Vivian Lee dihukum penjara 6 bulan isu kes Bak Kut Teh

Vivian Lee (kanan) dijatuhi hukuman penjara 6 bulan atas kesalahan menghasut kerana mengajak berbuka puasa dengan hidangan bak kut teh.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman 6 bulan penjara ke atas Vivian Lee selepas disabitkan kesalahan bawah Akta Hasutan 1948.

Vivian Lee May Ling, 27, yang juga bekas kekasih blogger seks kontroversi yang kini melarikan diri ke Amerika Syarikat, Alvin Tan Jye Yee diputuskan bersalah kerana memuat naik gambar dengan kapsyen “Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh.. fragrant, delicious and appetising)” bersama logo halal di laman sosial Facebook.
Posting yang mencetuskan kontroversi itu dimuat naik pada 11 Julai 2013 ketika umat Islam menyambut bulan Ramadan.
Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Rashid Daud berkata perbuatan berkenaan melibatkan sensitiviti masyarakat Islam dan hukuman penjara terpaksa dikenakan untuk mengelak orang lain mengulanginya.
Menurut beliau sebelum mengumumkan hukuman, “Anda tahu daging babi itu haram kepada orang Islam. Seperti kata pendakwa, nasi sudah menjadi bubur. Walaupun anda memohon maaf tetapi tindakan anda mengguris perasaan rakyat Malaysia.”
Hukuman penjara ke atas Vivian bagaimana pun dikurangkan kepada 5 bulan 22 hari selepas mengambil kira tempoh dia telah menjalani reman. – MYNEWSHUB.CC

0 comment... add one now