'The Nahara Kalumpang' daya tarikan buat pencinta alam semulajadi


Laman dekorasi yang mengekalkan alam semula jadi di The Nahara Kalumpang, Hulu Selangor, kini menjadi daya tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara terutama bagi golongan pencinta alam untuk beriadah dan menikmati udara segar.
Sepanjang perjalanan ke pusat rekreasi ini pengunjung dihidangkan dengan panorama kampung sebelum melewati kawasan dusun dikelilingi hutan menyebabkan mereka teruja untuk terus meneroka keindahan alam semula jadi di situ.
Sebaik sampai, lambaian pokok berusia ratusan tahun yang ditiup angin bagaikan mengalu-alukan kehadiran pengunjung. Sesekali terdengar deruan air terjun yang menghempas batu membuat anda tidak sabar turun dari kenderaan untuk meninjau kawasan itu.
Bongkahan batu yang dikekalkan di The Nahara Kalumpang bertaburan di kawasan lapang dan pinggir Sungai Inki yang menjadi tumpuan pengunjung menikmati kesejukan air gunung dari Banjaran Titiwangsa.
Ia menjadi daya penarik pengunjung untuk berekreasi sambil bersantai terutama pada cuti hujung minggu.
Air terjun yang terbentuk seperti ‘kolam’ pada setiap jeram di sepanjang sungai dengan aliran air mengalir deras memberi keselesaan kepada pengunjung untuk berenang dan mandi-manda dengan selamat.
Di celah kawasan bongkahan batu terdapat pondok untuk pengunjung berehat sambil menikmati hidangan yang dibina di sepanjang tebing sungai itu. Pokok berusia ratusan tahun dikekalkan menyebabkan kawasan itu redup dan dingin.
Bagi yang ingin bermalam, kemudahan chalet dan vila disediakan dengan sewa berpatutan. Surau, tempat persalinan dan dapur untuk memanggang turut disediakan.
Selepas meninjau keindahan alam di sini, anda jangan sesekali melepaskan peluang menikmati kedinginan air terjun di kawasan jeram bertingkat di kawasan sungai yang menjadi aktiviti wajib setiap pengunjung apabila mengunjungi pusat pelancongan ini.
Binaan tangga dan lantai simenfero di tepi tebing sungai memudahkan pengunjung berjalan ke kawasan jeram atau takat terjun. Titi gantung yang dibina membolehkan pengunjung menyeberangi sungai dengan selamat .
Bagi peminat fotografi dan suka berselfie, kawasan titi kayu sering menjadi lokasi pengunjung merakamkan gambar sebagai kenangan yang berlatar belakangkan kawasan hutan dan air terjun.
Bagi yang gemar mendengar nyanyian mergastua pada waktu malam bolehlah melepak di atas batu besar di tebing sungai sambil diiringi bunyi deruan air sungai menghempas batu menjadikan suasana sungguh tenang dan mendamaikan membuat kita lupa seketika kesibukan menjalani kehidupan seharian.
Anda dinasihatkan membawa bekalan makanan secukupnya apabila mengunjungi kawasan rekreasi ini kerana kesejukan air terjun bakal membuat anda mudah lapar dan berselera makan apatah lagi jika dinikmati bersama keluarga.

0 comment... add one now