Statistik sisa makanan dibuang di Malaysia amat mengejutkan



Statistik menunjukkan bahawa jumlah sisa makanan yang dibuang di Malaysia amatlah mengejutkan: setiap hari, kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan telah dibuang oleh isi rumah dan jumlah itu adalah mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan.
Secara keseluruhannya, semua jenis sisa makanan terbuang yang membentuk kira-kira 40 peratus atau 15,000 tan metrik, adalah sisa harian isi rumah di Malaysia.
Angka-angka ini adalah berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2015.
Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Hazilah Gumri berkata kajian itu juga mendapati bahawa isi rumah yang terdiri daripada lima anggota membelanjakan secara purata RM900 sebulan untuk makanan dan bahawa satu perempat daripadanya terbuang ketika penyediaan, memasak dan penggunaan.
“Ini bermakna kira-kira RM225 (benar-benar) dibuang ke dalam tong sampah setiap bulan, yang jumlahnya mencapai RM2,700 setahun,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “How Consumers Can Benefit From Reducing Food Waste” (Bagaimana Pengguna Boleh Mendapat Faedah Dengan Mengurangkan Sisa Makanan) di forum MYSaveFood baru-baru ini.
Forum sehari itu dianjurkan oleh sekretariat MYSaveFood di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Nogeh Gumbek.
Hazilah berkata walaupun 80 peratus daripada sisa makanan itu dianggap “sesuatu yang tidak dapat dielakkan”, 20 peratus adalah “yang boleh dielakkan”.
SWCorp menyelia sistem pengurusan sisa pepejal di Kuala Lumpur, Putrajaya, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Dr Mohd Pauze Mohamad Taha, kuantiti sisa makanan biasanya didapati meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus pada musim-musim perayaan.
“Ia berlaku semasa (bulan) Ramadan, Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Semasa perayaan, orang ramai cenderung memasak atau menempah banyak makanan untuk tetamu mereka. Akhirnya, satu pertiga atau satu perempat daripada makanan itu terbazir,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian forum tersebut.
KURANGKAN SISA MAKANAN
Hazilah berkata bagi mengurangkan sisa makanan, isi rumah perlu memastikan untuk hanya membeli ayam, daging, sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit sekadar memenuhi keperluan mereka.
“Kemudian, masak makanan secukupnya setiap hari dan jika terdapat sisa, simpanlah sebaiknya supaya boleh dimakan kemudian. Sebaliknya, lebihan makanan itu boleh diberikan kepada kepada jiran. Atau boleh juga diberi makan haiwan peliharaan,” katanya, dan menambah kata bahawa rakyat Malaysia juga perlu belajar membuat kompos daripada sisa makanan dan menggunakannya sebagai baja untuk tanaman mereka.
Tambah beliau, dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu untuk makanan, sekali gus pembaziran makanan dapat dikurangkan, isi rumah bukan sahaja boleh menjimatkan wang tetapi juga mengurangkan kesan karbon dan melindungi alam sekitar melalui pelepasan metana yang lebih rendah daripada tapak pelupusan.
Hazilah berkata usaha itu juga boleh membantu menjimatkan tenaga dan sumber serta mencegah pencemaran alam sekitar yang berkaitan dengan proses pembuatan dan pengangkutan yang semakin meningkat malah, mengumpul sisa makanan dan kemudian menimbusnya.
“Isi rumah boleh membantu masyarakat dengan menderma semua makanan tidak disentuh bagi mengelakkan pembaziran dengan memberikannya kepada golongan yang memerlukan,” tambah beliau.
KEHILANGAN MAKANAN MEMBIMBANGKAN
Menyentuh isu kehilangan makanan – merujuk kepada makanan khusus untuk manusia yang terbazir ketika pengeluaran, selepas penuaian, pemprosesan dan pengedaran – Timbalan Pengarah Program Jaringan Antarabangsa MARDI Dr Ainu Husna MS Suhaimi, yang turut berucap di forum itu, berkata jumlah yang mengejutkan iaitu 1.3 bilion tan metrik makanan – bernilai RM4.4 trilion hilang atau terbazir bersama-sama sistem makanan setiap tahun di seluruh dunia.
“Ia (makanan hilang) merangkumi satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan dan cukup untuk memberi makan tiga bilion orang,” katanya, sambil menambah bahawa setiap tahun, Malaysia kehilangan kira-kira 28.5 peratus daripada beras yang dituai, bernilai RM918 juta.
“Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran negara ini pula, dianggarkan 20 hingga 50 peratus hilang setiap tahun, ketika pasca penuaian.”
Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata jumlah kehilangan makanan dan sisa makanan Malaysia adalah “membimbangkan” dan telah menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan berbilion ringgit untuk tujuan pengurusan sisa.
Bercakap pada majlis perasmian forum itu, beliau berkata dengan mengambil kira magnitud dan kerumitan masalah kehilangan makanan dan bahan buangan, kerjasama dan perkongsian daripada pelbagai pihak amat diperlukan untuk mencapai hasil yang berkesan.
Sehubungan itu, katanya adalah penting agar semua pihak terlibat untuk meningkatkan tahap kesedaran dan mendidik masyarakat tentang betapa pentingnya mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan. – BERNAMA

0 comment... add one now