepas, katanya.
Katanya, sepanjang Ramadan ini, Muis memperuntukkan RM8.2 juta untuk diagihkan kepada 37,208 golongan asnaf di seluruh negeri.
“Muis telah mengagihkan dana RM18.9 juta sepanjang Januari hingga April tahun ini,” katanya. – BERNAMA

0 comment... add one now