Sebenarnya Diet Paleo paling ideal dan baik?

Diet Paleo paling ideal?

GOLONGAN pendukung Diet Paleo atau Diet Orang Gua (Cavemen Diet) percaya bahawa penyakit seperti diabetes, obesiti, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan osteoporosis merupakan penyakit ketamadunan (illnesses of civilixation).

Jadi, untuk memperbetulkan diet moden seseorang harus kembali mengamalkan diet pra-tamadun (zaman batu) atau diet pemburu-pengumpul (hunter-gatherer diet).

Makanan yang disarankan terdiri daripada daging haiwan yang makan rumput (sebaik-baiknya haiwan liar), ayam, ikan, makanan laut, buah-buahan segar, sayur-sayuran segar, telur, kacang (nuts) dan bijian (seeds). Minyak yang bermanfaat pula termasuk minyak kelapa dan minyak zaitun. Kacang macademia, biji flaks dan avocado juga merupakan sumber minyak yang sihat.

Bijirin, kekacang (kategori legume seperti pelbagai dhal, kacang putih, kacang kuda, soya dan kacang tanah), susu, produk tenusu, gula terproses, kentang (keledek boleh diambil), makanan terproses, garam dan minyak sayuran terproses merupakan makanan yang harus dihindari.

Makanan atau produk makanan bersumberkan bijirin, susu, produk tenusu, kekacang jenis legume, garam dan gula yang bermula pada zaman Agraria terkeluar dari menu.

Zaman Agraria ialah zaman di mana zaman yang menonjolkan kepentingan pertanian dan penghasilan tanah.

Sangka buruk

Berdasarkan Diet Paleo rekaan Dr Cordain, pengambilan bijirin dan produk tenusu harus dihindari kerana kedua-duanya tidak ditemui pada zaman paleolithik – berbahaya kepada kesihatan. Dari segi pengambilan protein pula, seseorang boleh mengambil sehingga 35 peratus kalori terdiri daripada makanan berprotein. Jenis daging haiwan yang Dr Cordain cadangkan ialah daging merah sahaja.

Dalam buku The Paleo Diet, Dr Cordain bersangka buruk terhadap lemak tepu namun dalam buku berikutnya pula beliau didapati melonggarkan sedikit sangkaannya. Dalam resipe Paleo susunannya, Dr Cordain mencadangkan penggunaan minyak zaitun (omega-9, mono tak tepu) dan minyak kelapa (tepu) tetapi langsung tidak menyebut lelemak tepu seperti lemak khinzir, lemak lembu atau mentega susu.

Sebaliknya, ramai penulis buku, pemberi komen dan blogger yang menggelar diri mereka paleodieter (pengamal Diet Paleo) menyatakan pandangan yang berbeza terhadap prinsip Diet Paleo yang disusun oleh Dr Cordain. Sebahagian besar daripada kalangan mereka mencadangkan agar pengamal Diet Paleo mengambil kadar lemak lebih tinggi, menumpukan pengambilan pada daging organ dan mencadangkan seseorang mengambil garam secara bijaksana.

Ahli arkeologi Christina Wariner telah menerangkan mengenai kebiasaan pengambilan makanan orang zaman paleolitik dalam TEDTalk berjudul Debunking the Paleo Diet. Secara ringkas beliau menyatakan bahawa Paleo Diet tidak mempunyai asas dari segi realiti arkeologi.

Menurutnya lagi, hasil penyelidikan beliau dan rakan-rakan menunjukkan bahawa diet orang zaman purba adalah berbeza-beza dan bergantung kepada bukutempat/ kawasan di mana mereka tinggal serta masa dalam setahun (menentukan cuaca/musim).

Sebab itulah mereka yang tinggal di Artik misalnya makan daging pada kuantiti yang tinggi. Mereka yang tinggal di kawasan lebih panas didapati makan lebih banyak tumbuh-tumbuhan. Di Mexico misalnya, orang zaman paleolitik didapati makan buah-buahan, agave, kacang, kekacang, labu air dan bungabungaan.

