Trailer Kabali versi Bahasa Malaysia jadi viral, peminat pula 'memberontak'

Trailer 'Kabali' versi BM kini viral, peminat pula 'memberontak'





Filem Kabali yang dibintangi legenda filem Tamil, Rajinikanth sekali lagi trending di Malaysia.
Selepas beberapa minggu trailer rasmi filem itu dilancarkan, kini sebuah syarikat pengedaran filem di Malaysia, Malik Streams Production and Distribution, telah melancarkan trailer versi Bahasa Malaysia.

Trailer yang mula dimuat naik pada Sabtu kini telah mencapai hampir 200,000 views dan mencatat hampir 9,000 perkongsian setakat ini.

Trailer tersebut memperkenalkan Rajnikanth sebagai seorang gangster yang dikenali sebagai Kabalishwaran.
Pemandangan Kuala Lumpur iaitu Menara Berkembar Petronas dan Batu Caves turut kelihatan dalam trailer berdurasi 72 saat itu kerana penggambaran Kabali turut dilakukan di ibu negara. 

Walaupun ramai yang teruja dengan trailer Bahasa Malaysia ini, ada yang berpendapat filem ini lebih baik ditonton dalam bahasa asal iaitu Bahasa Tamil.

“Tiada tandingan. Letak sahaja sarikata Bahasa Malaysia,” kongsi Jenny Liew di Facebook.

Sarah Kishreena Dharun pula berkata beberapa dialog Bahasa Tamil apabila diterjemahkan ke Bahasa Malaysia agak pelik.

“Letak sarikata sahaja,” katanya.

Zakwan Wayne pula berkata: “Mesti tidak best. Sebab cara Rajinikanth cakap susah hendak buat.”

Menurut laporan The Indian Express, filem ini akan melalui proses ‘dubbing’ sepenuhnya dan akan dilancarkan dalam Bahasa Malaysia pada Julai.
Pihak Malik Streams akan mengedarkan filem ini di Indonesia dan Singapura.
 
Kabali merupakan filem Rajinikanth ke-159 dan bakal ditayangkan pada Julai depan.

Ia turut menampilkan pelakon tempatan Datuk Rosyam Nor dan Norman Hakim.

0 comment... add one now