Ulama Arab Saudi fatwa haram selfie dengan kucing


Seorang ulama kanan Arab Saudi dilaporkan telah mengeluarkan fatwa pengharaman seseorang  untuk merakam gambar diri sendiri atau selfie dengan kucing, menurut agensi berita tempatanAhlulBayt News Agency.

Hukum terbaharu itu diputuskan Sheikh Saleh Abdullah al-Fawzan, berdasarkan kaedah ulama fahaman Wahabi yang digunakan secara luas di negara rantau Asia Barat tersebut sejak sekian lama dalam penetapan fatwa terkini.
Menerusi kemunculan dalam satu program televisyen tempatan, beliau yang juga ahli Majlis Ulama Kanan Arab Saudi berkata, hukum selfie dengan haiwan waima jinak dan peliharaan seperti kucing adalah sebenarnya haram.
“Isunya bukan mengenai perihal sifat kucing. Merakamkan gambar itu sendiri adalah dilarang di sisi agama jika bukan keperluan mustahak. Bukan sahaja kucing, malah anjing, serigala, haiwan apa-apa sahaja,” tegas Saleh lagi.
Ulama berusia 83 tahun itu berkata demikian ketika menjawab secara langsung dalam program soal jawab agama tersebut dan kemudian dipetik semula oleh portal web berita Middle East Media Research Institute (MEMRI).
Fatwa disiarkan pada 17 April lalu itu mula disebarkan MEMRI yang berpangkalan di Washington DC, Amerika Syarikat (AS), dengan kerjasama pihak kerajaan dan tentera AS menerusi projek khas kuasa besar dunia tersebut.
MEMRI yang diwujudkan oleh AS pada 1998 berperanan melakukan pemantauan segala bahan berita semasa dari rantau Timur Tengah termasuk Iran dan Turki sebelum menterjemahkannya dalam pelbagai bahasa antarabangsa.
saudi-cats
Dalam pada itu, fatwa dikeluarkan Saleh sebenarnya sebagai menjawab kemusykilan seorang penonton lelaki yang bertanya mengenai trend baharu masyarakat Barat gemar selfie dengan kucing mereka dari sudut hukum agama.
Bagaimanapun sebahagian ulama tempatan menjelaskan rasional fatwa haram tersebut lebih kepada kebimbangan pengaruh negatif budaya Barat yang mungkin tidak sesuai dengan ajaran Islam dan mungkin memesongkan akidah.
Ulama tersebut pernah mencetuskan kontroversi pada 2014 apabila mendakwa bahawa matahari sebenarnya yang berputar mengelilingi planet bumi sambil menambah banyak ‘teori moden’ tidak perlu diikuti semua pengikutnya.
Awal 2014 lalu, ulama terkemuka, Sheikh Mohammed Saleh al-Munajjid mengingatkan semula rakyat Arab Saudi berhubung larangan pembuatan orang salji ditetapkan pemerintah sejak beberapa tahun lalu sempena musim sejuk.
Hukum pembuatan orang salji atau patung menyerupai bentuk rupa binatang hidup daripada salji sama dengan hukum haram apabila sengaja membuat gambar manusia yang menurutnya tidak dibenarkan menurut ajaran Islam.
Pada Januari lalu, Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz al-Sheikh, mewartakan fatwa haram bermain catur dalam kalangan kerabat diraja kerana ia buang masa dan wang serta menyebabkan permusuhan sesama pemain.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

0 comment... add one now