Mereka juga makan daging haiwan liar terutama arnab apabila mereka berjaya menangkapnya. Vilhjalmur Stephansson, penulis buku The Friendly Arctic dan beberapa buku lain mengenai adat orang Eskimo dan pribumi Amerika menyatakan bahawa orang Eskimo dan Indian Amerika Utara (North American Indian) tidak pernah makan daging merah – mereka menganggapnya berbahaya – tetapi daging merah membentuk asas kepada Diet Paleo ciptaan Dr Cordain!

Prinsip Diet Paleo yang mencadangkan agar seseorang mengelak daripada mengambil bijirin dan ubi kentang tidak selaras dengan sains. Ahli arkeologi telah menemui bukti kebergantungan orang zaman batu terhadap bijirin dan ubi berkanji dalam diet mereka lebih dari 100,000 tahun dahulu (Science, Dis 18, 2009).

Menurut Kat Anderson dalam bukunya Tending the Wild: Native American Knowledge and the Management of California’s Natural Resources’ bahawa diet kaum Indian California (Californian Indian) yang dipersetujui dari segi paling primitif berbanding semua kaum pribumi Amerika terdiri daripada paras bijirin yang tinggi. Ia dikumpul menggunakan bakul khas kemudian dianginkan, dijadikan serbuk dan dimasak sebagai bubur atau kek. Dr Cordain dilihat hanya menumpukan makanan yang dipercayai dimakan oleh nenek-moyang beliau seorang sahaja (jika benar).

Ia mengetepikan hakikat bahawa banyak amalan budaya dunia yang mengamalkan makan semua bahagian tubuh haiwan dari hidung ke ekor – nutrien dari bahagian berbeza memberi kesan sinergi kepada fisiologi.

Yang sibuk menyatakan daging merah lebih selamat daripada daging berlemak ialah golongan yang mempertahankan hipotesis lemak tepu-kolesterol-sakit jantung. Beliau juga mengetepikan kepentingan lemak termasuk lemak tepu dalam penyerapan pelbagai mineral.

Antara punca mengapa ramai yang mengalami tidak toleran kepada susu ialah susu komersial hari ini ialah yang diproses termasuk menggunakan teknik suhu ultra tinggi. Jadi, terdapat orang yang memiliki sistem imun sensitif kepada protein-protein yang rosak tersebut yang menyebabkan tidak toleran kepada susu komersial!

Susu segar

Ramai saintis, golongan perubatan moden dan pakar dietetik tidak bersetuju dengan hakikat bahawa susu segar merupakan susu paling hebat dan bermanfaat untuk kesihatan manusia. Ia bukan sahaja tidak menimbulkan masalah kepada yang tidak tolerans laktos (susu terproses suhu tinggi) malah menambahbaikkan kualiti ekosistem mikroflora usus dan sistem imun.

Menurut Sally O Fallen, pengasas Westorn A Price Foundation ramai mengalami reaksi apabila makan bijiirin kerana ia tidak disediakan dengan sempurna misalnya dengan merendam atau dibiarkan bercambah. Selain itu ramai orang mengalami reaksi terhadap bijirin kerana dipercayai sejak kecil kurang terdedah kepada makanan berkolesterol dan vitamin larut lemak (A,D,E,K).

Ramai pakar berpendapat Diet Paleo hanya boleh diamalkan secara jangka pendek misalnya beberapa bulan bagi meredakan keadaan kesihatan tertentu. Ia bukan diet ideal yang boleh diamalkan sepanjang hayat.

Menurut penulis artikel berjudul The “Paleo Diet” – Back to the Stone Age? (Harvard Health Publications) bahawa secara keseluruhan Diet Paleo memiliki keistimewaan tersendiri. Ia menekankan peri pentingnya makanan penuh (whole foods) berbanding makanan terproses dan makanan pra-pakej. Ia mampu membantu mengurangkan pengambilan Natrium dan gula. Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan kekurangan nutrien yang serius.

Pada pandangan penulis, setiap orang harus mengamalkan diet tradisi yang diamalkan oleh nenek moyang masing-masing dan diubah-suai dengan ditokok-tambah atau dihindari menurut keserasian tubuh.

0 comment... add one now