Rupa-rupanya 49 syarat tajaan RM30 juta, lima sukar KFA terima!

Kawasan seluas kira-kira 60 hektar di Jabi, dekat Pokok Sena, di sini, yang dianggar bernilai lebih RM80 juta dilihat terlalu besar, berbanding tajaan RM30 juta yang ditawarkan D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd (D'Herbs) kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA). 

Perkara itu diakui Naib Presiden KFA, Datuk Badrol Hisham Hashim, yang turut mendedahkan selain permintaan tanah, terdapat beberapa syarat lagi yang menjadi punca tawaran tajaan D'Herbs itu terpaksa ditolak persatuan itu. 

Beliau berkata, D'Herbs secara keseluruhannya meletakkan 49 syarat untuk tajaan sebanyak RM30 juta dan syarat berkenaan sering kali berubah secara tidak konsisten sehingga menyukarkan KFA membuat keputusan.

Daripada 49 syarat terbabit, sekurang-kurangnya lima syarat dilihat terlalu sukar untuk dipenuhi oleh KFA. Selain tanah, D'Herbs mahukan hak ke atas papan iklan di setiap daerah di Kedah dengan hak penyiaran iklan diuruskan syarikat milik D'Herbs. 

"Ada juga beberapa permintaan berkaitan iklan D'Herbs di Stadium Darul Aman termasuk menempatkan patung tertentu berkaitan iklan syarikat itu...ada satu dua lagi syarat yang saya tak ingat. "Apa pun semua syarat ini dilihat mengikat KFA sehingga keputusan menolak tajaan dibuat," katanya semalam.

Beliau mengulas laporan BH Sukan semalam mengenai KFA menolak tawaran tajaan D'Herbs yang bernilai RM30 juta, kelmarin kerana mendapati ada beberapa syarat yang ditetapkan syarikat itu sukar diterima persatuan. 

Antaranya termasuk permintaan tanah seluas kira-kira 60 hektar untuk projek pembangunan yang dilihat KFA sebagai terlalu berlebihan dan tidak memberi keuntungan kepada persatuan itu atau kerajaan negeri.  "Berdasarkan lima syarat itu, ia membabitkan bidang kuasa pelbagai pihak..

Kita ambil contoh tanah yang dipinta, ia milik kerajaan negeri...papan iklan pula milik PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan stadium milik pengurusan stadium," katanya. Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar, mengakui pertambahan syarat yang sering berlaku setiap kali pertemuan diadakan dengan pengurusan KFA, turut dibimbangi berlarutan sepanjang tempoh tiga tahun penajaan itu. 

"D'Herbs sendiri sudah lama guna platform kita dengan meletakkan iklan mereka tanpa KFA menerima apa-apa daripada mereka. Kita tidak mahu berlanjutan kerana KFA kena fokus dengan perlawanan dan isu ini boleh jejaskan fokus maka lebih baik kita tarik diri," katanya.

"Kita akui RM30 juta itu jumlah tajaan yang besar, tetapi syarat yang ditetapkan tidak berpihak kepada KFA atau berada dalam situasi menang-menang...apa pun kita hargai D'Herbs kerana sudi tawar tajaan," kata Badrol Hisham.

Sumber - bh  Rupa-rupanya 49 syarat tajaan RM30 juta, lima sukar KFA terima!

0 comment... add one now